Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat syafaat di hari akhirat dan berapa jenis syafaat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
مَّن يَشْفَعْ شَفَـٰعَةً حَسَنَةًۭ يَكُن لَّهُۥ نَصِيبٌۭ مِّنْهَا ۖ وَمَن يَشْفَعْ شَفَـٰعَةًۭ سَيِّئَةًۭ يَكُن لَّهُۥ كِفْلٌۭ مِّنْهَا ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ مُّقِيتًۭا
Maksudnya: “Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Nisa’: 85)
Firman Allah SWT lagi:
قُل لِّلَّهِ الشَّفَاعَةُ جَمِيعًا ۖ لَّهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Maksudnya: Katakanlah, “Allah sahajalah yang memiliki seluruh hak syafaat. Dialah yang memiliki kerajaan di langit dan bumi, kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan”.
(Surah al-Zumar: 44)
Allah SWT menegaskan hak milik mutlak syafaat hanya milik-Nya kerana semua urusan ialah milik Allah SWT. Tiada sesuatu jua pun yang mampu memberi syafaat melainkan dengan izin Allah SWT. Sekiranya Allah SWT menginginkan rahmat kepada hamba-Nya, maka Allah SWT akan mengizinkan pemberian syafaat kepadanya. (Lihat al-Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.853)
Syafaat di Hari Akhirat
Nabi Muhammad SAW dikurniakan kedudukan yang tinggi pada hari akhirat yang disebut dengan (مَقَاما مَّحۡمُودا). Wahbah al-Zuhaili mengertikan (مَقَاما مَّحۡمُودا) dengan (الشفاعة العظمى ) iaitu ‘syafaat agung’ yang merujuk kepada tindakan Baginda yang akan membuat permohonan kepada Allah SWT supaya menyegerakan urusan perhitungan amalan manusia. Para ulama berbeza pandangan tentang syafaat yang akan dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW:
- Sebahagian ulama berkata: Rasulullah SAW mempunyai tiga bentuk syafaat iaitu syafaat umum, syafaat untuk menyegerakan seseorang ke syurga dan syafaat terhadap pelaku dosa besar.
- Ibn ‘Atiyyah berkata: Terdapat dua bentuk syafaat pada Nabi Muhammad SAW iaitu syafaat umum dan syafaat mengeluarkan orang-orang berdosa dari neraka.
- Abu al-Fadl ‘Iyadh berkata: Terdapat lima bentuk syafaat pada Nabi Muhammad SAW, iaitu: Syafaat umum, syafaat untuk memasukkan sekumpulan manusia ke dalam syurga tanpa hisab, syafaat untuk mengeluarkan ahli maksiat dari neraka, syafaat mengecualikan para pelaku dosa daripada terjerumus ke neraka, dan syafaat untuk meningkatkan darjat penghuni syurga ke tingkatan yang lebih tinggi.
Selain syafaat yang dikhususkan kepada Nabi Muhammad SAW, terdapat beberapa golongan lagi yang dikurniakan kelebihan untuk memberikan syafaat kepada manusia lain iaitu para nabi, para ulama dan juga orang-orang yang mati syahid. Para ulama yang dimaksudkan ialah mereka yang soleh dan beramal dengan ilmunya serta mengajarkan kepada manusia perkara-perkara yang mampu menyelamatkan mereka daripada azab Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/160-161)
Setiap ulama dikurniakan kelebihan untuk menyelamatkan jumlah manusia mengikut kadar kedudukan mereka di sisi Allah SWT. Perkara ini diisyaratkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, Rasulullah berkata:
إِنَّ مِنْ أُمَّتِي مَنْ يَشْفَعُ لِلْفِئَامِ مِنْ النَّاسِ وَمِنْهُمْ مَنْ يَشْفَعُ لِلْقَبِيلَةِ وَمِنْهُمْ مَنْ يَشْفَعُ لِلْعَصَبَةِ وَمِنْهُمْ مَنْ يَشْفَعُ لِلرَّجُلِ حَتَّى يَدْخُلُوا الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Sesungguhnya dalam kalangan umatku terdapat mereka yang mampu memberi syafaat terhadap sejumlah ramai umat manusia. Terdapat dari kalangan mereka juga yang mampu memberi syafaat terhadap sejumlah orang dalam dalam satu kabilah. Ada juga yang mampu memberi syafaat untuk sekumpulan kecil manusia dan terdapat juga dalam kalangan mereka yang mampu memberi syafaat hanya kepada seorang sahaja sehingga kesemua mereka masuk dalam syurga.”
Riwayat al-Tirmizi (2440). Hadith ini dinilai Hasan
Menurut Wahbah al-Zuhaili, Sesungguhnya Allah memiliki syafaat seluruhnya, memiliki bumi dan langit serta segala makhluk- Nya akan kembali kepada-Nya serta dihisab pada hari kebangkitan dan hari akhirat (Lihat Tafsir al-Munir 12/332-341 )
Hal yang demikian sebagaimana firman Allah SWT:
يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يَشْفَعُونَ إِلَّا لِمَنِ ارْتَضَىٰ وَهُم مِّنْ خَشْيَتِهِ مُشْفِقُونَ
Maksudnya: Allah mengetahui segala amalan masa hadapan dan masa silam mereka. Para malaikat itu tidak dapat memberi bantuan syafaat melainkan kepada golongan yang diredhai Allah. Mereka juga sentiasa berjaga-jaga daripada melakukan kesalahan kerana takutkan-Nya.
(Surah al-Anbiya: 28)
Kesimpulannya, Allah SWT amat mengasihi hamba-Nya dengan mengurniakan syafaat dan pertolongan di hari akhirat kepada orang-orang yang mendapat keredhaan-Nya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.
Wallahua`lam.