Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bagaimana bentuk pemikiran batil golongan kufur ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَإِن يَرَوْا۟ كِسْفًۭا مِّنَ ٱلسَّمَآءِ سَاقِطًۭا يَقُولُوا۟ سَحَابٌۭ مَّرْكُومٌۭ(٤٤) فَذَرْهُمْ حَتَّىٰ يُلَـٰقُوا۟ يَوْمَهُمُ ٱلَّذِى فِيهِ يُصْعَقُونَ (٤٥) يَوْمَ لَا يُغْنِى عَنْهُمْ كَيْدُهُمْ شَيْـًۭٔا وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ
Maksudnya: Dan kiranya mereka melihat sepotong besar dari langit gugur (untuk menimpa mereka), mereka akan berkata: “(Itu adalah) awan yang bertompok – berlapis-lapis!” (Kalau keingkaran dan kedegilan mereka sampai begitu sekali) maka biarkanlah mereka (wahai Muhammad, dan janganlah dihiraukan) sehingga mereka menemui hari yang padanya mereka akan binasa – (Iaitu) hari segala rancangan jahat dan tipu daya mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah kepada mereka, dan mereka pula tidak diberikan pertolongan.
(Surah al-Tur: 44-46)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan Dalam usaha dakwah kepada umat manusia, pelbagai rintangan dan ujian dilalui oleh mereka yang menyeru ke arah kebaikan dan kebenaran. Bagi Rasulullah SAW, terdapat satu masa kaum Baginda menuduhnya sebagai seorang kahin (tukang tilik), dan pada masa yang lain, mereka menuduhnya sebagai seorang yang gila. Mereka menuduh Rasulullah SAW dengan sifat-sifat ini kerana terdapatnya kepercayaan yang menjadi lumrah dalam kalangan mereka bahawa kahin menerima petunjuk-petunjuk daripada syaitan. Manakala antara sifat syaitan itu pula boleh merasuk sebahagian manusia sehingga boleh menyebabkan mereka menjadi gila.
Antara faktor lain yang mendorong mereka mengatakan bahawa Nabi SAW adalah seorang kahin atau seorang gila adalah kerana mereka bingung untuk menghadapi mukjizat al-Quran dengan ungkapan-ungkapan yang belum pernah mereka ketahui. Sedangkan, mereka merupakan satu kaum yang bijak dalam mengucapkan katakata yang indah dan berseni. Oleh sebab mereka tidak mahu mengakui bahawa al-Quran datangnya daripada Allah SWT, maka mereka perlu menghubungkan al-Quran itu dengan satu sumber yang mengatasi kemampuan manusia iaitu dengan mengatakan bahawa al- Quran yang disampaikan oleh Baginda itu adalah hasil daripada bisikan atau pertolongan jin dan syaitan.
Apa yang boleh disimpulkan daripada anggapan golongan ini ialah al-Quran itu sangat menakjubkan mereka. Adapun anggapan bahawa ia berasal daripada bisikan jin dan syaitan, atau seorang tukang sihir yang mendapat pertolongan jin, atau seorang gila yang dirasuk syaitan, semua itu hanyalah tanggapan mereka semata-mata. (Lihat Tafsir al-Bayan,5/477-478)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.
Wallahua’lam