#4419: Muslim Boleh Bertaqiyyah?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah seorang Muslim boleh bertaqiyyah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

لَّا يَتَّخِذِ ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلْكَـٰفِرِينَ أَوْلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ ٱللَّهِ فِى شَىْءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُوا۟ مِنْهُمْ تُقَىٰةًۭ ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفْسَهُۥ ۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلْمَصِيرُ

Maksudnya: “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.

(Surah Ali ‘Imran: 28)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, di dalam ayat 28 (sebagaimana di atas) ada disebutkan mengenai konsep taqiyyah. Namun, taqiyyah yang dibenarkan dalam ayat adalah berbeza sama sekali dengan taqiyyah yang menjadi asas akidah golongan Syiah. Mereka menggunakan alasan taqiyyah bagi membolehkan mereka melakukan apa sahaja perkara yang diharamkan, sedangkan taqiyyah yang dimaksudkan di dalam ayat ada situasi dan konteksnya tersendiri yang perlu diperhatikan serta diperhalusi.

Majoriti para ulama ahl al-Sunah berpendapat bahawa hukum asal taqiyyah adalah tidak boleh dan hanya mengharuskannya dalam keadaan darurat. Tetapi hukum harus tersebut masih terikat pada kadar darurat tersebut. Selain itu, mereka juga meletakkan syarat mesti ada di sana ketakutan daripada kemudaratan dan tiada jalan lain bagi menghindari kemudaratan atau kecelakaan itu melainkan dengan taqiyyah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/186-187). Al-Qurtubi menyatakan bahawa tidak halal (haram) bertaqiyyah melainkan ada bersamanya ketakutan dan kebimbangan akan dibunuh, atau dipotong dan dicederakan atau gangguan dan penganiayaan yang dahsyat. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 4/57).

Dijelaskan bahawa taqiyyah mempunyai banyak hukum sesuai dengan situasinya. Antaranya ialah ketika mana seorang lelaki Muslim berada di dalam kelompok kafir serta bimbangkan akan keselamatan dirinya daripada tindakan jahat mereka. Di sini Ibn ‘Abbas menyatakan bahawa dia boleh bertaqiyyah dengan mengucapkan sesuatu dengan lidahnya (mengenai kekufuran) sedangkan hatinya masih lagi tetap dengan keimanan serta tidak membunuh dan melakukan dosa. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/87). Manakala sebahagian ulama lain menyebutkan maknanya ialah tidak menzahirkan permusuhan dengan lisan. Bahkan harus juga menzahirkan perkataan yang disangkakan sebagai mahabbah dan kepatuhan kepada orang kafir. Namun dengan syarat dia menyembunyikan sebaliknya (yakni keengganannya mematuhi orang kafir). Sekalipun begitu, jika dia menzahirkan keimanan dan kebenaran, itu adalah lebih baik dan afdhal.

Taqiyyah adalah harus pada perkara yang membabitkan penzahiran kepatuhan atau perseteruan. Adapun pada perkara yang kembali mudaratnya kepada orang lain seperti pembunuhan, penzinaan, rampasan harta, penyaksian palsu, tuduhan penzinaan terhadap wanita Muslimah dan membuka ruang orang kafir melihat aurat orang Islam, maka semuanya adalah haram secara total. Mazhab Syafi‘i bukan hanya melihat keharusan taqiyyah dalam konteks hubungan Muslim dengan orang kafir, bahkan antara Muslim dengan Muslim di mana jika situasi hubungannya seperti dengan orang kafir, maka harus juga bertaqiyyah. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 8/13-14).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”