#4446: Kesan Solat Malam Kepada Jiwa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah terdapat kesan solat malam pada jiwa seseorang? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat malam merupakan salah satu kategori solat sunat yang dituntut untuk dilakukan oleh umat Islam. Salah satu sifat ‘Ibad al-Rahman ialah mereka yang menghabiskan waktu malam beribadat dengan sujud dan berdiri kerana Tuhan mereka.72 Terdapat juga kisah para sahabat R.Anhum di mana mereka mendirikan solat pada waktu malam dan memperbanyakkan ibadat. Firman Allah SWT:

إِنَّ رَبَّكَ يَعْلَمُ أَنَّكَ تَقُومُ أَدْنَىٰ مِن ثُلُثَيِ اللَّيْلِ وَنِصْفَهُ وَثُلُثَهُ وَطَائِفَةٌ مِّنَ الَّذِينَ مَعَكَ

Maksudnya: Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (sembahyang Tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan (demikian juga dilakukan oleh) segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu

(Surah Muzammil:20)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan, Solat sunat pada waktu malam mengandungi banyak manfaat. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawasanya Nabi SAW bersabda:

أَفْضَلُ الصَّلََاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلََاةُ اللَّيْلِ.

Maksudnya: “Solat (sunat) yang paling afdhal selepas solat fardhu ialah solat malam.”

Riwayat Muslim(1163)

Kami kemukakan di sini beberapa fadhilat solat malam atau Qiamullail. Antaranya:

  • Rasulullah SAW bersabda:

يُحْشَرُ النَّاسُ فِي صَعِيدٍ وَاحِدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَيُنَادِي مُنَادٍ فَيَقُولُ: أَيْنَ الَّذِينَ كَانَتْ تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ، فَيَقُومُونَ وَهُمْ قَلِيلٌ، يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ بِغَيْرِ حِسَابٍ، ثُمَّ يُؤْمَرُ بِسَائِرِ النَّاسِ إِلَى الْحِسَابِ

Maksudnya: “Seluruh manusia akan dihimpunkan di suatu kawasan pada Hari Kiamat, lalu kedengaran satu suara yang menyeru: “Siapakah (di dunia) yang telah meninggalkan tempat-tempat tidur mereka (untuk Qiamullail)? Lalu sekumpulan kecil orang yang bangun malam itu masuk ke dalam syurga tanpa dihisab. Selepas itu barulah diperintahkan oleh Allah SWT untuk dilakukan hisab kepada semua manusia.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (2974 Menurut al-Dimyati, sanad hadith ini bermasalah dan menurut al-Busiri pula, sanad hadith ini adalah dha’if.

  • Nabi SAW bersabda:

عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ، وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ، وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ، وَمَنْهَاةٌ لِلإِثْمِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu melakukan solat malam kerana ia adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Ia mendekatkan kamu kepada Allah, menghapuskan dosa dan menjauhkan dari maksiat.”

Riwayat al-Tirmizi (3549). Menurut al-Tirmizi di sana terdapat riwayat yang lebih sahih iaitu riwayat Abu Idris daripada Abu Umamah berbanding riwayat Abu Idris daripada Bilal.

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Sabda Nabi SAW hendaklah kamu berqiyam pada waktu malam iaitu solat tahajjud. Dan sabda Nabi SAW ia adalah hidangan buat orang yang soleh bermaksud solat malam itu telah menjadi kebiasaan atau adat buat mereka. Adapun sabda Nabi SAW ia menghapuskan dosa bermakna menghapuskan dosa serta menutupnya.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/375).

  • Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنَ اللَّيْلِ سَاعَةً، لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ، يَسْأَلُ اللهَ خَيْرًا، إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada waktu malam ada satu ketika yang tidaklah seorang Muslim memohon kebaikan daripada Allah ketika itu melainkan Allah akan memberikan kepadanya.”

Riwayat Muslim (757)

Hadith ini membuktikan adanya satu waktu yang mustajab dalam setiap malam. Selain itu, hadith ini mengandungi galakan berdoa sepanjang malam serta dalam masa yang sama berharap agar terkena atau mendapat waktu mustajab tersebut.

Ulama menyatakan bahawa antara kesan mendirikan solat pada waktu malam ialah hilang rasa takut dan sedih, mendapat anugerah yang banyak daripada Allah SWT. Dia juga mencapai cita-cita sama ada yang berkaitan dunia atau yang berkaitan akhirat, menjadi hampir dengan Allah SWT dan menghapuskan kejahatan.

Selain itu, dia juga memperoleh kasih sayang Allah SWT dan penjagaan-Nya. Tambahan lagi, yang lebih penting, itu adalah merupakan salah satu alamat atau tanda kepada hamba Allah yang soleh iaitu mereka merupakan orang yang melakukan kebaikan dan sedikit sekali tidur pada waktu malam untuk beribadat kepada-Nya.

Di samping itu juga, mereka yang selalu mendirikan solat sunat pada waktu malam, akan dipermudahkan untuk meninggalkan perkara maksiat. Bahkan jauh sekali untuk mendekatinya kerana hati mereka sudah terisi dengan rasa cinta dan takut kepada Allah SWT. Justeru, bangunlah pada waktu malam untuk melakukan ibadat khasnya solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain. Moga-moga, Allah SWT akan menjadikan kita tergolong dalam golongan mereka yang mencintai-Nya dan mendapat payungan rahmat- Nya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/480-481)

Justeru Umat Islam hendaklah sentiasa istiqamah dengan amalan yang baik, sama ada secara terang-terangan atau secara sembunyi. Melalui amalan yang baik secara konsisten, ia akan memberi ketenangan kepada jiwa mereka di samping mendapat ganjaran daripada Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

 Wallahua’lam