#4452: Kufur Nikmat dan Mensyukurinya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah keperluan bersyukur kepada Allah dapat menghindari kufur nikmat serta memberi kesan kepada kehidupan masyarakat ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

Maksudnya: “Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingatimu, dan bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu kufur.”

(Surah al-Baqarah: 152)

Menjawab bagi persoalan di atas menerusi ayat di atas atau ayat-ayat seumpamanya, menunjukkan bahawa manusia wajib bersyukur kepada Allah SWT kerana kurniaan nikmat-Nya yang cukup banyak. (Lihat al-Minhaj fi Syu‘ab al-Iman, 2/545.)

Malah berterima kasih kepada manusia atas kebaikan yang diterima juga dituntut oleh syariat kerana berterima kasih kepada manusia lain atas kebaikan menjadi kayu ukur adakah seseorang itu dapat bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat pemberian- Nya ataupun tidak.

Betapa pentingnya zikir dan juga syukur sehingga Rasulullah SAW mengajar kita untuk berdoa:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Riwayat Abu Daud (1522), al-Nasa’ie (1303), Ahmad (22119), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (1/362) dan Ibn Hibban (2020)

Doa ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُوصِيكَ يَا مُعَاذُ لاَ تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ تَقُولُ اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: Aku berpesan kepadamu wahai Muaz, janganlah engkau meninggalkan pada penghujung setiap solat dari membaca: “Ya Allah bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan elok dalam beribadah kepada-Mu.”

Riwayat Abu Daud (1552)

Syeikh al-‘Azim Abadi menjelaskan, dalam doa ini kita memohon kepada Allah SWT agar kita dapat mentaati-Nya melalui lisan, hati dan perbuatan tubuh badan. (Lihat Aun al-Ma’bud, 4/385)

Terdapat sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَشْكُرُ اللهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ.

Maksudnya: “Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.”

Riwayat Abu Dawud(4811)

Al-Khattabi mengatakan bahawa hadis ini ditafsirkan dengan dua makna, iaitu pertamanya, sesiapa yang tabiat dan kebiasaannya tidak berterima kasih terhadap kebaikan yang diterima daripada seseorang dan tidak bersyukur atas kebaikan yang diterima, maka dia termasuk dalam kategori kufur terhadap nikmat Allah SWT dan tidak bersyukur kepada- Nya. Kedua, Allah SWT tidak menerima syukur seorang hamba di atas pemberian nikmat- Nya kepadanya, jika mereka tidak bersyukur dan berterima kasih terhadap kebaikan orang lain kepada mereka. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 4/113.)

Justeru, manusia tidak mempunyai sebarang pilihan melainkan perlu kembali kepada perintah Allah SWT dengan bersyukur kepada-Nya tatkala menerima sebarang nikmat dan bersabar apabila ditimpa musibah.

Adapun pengertian kufur nikmat dapat diformulasikan sebagai pengingkaran terhadap nikmat Allah SWT, tidak bersyukur atau berterima kasih kepada-Nya. menisbahkan pemberian nikmat tersebut kepada selain-Nya dan penyalahgunaan nikmat yang diterima dengan melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah SWT seperti minum arak, berjudi dan lain-lain.

Al-Ghazali ada menyatakan di dalam kitabnya Ulum al-Din, (4/81) bahawa tidak ada sebab yang mampu memalingkan manusia daripada mensyukuri nikmat kecuali kebodohan dan kelalaian. Kebodohan yang dimaksudkan di sini adalah kerana manusia tidak mengetahui sebenarnya nikmat tersebut datang daripada Allah SWT sekalipun ia telah ditegaskan di dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya:

وَمَا بِكُم مِّن نِّعْمَةٍ فَمِنَ اللَّهِ ۖ ثُمَّ إِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فَإِلَيْهِ تَجْأَرُونَ

Maksudnya: “Dan apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka ia adalah daripada Allah.”

(Surah al-Nahl: 53)

Justeru, Akibat buruk yang lahir daripada perbuatan kufur nikmat ini bukan sahaja ada hubung kaitnya dengan Allah SWT tetapi juga dengan hubungan sosial sesama manusia dan alam persekitaran secara keseluruhan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Wallahua’lam