Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibenarkan konsep mubahalah dalam mencari kebenaran? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:
فَمَنْ حَآجَّكَ فِيهِ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا۟ نَدْعُ أَبْنَآءَنَا وَأَبْنَآءَكُمْ وَنِسَآءَنَا وَنِسَآءَكُمْ وَأَنفُسَنَا وَأَنفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَل لَّعْنَتَ ٱللَّهِ عَلَى ٱلْكَـٰذِبِينَ
Maksudnya: “Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: ‘Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta.’”
(Surah Ali ‘Imran: 61)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui berkenaan makna mubahalah. Mubahalah ialah bahawa sesuatu kaum berhimpun apabila mereka berselisih pendapat tentang sesuatu perkara lalu mereka berkata: “Laknat Allah SWT akan terkena terhadap orang yang zalim dalam kalangan kita.” (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/375).
Menurut Abu Bakar al-Dimyati al-Ibtihal itu merujuk kepada perkataan orang Arab, “bahalahullah” yang bererti semoga Allah SWT melaknat seseorang, dan menjauhkan seseorang itu daripada rahmat-Nya, atau seperti perkataan seseorang, “abhaltuhu” yakni aku tidak peduli terhadapnya. Dalil asal kepada ibtihal atau mubahalah adalah seperti mana yang disebut di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 61. Kemudian disyariatkan penggunaannya dalam setiap doa yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh, sekalipun tidak berlaku saling melaknat antara dua orang. (Lihat I‘anah al-Talibin, 3/282).
Dinukilkan daripada al-Kazruni yang menyatakan bahawa Syeikh al-Duwani membolehkan mubahalah selepas zaman Nabi SAW. Dia telah menulis satu risalah berkenaan syarat-syarat mubahalah yang merupakan hasil istinbat daripada al-Quran, Sunah, Athar dan kalam para ulama. Hasilnya mubahalah tidak dibolehkan melainkan untuk perkara yang penting di dalam syarak, yang mana pada dirinya terdapat keraguan dan ketegaran, yang tidak ada lagi cara lain bagi menolaknya melainkan dengan bermubahalah. Disyaratkan bagi melaksanakannya mestilah selepas tertegaknya hujah dan keperluan yang segera untuk menghilangkan syubhah. Selain itu juga, ia mesti terlebih dahulu didahulukan dengan nasihat, peringatan, namun kedua-dua perkara tersebut tidak memberi kesan mahupun manfaat kepadanya serta ada keperluan mendesak kepada mubahalah tersebut. (Lihat Mahasin al-Ta’wil, 2/330).
Selain itu, para ulama telah menyebutkan bahawa akibat atau kesudahan mubahalah tersebut akan menimpa pihak yang batil secara pasti tanpa ragu-ragu. Dalam hal ini, al-hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ada menyebutkan bahawa berdasarkan pengalaman, sesiapa yang melakukan mubahalah dan dia dalam kalangan pembela kebatilan, tidak akan bertahan lebih dari setahun sejak hari mubahalah tersebut kerana sesungguhnya dia pernah alami sendiri bersama seorang yang cenderung kepada pemikiran yang menyimpang, dan orang tersebut tidak selamat, (yakni hidup) selepas mubahalah itu lebih dari dua bulan. (Lihat Fath al-Bari, 8/95).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir Ibn Kathir, 3/75)