#4450: Mengatasi Nafsu Syahwat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bagaimana cara kita menghindarkan nafsu syahwat dalam kehidupan kita ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nafsu sering mendorong manusia ke arah kejahatan dalam bentuk yang terkhusus dan terarah.  Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi menjelaskan: “Antara perbezaan godaan nafsu ialah ia amat kuat menarik ke arah kejahatan dengan hanya bersifat terarah dan terkhusus. Hal ini sepertimana firman Allah SWT:

إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي

Maksudnya: “Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu).”

(Surah Yusuf: 53)

Imam al-Tabari menjelaskan: “Sesungguhnya nafsu yang dimaksudkan ialah nafsu hamba yang memerintahkan kepada seluruh apa yang dia inginkan oleh hawanya, meskipun bukan pada sesuatu yang diredhai oleh Allah SWT.” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 13/209)

Menjawab bagi persoalan di atas Nafsu adalah musuh manusia yang dianggap sebagai kekasih dan nafs di sini adalah merujuk kepada ‘nafs haiwaniyyah’ kerana nafsu ini ada pada manusia dan binatang. Dikatakan bahawa nafsu manusialah yang selalu mendorongnya hingga kadang-kadang tergelincir dalam meniti titian hidup.77 Ia mempunyai pelbagai kehendak dan dorongan untuk memenuhi tuntutan dan keperluan hidup. Bujukan nafsu dianggap nikmat, manakala mengikutinya pula dianggap rahmat. Lihatlah di zaman serba maju ini, di kaca TV, media sosial dan sebagainya, semua medium tersebut kebanyakannya menyumbang ke arah memenuhi kehendak nafsu. Justeru, tidak hairanlah ramai di kalangan masyarakat kita pada hari ini mengalami masalah ketagihan nafsu seks seperti ketagihan menonton pornografi, berzina, seks luar tabii, dan seumpamanya.

Rentetan daripada itu, maka pada hari ini kita telah menyaksikan realiti keruntuhan akhlak dan tamadun di kalangan masyarakat Islam, di samping peningkatan kes-kes jenayah. Namun, jalan penyelesaian yang tuntas seolah-seolah masih lagi kabur pada sebahagian kita, sedangkan formulanya telah pun dinyatakan di dalam al-Quran, sebagaimana firman Allah SWT :

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka yang demikian itu lebih suci bagi mereka.”

(Surah al-Nur: 30)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan (يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ) mengatakan bahawa Allah SWT memerintahkan orang islam untuk menjaga penglihatan daripada melihat apa yang mereka bersyahwat padanya. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 19/154)

Imam al-Baidawi mengatakan bahawa sebab mengapa seseorang itu perlu menjaga pandangannya kerana ia adalah penyampai kepada zina. “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka” seperti perhiasan, pakaian dan celupan lebih-lebih lagi tempat perhiasan tersebut (anggota badan yang diletakkan hiasan padanya). Tidak boleh mempamerkannya kepada orang yang tidak halal untuk dia dedahkannya. (Lihat  Anwar Al-Tanzil, 4/104)

Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini adalah merupakan perintah Allah SWT kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah melihat melainkan hanya kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. Begitu juga, Allah SWT memerintahkan juga kepada orang-orang perempuan yang beriman agar turut sama menundukkan (menjaga) pandangan dan memelihara kemaluan mereka (daripada perkara-perkara yang diharamkan). Dan bagi membezakan mereka daripada sifat serta perbuatan wanita Jahiliyyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 4/2342-2344)

Dalam surah yang lain, Allah SWT juga ada berfirman:

وَالْحَافِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا ‎

Maksudnya: “Lelaki yang memelihara kehormatannya dan perempuan yang memelihara kehormatannya serta lelaki yang banyak menyebut nama Allah dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah; Allah telah menyediakan untuk mereka semua keampunan dan pahala yang besar.”

(Surah al-Ahzab: 35)

Oleh itu, manusia perlu menjaga kemaluan mereka, sepertimana diperintahkan kepada kaum lelaki untuk menjaga mata daripada melihat perempuan yang haram dilihat, menjaga hati daripada membayangkan kecantikan rupa paras perempuan dan seumpamanya, di samping kaum perempuan diperintahkan untuk memelihara aurat mereka daripada terdedah dan diperlihatkan kepada lelaki ajnabi. Kesan buruknya adalah mereka tidak ada peluang untuk menempuh jalan kebahagian di hari yang kekal abadi iaitu mempersiapkan diri dengan menunaikan amal ibadah kepada Allah kerana kadang-kadang sikap berlebih – lebihan dan melampau kepada wanita atau sebaliknya, boleh membawa kepada keruntuhan harga diri atau lebih parah lagi sehingga kita melupakan tujuan asal kita hidup di dunia ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa, perkara berkaitan nafsu syahwat ini amatlah susah dan berat untuk diatasi dengan akal biasa. Justeru, semua orang tidak boleh memandang ringan hal ini kerana sesiapa sahaja boleh terjerumus dan hanyut dengannya. Oleh itu, langkah awal dalam mengatasi nafsu syahwat yang melampau ini ialah dengan meninggalkan dan menjauhi perbuatan-perbuatan terkutuk, di samping menginsafi akan akibat daripada perbuatan tersebut. Pada masa yang sama, berusahalah melakukan kebaikan dalam amalan harian, mudah-mudahan ia akan membuahkan ketakwaan kepada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan,5/537-538)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

للَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam