#4459: Tanggungjawab Suami Terhadap Isteri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah tanggungjawab suami terhadap isteri, terutamanya yang terkait dengan nafkah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ بِمَا فَضَّلَ ٱللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍۢ وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ ۚ فَٱلصَّـٰلِحَـٰتُ قَـٰنِتَـٰتٌ حَـٰفِظَـٰتٌۭ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ ٱللَّهُ ۚ وَٱلَّـٰتِى تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَٱهْجُرُوهُنَّ فِى ٱلْمَضَاجِعِ وَٱضْرِبُوهُنَّ ۖ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا۟ عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيًّۭا كَبِيرًۭا

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

(Surah al-Nisa’: 34)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa suami bertanggungjawab memberi nafkah kepada isterinya berdasarkan ayat 34 daripada Surah al-Nisa’ sebagaimana di atas. Ketidakmampuan suami tidak memberi nafkah kepada isterinya boleh menjejaskan hak kekuasaannya ke atas isterinya (qawamah). Sehubungan dengan itu, isterinya boleh memohon fasakh untuk membatalkan perkahwinan kerana tujuan perkahwinan tidak dapat dipenuhi oleh si suami sebagaimana firman Allah SWT: “وَبِمَآ أَنفَقُوا۟ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ” (dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka).

Ayat ini menjadi dalil kepada keharusan memfasakhkan perkahwinan dalam keadaan I‘sar iaitu ketidakmampuan suami untuk membayar nafkah dan menyediakan pakaian kepada isterinya. Ia adalah pandangan mazhab Maliki dan al-Syafi‘i. Manakala mazhab Hanafi tidak membenarkan fasakh berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍۢ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍۢ ۚ

Maksudnya: “Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesulitan, maka berikanlah tempoh waktu sehingga dia mendapat kemudahan.”

(Surah al-Baqarah: 280)

Islam menggariskan beberapa langkah penyelesaian di dalam pengurusan konflik suami-isteri. Ianya boleh dilaksanakan sekiranya suami-isteri tidak dapat menyelesaikannya secara saksama khususnya dalam isu isteri nusyuz.  Langkah-langkah tersebut termasuklah; pertama, memberi nasihat supaya kembali kepada jalan yang benar. Kedua, sekiranya nasihat tidak dapat menyelesaikan masalah, maka boleh dipisahkan tempat tidur mereka. Ketiga, seandainya tidak berjaya maka Islam membenarkan suami memukul dengan pukulan mendidik yang tidak menyebabkan kecederaan. Di antara contoh pukulan yang tidak mencederakan iaitu memukul menggunakan tangan sebanyak tiga kali di atas bahu dengan pukulan yang ringan. Keempat, sekiranya masih lagi tidak berjaya, kedua-dua pihak boleh menghantar dua orang hakam atau orang tengah di dalam majlis timbang tara untuk mendamaikan kedua-dua pihak. (Lihat  al-Tafsir al-Munir, 5/60).

Kami menambah di sini beberapa tanggungjawab suami yang lain,

  1. Mas Kahwin

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

 وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً ۚ

Maksudnya: Berikanlah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.

  (Surah al-Nisa’: 4)

  1. Nafkah

Di dalam hal ini, Allah SWT berfirman:

 وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya: Dan kewajipan bapa memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara makruf, seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya.

 (Surah al-Baqarah: 233)

Begitu juga hadis, Rasullullah SAW bersabda:

 ولهنَّ عليكم رِزقُهنَّ وكِسوتُهنَّ بالمعروفِ

Maksudnya: Kamu wajib memberi isteri-isteri kamu nafaqah dan pakaian dengan sewajarnya.

Riwayat Muslim (1218)

  1. Pergaulan yang baik

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

 وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya:  “Dan bergaullah dengan mereka secara patut.”

       (Surah al-Nisa’: 19)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)