#4462: Hijrah dan Pembahagiannya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah bentuk hijrah pada zaman Rasulullah SAW dan pembahagiannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ قَالُوا۟ فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا۟ كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ قَالُوٓا۟ أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةًۭ فَتُهَاجِرُوا۟ فِيهَا ۚ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًا ٩٧ إِلَّا ٱلْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلْوِلْدَٰنِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةًۭ وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: ‘Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?’ Mereka menjawab: ‘Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi.’ Malaikat bertanya lagi: ‘Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?’ Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali (97). Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).

(Surah al-Nisa’: 97-98)

Kami nyatakan hadith Nabi SAW, daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar bin al-Khattab R.A berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى، فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehi atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahi, maka hijrahnya adalah berdasarkan kepada apa yang diniatkan.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907).

Hijrah amat penting dengan sebab itu ia dititikberatkan dalam hadis ini.

Dari segi bahasa, ia memberi maksud perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia lebih kepada gerakan fizikal. Kemudian, Rasulullah SAW menukarkan makna fizikal kepada maknawi seperti sabdanya yang bermaksud: “Orang yang berhijrah itu ialah dengan  meninggalkan larangan Allah SWT.”

Pada istilah terbahagi kepada dua iaitu:

  • Berpindahnya Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Begitu juga yang dilakukan oleh sahabat Baginda. Perpindahan ini kerana semata-mata agama bukan membabitkan laba dan keuntungan duniawi.
  • Perpindahan dari negeri kufur ke negeri Islam. Jika sekiranya niat kerana Allah, maka hijrah itu termasuk dalam hijrah syarak.

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Asal perkataan hijrah ialah meninggalkan negara syirik dan berpindah ke negara Islam, sepertimana para Muhajirin berhijrah sebelum pembukaan Makkah ke Madinah. Sebelum itu juga, sebahagian daripada mereka telah
berhijrah ke bumi Habsyah yang diperintah oleh al-Najasyi.”
(Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/72-73).

Ibn al-Qayyim menyebut: Hijrah terbahagi kepada dua:

  • Hijrah dengan tubuh badan dari sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain.
  • Hijrah dengan hati kepada Allah dan Rasul-Nya, iaitu hijrah yang mengandungi (daripada) dan (kepada). Iaitu hijrah dengan hatinya daripada cinta selain Allah kepada cinta kepada-Nya. Daripada Ubudiyyah selain-Nya kepada Ubudiyyah Allah. (Lihat al-Risalah al- Tabukiah, 24-25).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa terdapat banyak faktor yang menuntut umat Islam Makkah pada zaman Rasulullah SAW untuk melakukan hijrah ke Madinah:

  • Untuk membolehkan mereka menegakkan syiar agama dan mengelakkan diri daripada penindasan.
  • Untuk membolehkan mereka mempelajari agama dan memahami hukum-hakamnya.
  • Untuk membuat persediaan bagi menegakkan sebuah negara Islam, menyebarkan dakwah Islam ke seluruh pelusuk bumi, mempertahankannya dan melahirkan para pendakwah. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/241).

Namun setelah berlaku pembukaan Makkah, hukum berhijrah ke Madinah dari Makkah sudah tidak menjadi wajib lagi. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ هِجْرَةَ، وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ، وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ، فَانْفِرُوا

Maksudnya: “Tiada hijrah (selepas pembukaan Makkah). Akan tetapi jihad dan niat. Apabila kamu diseru (untuk berjihad), maka hendaklah kamu keluar.”

Riwayat al-Bukhari (2783)

Namun jika terdapat sebab atau faktor yang menuntut hijrah berlaku seperti terdapatnya sebab-sebab yang dinyatakan di atas, maka hijrah wajib dilaksanakan pada mana-mana masa sekalipun. Ibn al-‘Arabi menjelaskan bahawa hijrah terbahagi kepada enam bahagian:

  1. Keluar dari negara harbi ke negara Islam.
  2. Keluar dari negeri bidaah.
  3. Keluar dari negeri yang banyak mengandungi perkara haram.
  4. Melarikan diri kerana takut disakiti secara fizikal di sesuatu tempat.
  5. Keluar kerana menjaga kesihatan.
  6. Melarikan diri kerana bimbang diganggu hartanya, atau ahli keluarganya, bahkan ia adalah lebih utama. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/484-486).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”