#4442: Langit Mempunyai Jalan-Jalan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah langit mempunyai jalan-jalan sebagaimana dibumi? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالسَّمَاءِ ذَاتِ الْحُبُكِ

Maksudnya : Demi langit yang mempunyai jalan-jalan yang berbagai bentuk keadaannya.

(Surah al-Zariyat:7)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini Allah SWT berfirman ( وَالسَّمَاءِ ذَاتِ الْحُبُكِ ) “Demi langit yang mempunyai jalan-jalan”. Dalam ayat ini, al-Quran menceritakan kepada kita tentang jaringan yang ada pada alam semesta (jalan-jalan). Para ilmuwan pada abad ke-21 telah melakukan perhitungan algoritma untuk membuat bagan mikrokosmos dari alam semesta, dan yang mengejutkan adalah bahawa bentuk alam semesta seperti sebuah jaringan atau sarang labah-labah. Jaringan ini terdiri daripada jutaan galaksi yang berjajar pada garis-garis yang sangat kukuh. Para ilmuwan juga mengatakan bahawa jaringan ini merupakan penemuan yang paling penting dalam era global ini dan yang sangat mengagumkan adalah bahwa al-Quran telah mengisyaratkan tentang jaringan ini menerusi perkataan ( الْحُبُكِ) “jalan-jalan”. Maha Suci Allah yang telah menciptakan jaringan ini sebagaimana yang Dia nyatakan dengan firman-Nya ( وَالسَّمَاءِ ذَاتِ الْحُبُكِ ) Demi langit yang mempunyai jalan-jalan).[1]

Justeru Allah SWT bersumpah dengan fenomena-fenomena alam bagi mendekatkan perhatian dan kefahaman manusia terhadap kekuasaan-Nya. Oleh yang demikian kita hendaklah beriman dan mempercayai segala apa yang dikhabarkan dalam al-Quran.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Wallahua’lam

Nota kaki:

[1] Lihat:http://kaheel7.com/id/index.php?option=com_content&view=article&id=46:demi-langit-yang-mempunyai-jalan-jalan&catid=35:astronomi-a-ruangangkasa& Itemid=54 Diakses pada 23 November 2023