Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya ada dakwaan mengatakan bahawa ummat nabi muhammad paling sedikit di syurga adakah itu benar ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
ثُلَّةٌ مِّنَ الْأَوَّلِينَ (13) وَقَلِيلٌ مِّنَ الْآخِرِينَ
Maksudnya: (Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu; Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian.
(Surah al-Waqiah :13-14)
Menjawab bagi persoalan di atas Allah SWT menceritakan perihal orang-orang yang beriman daripada umat terdahulu dan juga sedikit daripada kalangan umat nabi Muhammad SAW yang didekatkan kepada Allah SWT. Mereka adalah termasuk dalam golongan besar daripada orang-orang yang terdahulu ( الْأَوَّلِينَ ) dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian ( الْآخِرِينَ). Ulama tafsir berbeza pendapat berhubung dengan makna yang dimaksudkan oleh firman- Nya,’ ( الْأَوَّلِينَ ) dan ( الْآخِرِينَ ). Menurut suatu pendapat, yang dimaksudkan dengan yang pertama ialah umat-umat terdahulu, sedangkan yang terakhir adalah umat ini iaitu umat Nabi SAW. Pernyataan ini dikemukakan oleh Mujahid dan al-Hasan al-Basri. Pandangan mereka berdua ini diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim R.A. Makna lahiriahnya menunjukkan bahawa muqarribin iaitu orang-orang yang didekatkan kepada Allah SWT daripada kalangan terdahulu jauh lebih banyak berbanding umat nabi Muhammad SAW. (Lihat Tafsir Jami’ al-Bayan, 23/98)
Tidak diragukan lagi bahawa permulaan daripada tiap-tiap umat lebih baik daripada yang terakhirnya. Dengan demikian, dapat diertikan bahawa makna ayat ini bersifat umum mencakupi semua umat. Kerana itulah disebutkan di dalam sebuah hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab sahih dan lain-lainnya melalui berbagai jalur, daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِِي، ثُُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
Maksudnya: “Sebaik-baik kumpulan manusia adalah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudah mereka, kemudian orang-orang yang sesudah mereka.”
Riwayat Bukhari(2652)
Hadis ini mengandungi makna bahawa agama ini memerlukan golongan terpilih daripada kalangan permulaan umat yang berfungsi untuk menyampaikannya kepada generasi sesudahnya. Demikian juga agama ini memerlukan orang-orang yang menegakkannya di masa-masa selanjutnya, iaitu golongan yang meneguhkan manusia agar tetap pada sunnah dan periwayatannya serta mempertahankan keberadaannya. Maka kelebihan sebegini hanya terdapat pada generasi terdahulu. Demikian pula halnya dengan tanaman yang memerlukan hujan di masa permulaannya sebagaimana juga memerlukan hujan di masa-masa mendatang. Namun, hakikatnya hujan yang permulaan itu berperanan besar dalam memastikan kesuburan tanaman. (Lihat al-Misbah al-Munir fi Tahzib Tafsir Ibnu Kathir, hlm. 1352)
Allah SWT menjelaskan keadaan penghuni syurga yang berada di atas bangku sofa panjang yang dihiasi dengan emas dan permata. Ibn Abbas R.Anhuma mengatakan bahawa bangku sofa tersebut dihiasi dengan emas iaitu dilapisi dengannya dalam keadaan wajah sebahagian ahli syurga berhadapan dengan wajah sebahagian yang lain. Tiada seorang pun yang berada di belakang yang lainnya. Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap kekal muda, tidak beruban dan tidak pula berubah keadaan mereka. Mereka membawa gelas dan cerek yang berisi minuman yang diambil daripada air yang mengalir. Semuanya diisi dengan arak daripada sungai arak yang ada di dalam syurga, sentiasa dalam keadaan mengalir. Mereka tidak pening kerana meminumnya dan tidak pula berasa mabuk.(Lihat Jami’ al-Bayan,23/99)
Para pelayan syurga itu mengelilingi mereka dengan membawa segala macam buah -buahan yang dipilih oleh mereka. Mereka juga dihidangkan dengan pelbagai jenis daging burung-burung yang diinginkan oleh para penghuni syurga. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 27/249)
Setelah itu, dinyatakan nikmat lain yang bakal diperolehi oleh ahli syurga iaitu bidadari-bidadari yang bermata bulat, bercahaya laksana mutiara yang tersimpan dengan baik. Penampilan mereka seakan-akan seperti mutiara yang putih jernih. Kesemua nikmat-nikmat yang Allah SAW sediakan kepada mereka adalah merupakan balasan dari amal baik yang telah mereka kerjakan selama di dunia. Di dalamnya, mereka tidak mendengar perkataan yang sia-sia dan tidak pula perkataan yang menimbulkan dosa tetapi mereka hanya mendengar ucapan salam. (Lihat al-Misbah al-Munir fi Tahzib Tafsir Ibnu Kathir,hlm. 1353.)
Adakah Umat Nabi Muhammad SAW Paling Sedikit di Syurga?
Berdasarkan zahir ayat 13 dan 14 Surah al-Waqi‘ah, ia menggambarkan bahawa umat Nabi Muhamad SAW adalah paling sedikit di syurga. Al-Qurtubi menyatakan bahawa, umat Nabi Muhammad SAW dianggap sedikit jika dibandingkan dengan umat terdahulu. Ini adalah kerana, terdapat sejumlah ramai para nabi dan rasul yang mendahului Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, pengikut-pengikut mereka juga ramai yang beriman kepada Allah SWT. Jumlah mereka melebihi orang-orang beriman dalam kalangan umat ini.
Al-Qurtubi juga meriwayatkan bahawa, ketika turunnya ayat:
ثُلَّةٌ مِّنَ الْأَوَّلِينَ (13) وَقَلِيلٌ مِّنَ الْآخِرِينَ
Para sahabat Nabi Muhammad SAW berasa sedih. Apabila turunnya ayat ini, Nabi Muhammad SAW bersabda menerangkan harapan Baginda bahawa umatnya akan mewakili ¼ daripada kalangan ahli syurga, bahkan 1/3 daripada kalangan mereka dan akhirnya Baginda menyatakan ½ daripada kalangan ahli syurga. (Lihat Jami’ Li Ahkam al-Quran, 20/184 )
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.” 44
Wallahua’lam