Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apa hubung kait antara doa dan takdir? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَـٰهُ بِقَدَرٍۢ ٤٩ وَمَآ أَمْرُنَآ إِلَّا وَٰحِدَةٌۭ كَلَمْحٍۭ بِٱلْبَصَرِ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan). Dan hal Kami (dalam melaksanakan apa yang Kami kehendaki), hanyalah satu cara sahaja, (cepat jadinya) seperti sekelip mata.
(Surah al-Qamar: 49-50)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan berdoa adalah antara perkara yang sangat dianjurkan dalam agama Islam. Menurut al-Khattabi dalam kitabnya Sya’n al-Du‘a’,hlm.(4): Doa bermaksud pemohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. Kita disuruh untuk berdoa kerana besarnya kesannya terhadap apa yang akan berlaku.
Selain itu, dalam sebuah hadis, Nabi SAW ada menjelaskan bahawa besarnya kuasa doa itu sehingga mampu mengubah sesuatu takdir. Daripada Thauban R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَلاَ يَرُدُّ الْقَدَرَ إِلاَّ الدُّعَاءُ
Maksudnya: “Tidak ada yang dapat menolak takdir melainkan doa.”
Riwayat Ahmad(22413)
Seseorang yang tidak berdoa merupakan orang yang terkeliru dengan konsep takdir dan doa. Di dalam kitab Majmu‘ al-Fatawa, dijelaskan bahawa sesiapa yang berkata: “Aku tidak berdoa mahupun memohon kerana hanya bersandar dengan takdir (yang telah ditetapkan),” maka orang itu tersilap (dalam memahaminya). Hal ini kerana Allah SWT telah menjadikan doa dan permohonan sebagai sebab-sebab untuk meraih keampunan, rahmat, petunjuk, pertolongan dan rezeki-Nya. Jika seseorang itu telah ditakdirkan kebaikan yang mana dia memperolehinya dengan doa, maka kebaikan tersebut tidak akan dapat diraih kecuali dengan doanya. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 8/69-70.)
Benarlah firman Allah SWT:
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
Surah Ghafir (60)
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)
Demikianlah juga, dalam menghadapi musibah, doa dan permohonan kepada Allah SWT mampu menolong seseorang itu dalam menghadapi musibah yang sedang menimpa dirinya. Ibn Qayyim al-Jauziyyah menjelaskan di dalam kitabnya bahawa doa merupakan ubat yang paling bermanfaat dan merupakan musuh bagi musibah kerana ia dapat menghindari dan mengubatinya, menghalang daripada berlaku (turunnya musibah) atau mengangkatnya mahupun meringankannya sekiranya berlaku. Tambahan lagi, ia merupakan senjata orangorang beriman. Doa dalam menghadapi musibah terbahagi kepada tiga tingkatan:
- Doa lebih kuat daripada musibah, maka ia dapat mengusirnya.
- Doa lebih lemah daripada musibah, maka musibah dapat mengalahkannya sehinggalah seseorang ditimpa musibah. Akan tetapi, boleh jadi doa dapat meringankannya sekalipun doa tersebut lemah.
- Keduanya saling berlawanan antara satu sama lain, saling mencegah terjadinya pada orang tersebut. (Lihat al-Jawab al-Kafi,hlm. 11-12)
Oleh itu, jelaslah kepada kita betapa besarnya peranan dan pengaruh doa dalam kehidupan seharian orang-orang beriman. Moga-moga Allah SWT menjadikan kita termasuk dalam golongan mereka yang diterima doanya. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/544-545)
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.A, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللهِ بِالدُّعَاءِ
Maksudnya: “Sesungguhnya doa itu bermanfaat terhadap apa yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Oleh itu, hendaklah kamu berdoa wahai hamba Allah.”
Riwayat al-Tirmizi (3548)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”
Wallahua’lam