#4426: Nabi Isa A.S Diangkat ke Langit Setelah Wafat atau Masih Hidup

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah Nabi Isa A.S diangkat ke langit setelah wafat atau dalam keadaan masih hidup? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

إِذْ قَالَ ٱللَّهُ يَـٰعِيسَىٰٓ إِنِّى مُتَوَفِّيكَ وَرَافِعُكَ إِلَىَّ وَمُطَهِّرُكَ مِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ وَجَاعِلُ ٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوكَ فَوْقَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۖ ثُمَّ إِلَىَّ مَرْجِعُكُمْ فَأَحْكُمُ بَيْنَكُمْ فِيمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ

Maksudnya: “(Ingatlah) ketika Allah berfirman: ‘Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisi-Ku, dan akan membersihkanmu dari orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan.’

(Surah Ali ‘Imran: 55)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, jumhur Ahli Sunnah Waljamaah berpandangan bahawa Allah SWT mengangkat Nabi Isa A.S ke langit dengan jasad dan rohnya. Syaikh al-Islam Ibn Taymiyyah ditanya mengenai perkara ini, lalu menjawabnya dengan menyatakan bahawa Nabi Isa A.S masih hidup. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَيُوشِكَنَّ أَنْ يَنْزِلَ فِيكُمْ ابْنُ مَرْيَمَ حَكَمًا عَدْلًا، فَيَكْسِرَ الصَّلِيبَ، وَيَقْتُلَ الخِنْزِيرَ، وَيَضَعَ الجِزْيَةَ

Maksudnya: “Dan demi diriku yang berada di tangan-Nya, telah hampir masanya Ibn Maryam A.S akan turun kepada kamu sebagai seorang pemimpin yang adil. Lalu Baginda menghancurkan salib, membunuh babi dan membatalkan jizyah.”

Riwayat al-Bukhari (3448)

Sabit juga dalam hadith sahih yang lain bahawa Nabi Isa A.S akan turun di menara putih sebelah Timur Damsyik, dan Baginda A.S akan membunuh Dajjal. Jika rohnya telah bercerai daripada jasadnya (yakni sudah mati), nescaya Baginda A.S tidak akan turun semula ke dunia dari langit. Begitu juga, jika Baginda A.S dihidupkan semula, nescaya Baginda akan dibangkitkan dari kuburnya, bukan dari langit. Selain itu, jika rohnya telah berpisah daripada jasadnya, nescaya jasadnya akan tinggal di bumi sebagaimana jasad para nabi lain dan manusia keseluruhannya. Allah SWT berfirman dalam ayat yang lain:

وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَـٰكِن شُبِّهَ لَهُمْ ۚ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱخْتَلَفُوا۟ فِيهِ لَفِى شَكٍّۢ مِّنْهُ ۚ مَا لَهُم بِهِۦ مِنْ عِلْمٍ إِلَّا ٱتِّبَاعَ ٱلظَّنِّ ۚ وَمَا قَتَلُوهُ يَقِينًۢا ١٥٧ بَل رَّفَعَهُ ٱللَّهُ إِلَيْهِ ۚ

Maksudnya: “Padahal mereka tidak membunuhnya, juga tidak menyalibnya, tetapi mereka membunuh orang yang menyerupai Nabi Isa A.S. Sesungguhnya orang yang berselisih faham tentang pembunuhan Nabi Isa A.S berada dalam keraguan. Mereka sekali-kali tidak mengetahui perkara itu kecuali sekadar sangkaan semata-mata dan mereka tidaklah yakin bahawa mereka telah membunuhnya. Bahkan Allah SWT telah mengangkat Nabi Isa A.S kepada-Nya.

(Surah al-Nisa’: 157-158)

Ayat di atas menjelaskan bahawa Allah SWT mengangkat Baginda A.S dengan roh dan jasadnya sekali sebagaimana telah sabit dalam hadith sahih bahawa Baginda A.S akan turun semula ke bumi dengan roh dan jasad. Kalaulah benar Baginda telah wafat, nescaya Allah SWT akan berfirman, “Mereka tidak membunuhnya dan tidak pula menyalibnya, tetapi dia mati.” (Lihat al-Tafsir al-Maudhu‘i li Suwar al-Quran al-Karim oleh Mustafa Muslim et al., 1/465).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”