#4447: Kisah al-Gharaniq dan Kebatilannya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah kisah al-Gharaniq itu batil ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat sebuah kisah yang dibawakan oleh para mufasir, di mana Nabi SAW pada suatu ketika, berada di Makkah dan sedang membaca Surah al-Najm. Tatkala Baginda sampai pada ayat: (أَفَرَءَيْتُمُ ٱللَّـٰتَ وَٱلْعُزَّىٰ ١٩ وَمَنَوٰةَ ٱلثَّالِثَةَ ٱلْأُخْرَىٰٓ ٢٠) yakni, “Tidakkah kamu memerhatikan dan berfikir tentang kebenaran berhala Latta dan ‘Uzza itu? Serta berhala Manat iaitu berhala yang ketiga itu?” Lalu syaitan menghasut Baginda untuk menyebut:(

تِلْكَ الْغَرَانِيقُ الْعُلَى وَإِنَّ شَفَاعَتَهُنَّ لترْجَى) iaitu, “Itulah bangau-bangau putih (berhala) yang tinggi dan syafaat mereka adalah diharapkan.” Setelah itu, Baginda meneruskan bacaannya sehinggalah ke penghujung Surah al-Najm, yang mana terdapat padanya ayat yang memerintahkan agar manusia bersujud, maka semua yang mendengar bersujud, baik yang Muslim atau kafir. Adapun orang kafir, mereka sama-sama bersujud kerana menyangka bahawa Nabi Muhammad SAW telah kembali kepada agama syirik, selepas mendengar ayat yang diajarkan syaitan kepada Baginda iaitu ayat al-Gharaniq. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 5/443.)

Kisah ini mendapat perhatian para ulama tafsir, di mana mereka menjelaskan bahawa kisah ini adalah batil dan tidak boleh diterima akal. Ditambah lagi, segala sanad yang menyampaikan kisah ini adalah lemah dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Bahkan Ibn Khuzaimah menegaskan bahawa kisah ini merupakan pembohongan yang dibuat oleh golongan al-Zanadiqah iaitu munafik, dan ini adalah pendapat majoriti ulama. (Lihat al-Shifa, 2/107,)

Namun di sebalik dakwaan para ulama ini, terdapat juga sebahagian ulama yang lain mengesahkan bahawa kisah ini mempunyai sandarannya sekalipun ia adalah lemah. Namun tafsiran kisah ini yang lebih tepat ialah Baginda SAW tidak membaca ayat al-Gharaniq itu, tetapi ia dibaca oleh syaitan dan didengari oleh golongan musyrikin sahaja. Dikatakan syaitan memerhatikan bacaan Nabi SAW dengan teliti dan ketika Baginda berhenti sebentar untuk mengambil nafas bagi membaca ayat seterusnya, maka syaitan mengangkat suaranya dengan membaca ayat al-Gharaniq. Lalu ia didengari oleh golongan musyirikin dan mereka menyangka bahawa itu adalah bacaan Nabi SAW. (Lihat Fath al-Bari, 8/440. )

Walaubagaimanapun kami katakan Keimanan kepada Rukun Iman tidak boleh berdasarkan sangkaan sahaja atau tanpa keyakinan penuh. Dalam soal akidah, kita wajib beriman dengan sepenuh hati dan membasmi keraguan dengan keyakinan ilmu.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.

 Wallahua’lam