#4429: Klasifikasi Kufur dan Penyebabnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan kepada kami bagaimana kufur dibahagikan dan apakah sebabnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَـٰمِ دِينًۭا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ ٨٥ كَيْفَ يَهْدِى ٱللَّهُ قَوْمًۭا كَفَرُوا۟ بَعْدَ إِيمَـٰنِهِمْ وَشَهِدُوٓا۟ أَنَّ ٱلرَّسُولَ حَقٌّۭ وَجَآءَهُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ ۚ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi (85). Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayahNya kepada kaum yang zalim.

(Surah Ali ‘Imran: 85-86)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kufur terhadap Islam dapat diklasifikasikan kepada dua bahagian. Pertama ialah murtad; mengisytiharkan diri keluar daripada Islam. Menurut undang-undang Islam, pesalah ini akan dihadapkan ke mahkamah untuk membuktikan kes dan ditahan selama tiga hari. Sesudah itu jika tidak bertaubat maka akan dikenakan hukuman bunuh di khalayak ramai. (Lihat Qanun Jinayah Syar’iyah dan Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam berdasarkan Quran dan Sunah oleh Haji Sa’id Haji Ibrahim, hlm. 122-124).

Hukuman ini sebagai iktibar bahawa agama Allah SWT bukan bahan pertukaran atau mainan. Jika pesalah murtad ingin kembali kepada Islam maka ia akan dilepaskan pihak perundangan Islam. Walaupun mungkin ia berpura-pura taubat, ia tetap dilepaskan daripada hukum mati berdasarkan penyaksiannya semula. Mudah-mudahan ia dapat berfikir dan bermuhasabah tentang kebaikan Islam sebelum azab mencengkam diri di Akhirat.

Kufur yang kedua ialah mempertikaikan beberapa kepercayaan akidah, mempertikaikan ajaran atau menentang ajaran Islam dengan sengaja tanpa mengisytiharkan keluar daripada Islam. Ia boleh berlaku sama ada dengan perkataan, perbuatan atau ikrar dalam hati. Dalam konteks ayat larangan mencari selain Islam sebagai pegangan, kekufuran boleh berlaku apabila seseorang itu melakukan contoh perkara berikut:[1]

  • Keyakinan bahawa risalah Nabi Muhammad SAW hanya untuk bangsa Arab.
  • Mengingkari perutusan nabi-nabi.
  • Mempertikaikan hukum syariat seperti larangan riba’, ketetapan aurat, pengharaman zina,arak dan judi.
  • Keyakinan bahawa ajaran Islam bersifat primitif.
  • Melakukan upacara ritual agama lain.
  • Meletakkan ayat al-Quran dan hadis di tempat najis dan kotor.
  • Meninggalkan ibadat solat kerana ingkar terhadap pensyariatannya.

Marilah sama-sama kita mengingati dan menginsafi perintah Allah SWT.

 إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا ثُمَّ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا لَّمْ يَكُنِ اللَّهُ لِيَغْفِرَ لَهُمْ وَلَا لِيَهْدِيَهُمْ سَبِيلًا

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi pertunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.

(Surah al-Nisa’: 137)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

 

Nota kaki:

[1] Lihat Mastika Hadis, 1/225-229.