#4432: Iktibar Peperangan Uhud

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh nyatakan beberapa iktibar daripada peperangan Uhud? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِن تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Nisa’: 1-4)

Dalam menjawab soalan di atas, Perang Uhud yang berlaku pada hari Sabtu, 7 Syawal atau 11 Syawal tahun ketiga Hijrah (26 Mac 625 M) di antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraisy menyaksikan beberapa perkara penting yang perlu menjadi perhatian oleh setiap individu Muslim. Antara perkara-perkara tersebut adalah keburukan sikap tamakkan harta dan mengejar dunia. Bersikap tamak kepada harta rampasan perang dan lain-lain habuan keduniaan akan membawa kepada kegagalan dan kemusnahan seterusnya kekalahan. Perkara ini jelas dapat dilihat dalam pertempuran Uhud, apabila para pemanah meninggalkan posisi mereka lantaran keinginan nafsu untuk merebut harta rampasan perang. Hasilnya, bukan kemenangan yang berpihak kepada mereka tetapi apa yang mereka kecapi adalah sebaliknya, iaitu kekalahan dan kerugian.

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, di antara iktibar yang dapat kita ambil daripada peperangan Uhud adalah sebagaimana berikut:

Pertama: Peranan wanita dalam mempertahankan Islam

Dalam peperangan Uhud, keteguhan Nasibah Ummu ‘Amarah bersama suami dan anak-anaknya untuk terus tetap berdiri mengelilingi Rasulullah SAW ketika pertahanan tentera Islam bolos menjadi salah satu bukti penglibatan besar wanita Islam dalam perjuangan dakwah Islam. Ia juga menjadi bukti terhadap keperluan kita pada hari ini kepada wanita Islam yang memikul bebanan dakwah kepada Allah SWT Wanita Islam berperanan untuk berdakwah kepada Allah SWT di tengah kelompok pemudi, isteri dan ibu. Mereka juga berperanan mengasuh anak-anak untuk mencintai Allah SWT dan rasul-Nya, berpegang dengan Islam dan ajarannya, juga bekerja untuk kebaikan dan kemurnian masyarakat.

Kedua: Mengatur Strategi Asas Kemenangan

Kehebatan dan kepantasan Rasulullah SAW dalam mengatur strategi dan taktik dalam peperangan memberi gambaran jelas kepada kita semua bagaimana tugas nabi bukan hanya tertakluk kepada menyampaikan dakwah sahaja tetapi turut meliputi aspek pemerintahan malah peperangan dalam memastikan kalimah Allah SWT terus berada di tempat yang tertinggi.

Inilah dia peranan sebenar ulama yang dikatakan pewaris nabi maka kerja mereka bukan sahaja pada tempat ibadat tetapi turut memainkan peranan penting dalam pentadbiran dan juga tunjuk ajar dalam urusan dunia sehingga wujudnya masyarakat yang bukan sahaja taat kepada Allah SWT ketika beribadat khusus tetapi turut patuh dan tunduk pada urusan selainnya.

Ketiga: Keberanian Rasulullah SAW Inspirasi Pemimpin Islam

Posisi Rasulullah SAW berada di barisan hadapan dalam setiap pertempuran dan penglibatan Baginda SAW dalam kancah peperangan bersama tentera Islam (kecuali dalam peperangan yang dicadangkan oleh para sahabat Baginda untuk tidak berbuat demikian), menjadi dalil bahawa jawatan kepimpinan hanya disandang oleh seorang yang berani dan tetap teguh pendiriannya. Mereka yang pengecut dan lemah tidak layak memimpin rakyat, menerajui tentera, atau untuk mengepalai gerakan-gerakan pengislahan dan dakwah kebaikan. Keberanian pemimpin dan pendakwah yang dilihat menerusi tindak tanduk dan gerak kerja beliau akan menaikkan semangat dan motivasi tentera juga penyokongnya. Ia lebih ampuh berbanding 1,000 pidato bersemangat yang disampaikan di khalayak ramai. Menjadi kebiasaan tentera bawahan dan para penyokong untuk mengambil bekalan kekuatan daripada keutuhan panglima dan pemimpin mereka. Sekiranya semasa berlaku pertembungan pemimpin bersikap pengecut dan lemah di saat-saat genting, beliau akan

merosakkan perjuangan sedangkan beliau yang mengangkat panji-panjinya. Sikap beliau tersebut benar-benar merosakkan perjuangan.

Keempat: Patuh dan Hormat Terhadap Pemimpin

Tentera bawahan dan penyokong dakwah tidak boleh melanggar arahan pemimpin yang tegas lagi berpandangan jauh dalam sesuatu perkara yang diputuskan oleh beliau. Setelah mereka bertukar-tukar pendapat dan mengemukakan pandangan kepadanya, pemimpin yang memikul tanggungjawab paling besar seperti ini patut diberi kepercayaan. Sekiranya selepas perbincangan tersebut, beliau memutuskan sesuatu perkara, mereka mestilah mentaatinya. Begitu juga sikap waspada tentera bawahan terhadap keselamatan nyawa pemimpin mereka merupakan tindakan yang diputuskan oleh keinginan untuk mencapai kejayaan dalam pertempuran dan dakwah. Seseorang pemimpin perlu menerima keputusan itu kerana hidupnya bererti hidupnya dakwah. Kehilangan nyawanya pula bererti kekalahan dalam pertempuran. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 290–340).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”