Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum seseorang itu mengaku aku bukan muslim?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعْدِ إِيمَـٰنِهِۦٓ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُۥ مُطْمَئِنٌّۢ بِٱلْإِيمَـٰنِ وَلَـٰكِن مَّن شَرَحَ بِٱلْكُفْرِ صَدْرًۭا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌۭ مِّنَ ٱللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌۭ
Maksudnya: “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman maka dia akan mendapat kemurkaan daripada Allah kecuali orang yang dipaksa berkata atau melakukan perbuatan kufur sedangkan hatinya tetap tenang dengan keimanan. Sebaliknya, sesiapa yang terbuka hatinya menerima kekufuran maka mereka akan mendapat kemurkaan daripada Allah dan bagi mereka azab yang pedih.”
(Surah al-Nahl: 106)
Murtad adalah sebesar-besar jenayah dalam Islam dan para pelakunya akan ditimpa azab yang pedih di hari akhirat kelak. Ayat-ayat ini menceritakan dua keadaan orang yang murtad iaitu mereka yang murtad dengan sebenar-benarnya serta dengan kerelaan hatinya dan juga mereka yang dipaksa untuk murtad. Allah menjelaskan bahawa mereka yang murtad dengan rela hatinya setelah memeluk agama Islam akan ditimpa kemurkaan yang dahsyat, dan pada hari kiamat akan ditimpa azab yang pedih sekiranya mati dalam keadaan sedemikian. Setelah itu dijelaskan faktor yang menyebabkan mereka murtad, iaitu kasihnya mereka kepada dunia melebihi cinta mereka kepada akhirat. Oleh kerana pilihan mereka untuk kembali kepada kekufuran, maka Allah sekali-kali tidak akan memberi petunjuk keimanan mereka. (Lihat Ma‘arij al-Tafakkur wa Daqa‘iq al-Tadabbur, 13/652)
Hukum Muslim Bergurau Mengucapkan ‘Aku Bukan Islam’
Dari segi bahasa, murtad atau riddah merupakan isim masdar daripada perkataanاِرْتَدَّ يَرْتَدُّ اِرْتِدَادًا membawa maksud beralih daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain. Murtad ialah beralih daripada Islam kepada agama lain atau anutan lain.
Ahmad bin Faris al-Qazwini menerusi kitabnya Mu‘jam Maqayis al-Lughah, menyatakan bahawa perkataan asal murtad atau riddah adalah daripada gabungan huruf ra’ (ر) dan dal (د) iaitu bermaksud kembali pada sesuatu. Atas dasar inilah, murtad didefinisikan kepada orang yang kembali pada kekufuran. (Lihat Mu’jam Maqayis al-Lughah, 2/386)
Bergurau atau sengaja dalam melafazkan, “Aku bukan Islam” termasuk dalam perkara mempersendakan agama. Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas, kami bawakan satu situasi sebagai contoh untuk lebih memahaminya: Ketika bulan Ramadhan, Si Fulan sengaja tidak berpuasa dan makan di khalayak orang ramai. Lalu rakannya menegur perbuatan tersebut. Dia dengan senang mengungkapkan, “Aku bukan Islam,” kemudian ketawa.
Berpuasa adalah ibadah dan perintah agama yang wajib bagi setiap Muslim. Jika dilihat daripada situasi tersebut, dia mengungkapkan perkataan, “Aku bukan Islam” dalam keadaan bersenda gurau. Maka secara tidak langsung, perbuatannya itu merupakan perkara yang mempersendakan agama. Firman Allah:
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِٱللَّهِ وَءَايَـٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ (٦٥) لَا تَعْتَذِرُوا۟ قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَـٰنِكُمْ ۚ إِن نَّعْفُ عَن طَآئِفَةٍۢ مِّنكُمْ نُعَذِّبْ طَآئِفَةًۢ بِأَنَّهُمْ كَانُوا۟ مُجْرِمِينَ
Maksudnya: “Dan jika kamu bertanya kepada mereka tentang ejekan-ejekan itu, tentulah mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bergurau.” Katakanlah, “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya kamu persendakan. Janganlah kamu berdalih lagi kerana sesungguhnya kamu telah kufur setelah beriman.” Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu yang bertaubat, Kami tetap juga akan menyeksa segolongan lain yang degil kerana mereka adalah orang yang berdosa.”
(Surah al-Taubah: 65-66)
Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan status murtad bagi mereka yang mengungkapkan ungkapan kufur secara sengaja. Mengenai ini, al-Zarkasyi ada menyatakan bahawa:
مَنْ تَكَلَّمَ بِكَلِمَةِ الكُفْرِ هَازِلاً وَلَمْ يَقْصُدِ الكُفْرَ كُفْرٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang berkata dengan perkataan yang boleh membawa kepada kekufuran secara sengaja tanpa niat untuk kufur, maka dia dikira telah kufur.”
Menurut Ibn Nujaim pula, beliau menyatakan bahawa:
إذَا أَطْلَقَ الرَّجُلُ كَلِمَةَ الْكُفْرِ عَمْدًا لَكِنَّهُ لَمْ يَعْتَقِدْ الْكُفْرَ قَالَ بَعْضُ أَصْحَابِنَا لَا يَكْفُرُ لِأَنَّ الْكُفْرَ يَتَعَلَّقُ بِالضَّمِيرِ وَلَمْ يَعْقِدْ الضَّمِيرَ عَلَى الْكُفْرِ وَقَالَ بَعْضُهُمْ يَكْفُرُ وَهُوَ الصَّحِيحُ عِنْدِي لِأَنَّهُ اسْتَخَفَّ بِدِينِهِ
Maksudnya: “Sekiranya seseorang mengungkapkan perkataan yang boleh membawa kepada kekufuran secara sengaja tetapi dia tidak berniat akannya, maka sebahagian ulama berpendapat, dia tidak menjadi kafir kerana ungkapan kufur itu tidak bersangkutan dengan niatnya dan niatnya tidak selari atas apa yang diucapkannya. Manakala sebahagian ulama lagi berpendapat, dia telah jatuh kafir (murtad). Pendapat yang menyatakan kufur itu, lebih sahih (tepat) menurutku disebabkannya bermudah-mudah dan meremehkan agamanya.” (Lihat al-Bahru al-Ra‘iq Syarh Kanz al-Daqa‘iq, 5/210)
Kesimpulannya, jauhilah daripada bermain-main atau mengucapkan perkataan yang boleh membawa kepada kekufuran sekalipun tanpa niat untuk kufur kerana dikhuatiri perbuatan tersebut menyebabkan seseorang itu terjerumus ke lembah kekufuran tanpa disedari. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/76-77)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kita hendaklah meningkatkan keimanan dalam diri kita agar tidak mudah terjebak dalam gejala murtad, walaupun hanya bergurau senda kerana ia melambangkan tahap keimanan dalam diri kita.
Kami menasihatkan mereka yang melalui situasi begini perlu melafazkan syahadah semula, beristighfar kepada Allah SWT supaya dosa yang dilakukan diampunkan. Ia bertepatan dengan hadis yang memerintahkan kita agar sentiasa memperbaharui keimanan. Sabda Rasulullah SAW:
جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ “، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا؟ قَالَ: ” أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ
Maksudnya: “Perbaharuilah iman kamu. Dikatakan: Wahai Rasulullah, bagaimana kami mahu memperbaharui keimanan kami? Baginda menjawab: Perbanyakkan mengucap La Ilaaha Illallah.”
Riwayat Ahmad (8710)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”