#4440: Hikmah Ujian dan Ajal Dirahsiakan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hikmah Allah SWT rahsiakan ujian dan ajal dari pengetahuan kita?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”

(Surah al-A‘raf: 34)

Setiap makhluk yang hidup di muka bumi ini pasti akan merasai mati, iaitu saat terputusnya perhubungan antara roh dan jasad serta detik permulaan ke alam akhirat. Allah SWT telah menentukan ajal seseorang sejak azali lagi dan apabila sampai masanya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun. Malaikat Izrail ditugaskan untuk mencabut nyawa dan apabila nyawa sampai di kerongkong, segala pintu taubat telah ditutup dan segala penyesalan tidak berguna lagi.

Ilmu pengetahuan berkenaan ajal maut seseorang tidaklah diketahui kecuali oleh Allah SWT sahaja. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.”

(Surah Luqman: 34)

Imam al-Tabari mengatakan, yang dimaksudkan adalah, tidak ada seorang manusia yang hidup, yang mengetahui tempat dia akan mati. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 20/806)

Berkenaan ujian dan ajal ini juga disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِٱلْعَذَابِ ۚ وَلَوْلَآ أَجَلٌۭ مُّسَمًّۭى لَّجَآءَهُمُ ٱلْعَذَابُ وَلَيَأْتِيَنَّهُم بَغْتَةًۭ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya: “Mereka mendesakmu agar dipercepatkan bagi mereka azab. Kalaulah bukan kerana waktu yang ditetapkan, pasti azab akan datang kepada mereka. Sungguh, azab yang akan datang kepada mereka dalam keadaan mengejut tanpa menyedarinya.”

(Surah al-‘Ankabut: 53)

Dan juga firman-Nya:

كُلُّ نَفْسٍۢ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”

(Surah al-‘Ankabut: 57)

Di dalam kumpulan ayat ini, kita akan melihat satu ayat yang mana Allah SWT menyatakan bahawa ujian dan azab Allah SWT akan menimpa orang musyrikin secara mengejut dan tiba-tiba tanpa mereka mengetahuinya. Melalui ayat ini, dapat kita meneliti bahawa ujian dan ajal kematian sememangnya dalam perbendaharaan rahsia Allah SWT. Ia jelas sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, sabda Rasulullah SAW:

مِفْتَاحُ الغَيْبِ خَمْسٌ لاَ يَعْلَمُهَا إِلَّا اللهُ: لاَ يَعْلَمُ أَحَدٌ مَا يَكُونُ فِي غَدٍ، وَلاَ يَعْلَمُ أَحَدٌ مَا يَكُونُ فِي الأَرْحَامِ، وَلاَ تَعْلَمُ نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا، وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ، وَمَا يَدْرِي أَحَدٌ مَتَى يَجِيءُ اَلْمَطَرُ

Maksudnya: “Kunci perkara ghaib ada lima, tidak ada yang mengetahuinya melainkan hanya Allah, iaitu tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang akan terjadi pada keesokan hari, juga tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang ada di dalam rahim, juga tidak ada jiwa yang mengetahui apa yang dia akan lakukan (kerjakan) pada esok hari, juga tidak ada jiwa yang tahu di bumi (tempat) manakah nanti dia akan mati dan tidak ada seorang pun yang tahu bilakah hujan akan turun.”

Riwayat al-Bukhari (1039)

Sebenarnya, terdapat hikmah di sebalik rahsia ini, iaitu seperti mana yang dinukilkan oleh Fakhruddin al-Razi di dalam tafsirnya, sekiranya ajal maut diketahui oleh semua manusia, nescaya mereka akan melakukan kefasiqan dan kemungkaran dengan sengaja dan dengan harapan bahawa mereka boleh bertaubat sebelum dicabut nyawa mereka. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 25/68)

Maka sebaiknya bagi kita selaku Muslim, kita mempersiapkan diri dengan amalan-amalan kebaikan dan menjauhi kemungkaran, perbanyakkan memohon keampunan kepada Allah SWT bagi menghadapi suatu saat yang kita tidak ketahui bila ia akan tiba, sehinggalah tiba masa kita bakal dijemput Ilahi.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا اللَّهُ بِسُوءِ الْخَاتِمَةِ

Maksudnya: “Ya Allah, matikanlah kami dengan pengakhiran yang baik dan janganlah kamu matikan kami dengan pengakhiran yang buruk.”

Wallahu a‘lam