#4444: Memuliakan Tetamu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya boleh kisahkan sikap memuliakan tetamu oleh nabi Allah ibrahim ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Memuliakan tetamu adalah akhlak yang mulia. Di dalam al-Quran, ada diceritakan bagaimana para nabi dengan kemuliaan hati mereka menerima, menyambut dan melayan tetamu. Di antaranya ialah Nabi Ibrahim A.S. Allah SWT merakamkan perkara ini di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ ٱلْمُكْرَمِينَ (٢٤) إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَـٰمًۭا ۖ قَالَ سَلَـٰمٌۭ قَوْمٌۭ مُّنكَرُونَ(٢٥) فَرَاغَ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ فَجَآءَ بِعِجْلٍۢ سَمِينٍۢ(٢٦) فَقَرَّبَهُۥٓ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya : Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? (24) Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. (25) Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). (26) Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.

(Surah al-Zariyat: 24-27)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan ayat di atas merakamkan perbuatan Nabi Ibrahim A.S menyambut dan melayan tetamu yang hadir ke rumahnya walaupun Baginda tidak mengenali orang yang datang ke rumahnya itu. Baginda tidak tahu yang datang itu adalah malaikat namun Baginda tetap melayannya.

Ibn Kathir di dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Imam Ahmad dan kebanyakan para ulama mengatakan wajib melayan tetamu yang datang bertandang ke rumah.50 Kata Amin al-Syanqiti di dalam kisah Nabi Ibrahim A.S ini ada beberapa pengajaran yang boleh diambil di antaranya:

  • Segera menghidangkan makanan dan minuman untuk tetamu.
  • Hidangkan apa yang terbaik yang ada di dalam rumah.
  • Mendekatkan makanan kepada tetamu.
  • Bercakap dengan lemah lembut dengan tetamu. (Lihat Tafsir Al-Quran al-Azim, 4/300.)

Bahkan memuliakan tetamu sangat dianjurkan oleh Nabi SAW. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِِاللَّهَِّ وَالْيَوْمِ الْْآخِرِ فَلََا يُؤْذِ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِِاللَّهَِّ وَالْيَوْمِ الْْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِِاللَّهَِّ وَالْيَوْمِ الْْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ.

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat janganlah dia menyakiti jirannya, dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik atau diam.”

Riwayat Bukhari(6163)

Berdasarkan hadis ini, di antara kesempurnaan iman adalah mempunyai sifat suka memuliakan tetamu. Al-Munawi berkata: “Iaitu dia hendaklah memuliakan tetamunya sama ada kaya atau miskin. Menyambut tetamu dengan wajah yang ceria, memberikan saguhati dan membalas ziarah tersebut dengan menziarahi dan bertandang ke rumah tetamu tersebut.(Lihat Tafsir al-Bayan,5/445-446)

Antara cara memuliakan tetamu dengan menyediakan makanan dan minuman menurut kadar kemampuan dan layanan yang baik seperti memberi tempat duduk yang sepatutnya serta menghantar pulang ke pintu lebih lagi dari perkarangan. Inilah sifat melayan tetamu kerana kedatangan tetamu boleh membawa kebaikan kepada seseorang.

Seorang ulama terkemuka iaitu al-Laith bin Saad berpendapat: “Penerimaan tetamu dan memuliakannya adalah wajib selama masa satu malam. Tetapi mereka (para ulama) telah berbeza pendapat tentang apakah penerimaan tetamu itu diwajibkan atas orang kota dan orang kampung atau hanya ke atas orang kampung sahaja?”

Hukum memuliakan tetamu telah disebut oleh para ulama’:

  • Imam al-Syafie berpendapat bahawa penerimaan itu diwajibkan atas orang kota dan orang kampung.
  • Imam Malik pula berpendapat bahawa penerimaan tersebut hanya atas orang-orang kampung. Ini kerana orang-orang musafir di dalam kota atau pekan biasanya senang mendapat kemudahan dalam perkara seperti tempat penginapan atau persinggahan, juga dalam urusan membeli makanan dan selainnya.
  • Sementara itu, Qadi Iyadh berpendapat bahawa dhiafah (menerima tetamu) itu wajib dilakukan terhadap seorang musafir yang memerlukan kepada sesuatu dan keadaannya di dalam kesusahan.

Dalam masyarakat Melayu, budaya menerima tetamu amat baik seperti menjamu dan melayannya dengan mesra. Akan tetapi alangkah baiknya apabila ditingkatkan lagi seperti mana yang dianjurkan oleh Islam.

Ibn Abbas R.Anhuma berkata: Tiga jenis akhlak pada zaman jahiliyah yang baik, yang digalakkan kepada kaum muslimin untuk meneruskannya:

  • Jika tetamu datang berkunjung, nescaya dia bersungguh- sungguh menghormati dan menjamunya.
  • Jika isteri sudah tua, nescaya mereka tidak akan menceraikanya.
  • Jika jiran tetangganya mendapat kesukaran nescaya mereka akan menolongnya termasuk membayar hutang.

Imam Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Ungkapan ‘ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ’ (‘hendaklah ia memuliakan tetamunya…’) menyatakan bahawa adanya hak tetangga dan tetamu, keharusan berbuat baik kepada mereka dan menjauhi perbuatan yang tidak baik terhadap mereka.”

Justeru, seorang mukmin wajib menghormati tetamu, dan menjaga hubungan silaturrahim sepertimana yang telah dicontohi oleh nabi Allah Ibrahim. Inilah adab yang diajar oleh islam dan tanggungjawab yang seharusnya dipegang oleh setiap mukmin dalam kehidupannya. Ia harus berusaha untuk menghormati tetamu ketika dia datang, dan melayaninya dengan sepenuh hati.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Wallahua’lam