Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah kita disuruh berwaspada terhadap gerakan zionis dan musuh-musuh Islam? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:
وَدَّت طَّآئِفَةٌۭ مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ لَوْ يُضِلُّونَكُمْ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ
Maksudnya: “Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu).”
(Surah Ali ‘Imran: 69)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, umat Islam perlu berhati-hati terhadap tindakan-tindakan yang dilakukan oleh agen-agen pergerakan Zionis dan Kristian yang wujud pada masa kini. Al-Quran telah menjelaskan bahawa golongan Yahudi dan Kristian tidak akan meredhai agama Islam, sehinggalah umat Islam mengikut cara hidup mereka. Umat Islam mungkin tidak dapat melihat dengan mata kasar terhadap persefahaman antara mereka secara langsung. Namun persefahaman mahupun komplot yang wujud antara golongan ini perlu diberi prioriti dan keutamaan oleh umat Islam pada masa kini. Firman Allah SWT:
وَلَا تُؤْمِنُوٓا۟ إِلَّا لِمَن تَبِعَ دِينَكُمْ
Maksudnya: “Dan kelompok ahli kitab itu berkata lagi, ‘Janganlah kamu mempercayai sesiapa pun kecuali orang yang mengikut agama kamu sahaja.’”
(Surah Ali ‘Imran: 73)
Umat Islam juga harus berwaspada terhadap penggunaan jenama berunsur Islam yang menjadi propaganda golongan yang memusuhi agama ini. Penggunaan nama tersebut hanyalah bertujuan untuk mengelirukan umat Islam dalam menerima informasi mengenai agama mereka. Apabila golongan ini berganding bahu dengan mereka yang kufur, mereka akan menyerlahkan identiti mereka yang sebenar. Taktik ini dilihat seumpama peranan yang pernah dilakukan oleh ahli kitab pada zaman dahulu, cuma dalam situasi, metode dan wasilah yang berbeza.
Selain itu, tipu daya yang dilakukan oleh golongan yang memusuhi Islam bukan hanya wujud pada zaman dahulu sahaja, bahkan ia berjalan sehingga ke hari ini. Pada zaman yang lebih moden dan serba canggih ini, umat Islam sepatutnya berwaspada terhadap sumber bacaan yang wujud pada hari khususnya melalui media sosial seperti laman sesawang, Facebook, Instagram dan pelbagai lagi yang mana maklumatnya hanya berada di hujung jari. Kita dapat melihat pelbagai maklumat yang tidak benar dan boleh menimbulkan keraguan terhadap akidah Islam wujud dengan begitu berleluasa. Informasi serta unsur-unsur meragukan yang ditimbulkan oleh pihak ini tidak seharusnya dijadikan bahan rujukan oleh orang-orang Islam kerana dibimbangi ia boleh menyebabkan akidah mereka terpesong daripada landasan yang sebenar. Hal ini kerana tidak ada jalan lain bagi memahami akidah yang sebenar melainkan seseorang itu mempelajarinya dengan guru yang mendalam pengetahuannya dalam ilmu akidah, di samping sokongan sumber bacaan muktabar, nescaya dia akan memperolehi hasil yang sejati. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/430).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”