#4437: Mentaati Ibu Bapa dalam Perkara Maksiat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Wajibkah kita mentaati ibu bapa kita dalam perkara maksiat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan di atas, mentaati kedua ibu bapa adalah tuntutan agama  dan fardhu ‘ain yang wajib dilakukan oleh semua orang yang bergelar anak, dan masih mempunyai ibu bapa di sisi mereka. Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Surah al-Isra’: 23)

Persoalannya, bagaimana pula jika ibu bapa menggesa anaknya untuk melakukan perbuatan jahat atau kemaksiatan kepada Allah SWT? Allah SWT hanya mewajibkan seseorang anak itu mentaati ibu bapanya yang bukan beragama Islam selama mana ia tidak terkeluar dari lingkungan perkara-perkara yang ma‘ruf. Firman Allah SWT:

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا ۖ وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”

(Surah Luqman: 15)

Dalam masa yang sama, agama yang mereka anuti tidak menjadi penghalang bagi seseorang anak itu untuk terus berbuat baik kepada kedua mereka. Imam Ibn Kathir menyebutkan, jika ibu bapa yang bukan beragama Islam menggesa anak yang beragama Islam untuk dia ikut agama mereka, maka tidak perlu terima ajakan mereka. Dan ini tidaklah menghalang dari anak itu melayan ibu bapanya dengan layanan yang baik di dunia ini. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/301)

Ini juga sebagaimana yang disebut Firman Allah SWT:

وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَـٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حُسْنًۭا ۖ وَإِن جَـٰهَدَاكَ لِتُشْرِكَ بِى مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌۭ فَلَا تُطِعْهُمَآ ۚ إِلَىَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadahmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”

(Surah al-‘Ankabut: 8)

Allah SWT menyebut, seandainya kedua ibu bapa yang bukan beragama Islam kamu menggesa kamu untuk mengikut agama mereka, maka waspadalah kamu dan kedua ibu bapamu. Sesungguhnya tempat kembali adalah kepada Allah SWT di hari kiamat, diberikan ganjaran atas amal kebaikan buat kedua ibu bapa, kesabaran di dalam agama Islam, dan akan dibangkitkan bersama orang-orang soleh dan bukannya bersama ibu bapamu, meskipun engkau adalah orang yang paling rapat dengan mereka di dunia. Ini kerana seseorang itu akan dibangkitkan pada hari akhirat bersama orang yang paling dicintai, dan cinta yang dimaksudkan adalah kecintaan dalam agama. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/239)

Islam sememangnya menegaskan akan kewajiban mentaati kedua-duanya sehingga ia banyak kali dinukilkan melalui firman Allah SWT dan juga sabda Rasulullah SAW. Dan salah satu daripada ayat-ayat peringatannya ada terdapat di dalam Surah al-‘Ankabut ini, yakni pada ayat ke-8. Bagi mereka yang melanggar kewajipan ini, iaitu berlaku derhaka terhadap kedua ibu bapanya, maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa besar dan amat berat seksaan bagi dirinya. (Lihat al-Kaba’ir, hlm. 39-40)

Hal ini kerana, berlaku derhaka kepada kedua ibu bapa termasuk dalam kategori dosa-dosa besar seperti mana sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Abd al-Rahman bin Abu Bakrah R.A, daripada bapanya, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

أَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِِأَكْبََرِ الكَبَائِرِ؟ – ثَلاَثًًا – قَالُوا: بَلَى يََا رَسُولَ اللَّهَِّ. قَالَ: الإِشْرَاكُ بِِاللَّهَِّ، وَعُقُوقُ الوَالِدَيْنِ – وَجَلَسَ وَكَانَ مُتَّكِئًا فَقَالَ – أَلاَ وَقَوْلُ الزُّورِ

Maksudnya: “‘Tidakkah kamu ingin aku memberitahu tentang dosa yang paling besar di antara dosa-dosa besar? (diucapkan sebanyak tiga kali)’. Mereka menjawab: ‘Ya, wahai Rasulullah.’ Baginda berkata: ‘Syirik kepada Allah, derhaka kepada kedua orang tua – lalu Baginda duduk, sebelumnya itu Baginda dalam keadaan bersandar – ketahuilah dan perkataan dusta.’ Dia berkata: ‘Baginda terus mengulangi perkataannya itu hingga kami berkata sekiranya Baginda diam’.”

Riwayat al-Bukhari (2654)

Namun, di dalam ayat ke-8 surah ini, Allah SWT mengikat yakni meletakkan had dalam perintah untuk berlaku taat kepada kedua ibu bapa, iaitu jika mereka berdua mendesak anaknya supaya mempersekutukan Allah SWT (dalam ibadah) dengan sesuatu yang dia tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka dilarang baginya untuk tunduk patuh kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Razi, 25/31-32)

Kesimpulan

Sebagai penjelasan, sekiranya kedua-dua ibu bapanya memaksanya untuk mengikuti agama mereka yang batil, hendaklah dia mengingkarinya. Ini sebagaimana dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

 لََا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِِي مَعْصِيَةِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam hal kemaksiatan kepada Allah SWT.”

Riwayat al-Bukhari (7257), Muslim (1740), Abu Dawud (2625), al-Nasa’ie (4205) dan Ahmad (1095)

Maka, sekiranya tidak sah mengikuti ibu bapa dalam hal akidah yang tidak diketahui kesahihannya dan kebenarannya, ketidakbolehan untuk mengikuti akidah yang sudah diketahui kebatilannya adalah lebih utama. Ini juga dalil bahawa mengikuti ibu bapa dalam kekufuran adalah dilarang. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 20/117; al-Tafsir al-Munir, 20/201)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا

Maksudnya: “Ya Allah ampunilah dosaku dan dosa keDua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku sejak kecil.”

Wallahu a‘lam