#4464: Perbezaan Mukjizat Hissiah dan Aqliah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah Perbezaan Mukjizat Hissiah dan Aqliah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا مُوسَىٰ تِسْعَ ءَايَـٰتٍۭ بَيِّنَـٰتٍۢ ۖ فَسْـَٔلْ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ إِذْ جَآءَهُمْ فَقَالَ لَهُۥ فِرْعَوْنُ إِنِّى لَأَظُنُّكَ يَـٰمُوسَىٰ مَسْحُورًۭا

Maksudnya: “Kami telah berikan kepada Musa sembilan mukjizat tanda kebenaran yang jelas. Tanyalah Bani Israel peristiwa ketika Nabi Musa datang kepada  mereka lalu Firaun berkata kepadanya, “Aku rasa engkau ini wahai Musa seorang yang telah disihir.”

(Surah al-Isra’: 101)

Syeikh al-Sa’di berkata: “Iaitu Allah menyatakan kepada Nabi Muhammad SAW: wahai Rasul yang dikuatkan dengan ayat-ayat, engkau bukanlah rasul pertama yang didustakan oleh manusia. Sesungguhnya Kami telah mengutus sebelum engkau, Musa bin Imran al-Kalim, kepada Fir’aun dan kaumnya. Kami memberikan kepadanya sembilan tanda yang jelas, setiap tanda sudah cukup bagi orang yang bermaksud mengikuti kebenaran. Antara tanda-tanda itu termasuk ular, tongkat, banjir besar, belalang, kutu, katak, darah, kutukan, dan belah laut. Jika ada keraguan tentang salah satu dari itu, maka tanyakanlah kepada Bani Israil ketika tanda-tanda itu datang kepada mereka, Fir’aun berkata kepada Musa dalam konteks tanda-tanda ini, ‘Sesungguhnya aku kira engkau, hai Musa, terkena sihir.'” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 467)

Perbezaan antara Mukjizat Hissiyyah dan Mukjizat Aqliyyah

Al-Jurjani dalam kitab Ta’rifat mendefinisikan mukjizat dengan perkara yang terjadi di luar adat kebiasaan yang mengajak kepada kebaikan dan kebahagiaan dengan disandarkan kepada pengakuan kenabian seorang Nabi dan bertujuan untuk menampakkan kebenaran utusan daripada Allah SWT. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 231)

Mukjizat terbahagi kepada dua iaitu mukjizat hissiyyah dan mukjizat aqliyyah. Mukjizat hissiyyah adalah mukjizat yang dapat dilihat dengan mata kasar dan disaksikan oleh semua yang hidup di zaman tersebut seperti mukijizat unta Nabi Saleh yang keluar dari celah batu, tongkat Nabi Musa yang bertukar menjadi ular, tangan Nabi Isa boleh menyembuh penyakit kusta, sopak, menghidupkan orang mati dan seumpamanya. Menurut Dr. Saaduddin al-Soleh mukjizat hissiyyah adalah mukjizat yang bersifat peribadi dan dilihat dengan mata kepalanya sendiri dengan jumlah yang ramai. Kebanyakan mukjizat hissyiyyah diturunkan kepada Bani Israel kerana kecetekan akal dan mata hati mereka daripada melihat kebenaran. (Lihat al-Mukjizah wa al-I’jaz fi al-Quran al-Karim, hlm. 28)

Antara contoh mukjizat hissiyyah ialah:

  • Api yang membakar Nabi Ibrahim AS menjadi sejuk.
  • Unta betina Nabi Saleh AS yang keluar daripada celah batu.
  • Tongkat Nabi Musa AS bertukar menjadi ular, membelah lautan dan pelbagai lagi.
  • Nabi Isa AS boleh menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan penyakit kusta, sopak, orang buta dan pelbagai lagi.
  • Mukjizat sampingan Nabi Muhammad SAW membelah bulan, keluar air dari jarinya, batu-batu kerikil bertasbih dan didengari ramai, makanan sedikit menjadi banyak.

Manakala mukjizat aqliyyah pula bersifat umum ditujukan kepada akal fikiran, setiap manusia dapat merasainya dengan akal fikiran pada setiap masa, tempat dan bangsa. Mukjizat aqliyyah hanya satu sahaja iaitu al-Quran yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Berbeza dengan Bani Israel yang diturunkan mukjizat hissiyyah yang bersifat material.

Mukjizat aqliyyah tidak mampu dilihat dengan mata kasar, tetapi menerusi mata hati, pemikiran, serta tadabbur terhadap ayat-ayatnya. Oleh itu, ia memerlukan pemikiran, analisis berpaksikan mata hati yang bersih. Ia satu-satunya mukjizat yang kekal sehingga hari ini bahkan sehingga  hari kiamat kelak. Al-Quran merupakan kitab yang meletakkan manhaj hidup paling sempurna, mengajak manusia berfikir menggunakan mata hati, memenuhi segala keperluan fitrah manusia dan kekal untuk dibaca, dihayati dan diamalkan oleh setiap generasi sehingga hari kiamat.

Adapun mukjizat yang bersifat material (hissiyyah) hanya bersifat sementara sepanjang hayat seseorang nabi atau rasul, mukjizat itu akan hilang dengan kewafatan mereka. Ini tidak berlaku kepada al-Quran yang bersifat kekal sehingga kiamat. Bentuk mukjizat jenis ini adalah untuk membenarkan risalah kerasulan dan memberi amaran atas pendustaan dan keingkaran akan diiringi dengan azab kemusnahan. Akan tetapi, Bani Israel tidak diperintahkan beriman dengan mukjizat hissiyyah seperti beriman dengan tongkat Nabi Musa AS atau beriman dengan unta Nabi Soleh AS, bahkan kewajipan mereka beriman dengan Allah SWT dan rasul-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tidak ada yang menghalang Kami mengutus kepadamu bukti mukjizat melainkan bukti itu telah didustakan oleh umat-umat terdahulu. Kami telah kurniakan kaum Thamud seekor unta betina sebagai mukjizat yang nyata tetapi mereka telah menzaliminya. Dan tidaklah Kami mengirimkan bukti-bukti mukjizat itu melainkan untuk memberi amaran yang menakutkan. (Surah al-Isra’ : 59)

Justeru, mukjizat hissiyyah hanyalah bersifat sementara, dapat dilihat dengan pancaindera, hilang dengan kewafatan Nabi SAW, namun mukjizat hissiyyah bukanlah objek dakwah. Berbeza dengan mukjizat aqliyyah yang bersifat kekal sehingga kiamat, tidak dapat dilihat seperti mukjizat hissiyyah tetapi dapat dirasakan melalui akal fikiran, tidak hilang dengan kewafatan Nabi Muhammad SAW malah dapat dikongsi bersama umatnya dan mukjizat al-Quran ini jugalah merupakan manhaj dakwah dan petunjuk manusia ke arah kesejahteraan dunia akhirat.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa mukjizat hissiyyah hanyalah bersifat sementara, dapat dilihat dengan pancaindera, hilang dengan kewafatan Nabi SAW. Para rasul sebelum Rasulullah SAW diberikan banyak mukjizat yang bersifat maddi yang tidak kekal dan berakhir selepas kematian mereka. Berbeza dengan mukjizat aqliyyah yang bersifat kekal sehingga kiamat, tidak dapat dilihat seperti mukjizat hissiyyah tetapi dapat dirasakan melalui akal fikiran, tidak hilang dengan kewafatan Nabi Muhammad SAW malah dapat dikongsi bersama umat baginda SAW.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”