Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kalau kambing untuk akikah memang kena kambing jantan atau tidak kisah jantan atau betina? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, akikah bermaksud penyembelihan binatang korban sebagai tanda syukur di atas kelahiran anak beserta niat dan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/276).
Hukum bagi pelaksanaan akikah ialah sunat muakkad bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/426). Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada akikahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah akikah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”
Riwayat al-Bukhari (2839)
Pada asasnya haiwan yang boleh untuk dijadikan sebagai akikah adalah sama dengan haiwan yang boleh untuk dijadikan sebagai korban, dari sudut cukup umurnya dan selamat daripada aib serta kecacatan yang mengurangkan daging.
Imam al-Nawawi jelas menyebutkan, haiwan yang sah untuk dijadikan sebagai akikah ialah haiwan yang sah untuk dijadikan sebagai korban. Justeru, tidak sah sebagai akikah kambing biri-biri (ضَأْن) yang kurang usianya daripada jaza‘ah atau daripada kambing (مَعِز), unta dan lembu yang kurang usianya daripada thaniyyah. Inilah pendapat yang sahih lagi masyhur dan ia merupakan pendapat yang telah diputuskan oleh jumhur. Walau bagaimanapun, terdapat pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i sebagaimana dinukilkan oleh al-Mawardi dan selainnya bahawa sah akikah dengan kambing biri-biri (ضَأْن) yang kurang usianya daripada jaza‘ah atau daripada kambing (مَعِز) yang kurang usianya daripada thaniyyah. Akan tetapi pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i ialah pendapat yang pertama. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/429).
Selain daripada itu, Dr. Muhammad al-Zuhaili juga ada menyebutkan, disyaratkan pada akikah apa yang disyaratkan pada korban iaitu hendaklah dilaksanakan dengan kambing (غَنَم) dan seluruh haiwan ternakan (iaitu kambing, lembu atau unta). Tidak sah untuk dilakukan akikah pada kambing biri-biri (ضَأْن) yang kurang usianya daripada jaza‘ah atau daripada kambing (مَعِز), lembu dan unta yang kurang usianya daripada thaniyyah. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/494).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, di sana terdapat riwayat daripada Ummu Kurz, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
عنِ الغُلامِ شاتانِ، وعنِ الجاريةِ شاةٌ، لا يَضُرُّكم ذُكْرانًا كُنَّ أو إناثًا
Maksudnya: “Dua ekor kambing untuk anak laki-laki dan satu ekor untuk anak perempuan. Begitu juga tidak menjadi masalah bagi kamu, sama ada kambing tersebut jantan atau betina.”
Riwayat Ahmad (27139) dan al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (4530)
Menurut al-Syirazi, sekiranya perkara tersebut dibolehkan dalam akikah berdasarkan hadith ini, maka ia juga dibolehkan dalam korban kerana daging haiwan jantan lebih baik (sedap) dan daging haiwan betina lebih lembap. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/433)
Sebagaimana yang kami telah nyatakan sebelum ini bahawa haiwan yang sah untuk dijadikan sebagai akikah ialah haiwan yang sah untuk dijadikan sebagai korban, di sana terdapat penjelasan daripada Imam al-Nawawi yang menyebutkan, para ulama telah menyatakan ijma‘ bahawa korban sah dilakukan dengan haiwan jantan dan haiwan betina. Namun, mereka berselisih pendapat tentang mana yang lebih baik. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/397).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa akikah adalah sah dan boleh dilakukan sama ada dengan haiwan jantan mahupun betina, apabila ia memenuhi syarat-syarat sebagai haiwan akikah iaitu terdiri daripada bahimah al-an‘am (kambing, lembu dan unta), selamat daripada kecacatan atau aib yang mengurangkan dagingnya, dan cukup umurnya sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
بَارَكَ اللَّهُ لَكَ فِي الـمَوْهُوبِ لَكَ، وَشَكَرْتَ الوَاهِبَ، وبَلَغَ أشُدَّهُ، وَرُزِقْتَ بِرَّهُ
Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu dengan anugerah yang dikurniakan kepadamu, agar engkau mensyukuri Yang Maha Pemberi, semoga anak ini membesar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya, dan agar engkau direzekikan dengan anak itu berbuat baik kepada ibu bapanya.”