#4417: Makhluk Bertasbih Kepada Allah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah semua makhluk bertasbih kepada Allah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَـٰوَٰتُ ٱلسَّبْعُ وَٱلْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ وَإِن مِّن شَىْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِۦ وَلَـٰكِن لَّا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ ۗ إِنَّهُۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًۭا

Maksudnya: “Tujuh lapis langit dan bumi serta sekalian penghuninya sentiasa bertasbih kepada Allah. Dan tiada sesuatu makhluk pun melainkan kesemuanya bertasbih memuji Allah, tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka. Sesungguhnya Allah Maha Penyabar dan Maha Pengampun.”

(Surah al-Isra’: 44)

Hakikatnya, langit, bumi dan semua yang berada di dalamnya meliputi para malaikat, manusia, jin, dan pelbagai makhluk sama ada yang berakal mahupun sebaliknya sentiasa bertasbih kepada Allah SWT. Tidak ada sesuatu pun dalam kalangan makhluk tersebut melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, dengan caranya yang tersendiri. Namun manusia tidak memahami dan tidak mengetahui tasbih makhluk tersebut. Makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT ini menyucikan pencipta-Nya, mengagungkan-Nya, memuliakan-Nya, membesarkan-Nya, berbeza dengan kaum musyrik yang menyekutukan Tuhan Yang Maha Esa. Selain itu, Allah SWT juga turut berfirman di dalam surah yang lain berkaitan dengan isu ini. Firman-Nya:

 أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُۥ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلطَّيْرُ صَـٰٓفَّـٰتٍۢ ۖ كُلٌّۭ قَدْ عَلِمَ صَلَاتَهُۥ وَتَسْبِيحَهُۥ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِمَا يَفْعَلُونَ

Maksudnya: “Tidakkah engkau tahu bahawa penghuni langit dan bumi serta burung-burung yang mengembangkan sayapnya kesemuanya bertasbih kepada Allah. Masing-masing telah mengetahui cara solat dan tasbihnya yang tersendiri, dan Allah pula Maha Mengetahui segala apa yang mereka lakukan.

(Surah al-Nur: 41)

Menurut Ibn Kathir, sesungguhnya Allah SWT menyatakan bahawa segala apa yang berada di langit dan di bumi terdiri daripada para malaikat, manusia, jin, dan haiwan sehinggalah makhluk yang tidak bernyawa, semuanya bertasbih kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/556)

Seluruh makhluk yang disebutkan tadi beribadah dan mematuhi Allah SWT. Ia mentauhidkan-Nya dengan mengiktiraf bahawa Dialah satu-satunya Tuhan yang berkuasa dan mentadbir terhadap seluruh alam semesta ini. Adapun cara atau kaedah setiap makluk ini bertasbih ataupun beribadah, hanya Allah SWT yang mengetahuinya. Al-Sa’di mengatakan, setiap makhluk memiliki cara ibadah bersesuaian dengan keadaan mereka. Allah SWT telah mengilhamkan bagaimana cara beribadah dan cara bertasbih, yang diutus kepada kalangan jin, manusia, dan malaikat. Bagi makhluk lain selain daripada jin, manusia, dan malaikat, Allah SWT mengilhamkan kepada makhluk ini secara langsung cara bertasbih bersesuaian dengan keadaannya.

Bagi manusia, ibadah solat telah diketahui umum oleh umat Islam, kerana ia merupakan ibadah yang  penting. Bagi haiwan, mereka turut beribadah dan bertasbih dengan caranya yang tersendiri. Ini kerana masing-masing telah mengetahui cara ibadah dan tasbihnya. Namun bentuk solat dan tasbih makhluk ini tidaklah diketahui dan yang penting diketahui bahawa setiap makhluk tersebut bersolat dan bertasbih dengan cara yang tersendiri. Allah SWT telah mengajarkan dan mengilhamkannya kepada makhluk ini, bagaimanakah mereka bersolat dan bertasbih.  (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/135-136)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Basahilah lidah kita dengan bertasbih kerana perbuatan tersebut akan membuatkan kita dekat dengan Allah SWT. Sentiasalah mohon keampunan kepada Allah SWT kerana ia lambang kekerdilan diri.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”