#4458: Perniagaan Bermotifkan Keuntungan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibolehkan seseorang melakukan perniagaan untuk keuntungan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, secara ringkasnya, kami katakan bahawa perniagaan bermotifkan keuntungan adalah dibolehkan selagi mana perniagaan tersebut memenuhi syarat-syarat sah jual beli dan tidak melibatkan perkara yang dilarang dalam syarak. Bahkan itulah sebenarnya tujuan perniagaan iaitu bagi mencari keuntungan, di samping mencari keredhaan Allah dan membantu ekonomi orang Islam.

Perniagaan yang dimaksudkan ialah perniagaan yang berasaskan kontrak pertukaran di antara pihak-pihak yang terlibat atau dikenali sebagai kontrak mu‘awadhah. Setiap bentuk kontrak yang melibatkan pertukaran adalah perniagaan tanpa mengira apa jua bentuk alat pertukaran dengan syarat ia tidak melibatkan perkara yang dilarang oleh syarak termasuklah riba, unsur jahalah (tidak diketahui) dan benda-benda yang diharamkan seperti arak, babi dan seumpamanya. Keredhaan di antara pihak-pihak yang terlibat di dalam kontrak menjadi syarat sah kepada kontrak tersebut. Unsur paksaan boleh mebatalkan sesuatu kontrak. Daripada Abu Sa‘id al-Khudri, daripada Rasulullah SAW bersabda:

إنما الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ

Maksudnya: “Sesuatu jual-beli itu (berasaskan) keredhaan (di antara penjual dan pembeli).”

Riwayat Ibn Hibban (4967); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai kuat.

Sebahagian fuqaha’ termasuk Imam al-Syafi‘i, Ahmad, al-Laith dan lain menetapkan khiyar majlis sebagai penyempurnaan kepada persetujuan bagi sesuatu kontrak. Ia bermaksud pihak-pihak di dalam kontrak diberikan hak untuk memilih sama ada untuk meneruskan kontrak atau membatalkannya selagi mana mereka berada di dalam majlis akad. Setelah mereka beredar daripada majlis maka berakhirlah pilihan tersebut dan sempurnalah kontrak di antara mereka.

Hal in digambarkan dalam hadith daripada Hakim bin Hizam R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

البَيِّعَانِ بِالخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا

Maksudnya: “Penjual dan pembeli memiliki hak untuk melakukan khiyar selagi mana mereka tidak berpisah (dari majlis akad).

Riwayat al-Bukhari (2079)

Ini juga adalah sebagaimana dinyatakan dalam Tafsir al-Bayan (1/593-594).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”