#4469: Ilmu Matematik Melalui Ayat 25 Surah al-Kahfi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah pengenalan ilmu matematik secara tidak langsung dalam surah al-Kahfi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَبِثُوا۟ فِى كَهْفِهِمْ ثَلَـٰثَ مِا۟ئَةٍۢ سِنِينَ وَٱزْدَادُوا۟ تِسْعًۭا ٢٥ قُلِ ٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثُوا۟ ۖ لَهُۥ غَيْبُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ أَبْصِرْ بِهِۦ وَأَسْمِعْ ۚ مَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَلِىٍّۢ وَلَا يُشْرِكُ فِى حُكْمِهِۦٓ أَحَدًۭا

Maksudnya: “Mereka tidur di dalam gua selama tiga ratus tahun mengikut takwim matahari dan mereka tambah sembilan tahun mengikut takwim bulan. Katakanlah wahai Muhammad, “Allah lebih mengetahui tempoh mereka tidur. Dia memiliki segala yang tersembunyi di langit dan bumi. Alangkah hebat penglihatan Allah dan pendengaran-Nya. Tiada siapa selain-Nya yang mampu menjadi pelindung dan tiada siapa yang mampu menjadi sekutu dalam pentadbiran-Nya.”

(Surah al-Kahfi: 25-26)

Syeikh al-Sa’di berkata: Allah melarang Ahli Kitab untuk meminta keterangan tentang urusan Ashabul Kahfi, disebabkan ketidaktahuan mereka terhadap hal tersebut. Allah adalah Maha Mengetahui tentang yang gaib dan yang nyata, Maha Mengetahui segala sesuatu. Dia memberitahukan kepada-Nya mengenai berapa lama mereka tinggal di dalam gua, dan pengetahuan itu hanya ada pada-Nya sendiri. Sesungguhnya, itu adalah dari pengetahuan ghaib yang hanya diketahui oleh-Nya, kerana perkara ghaib yang ada di langit dan bumi serta segala isinya adalah khusus bagi-Nya. Apa yang dikhabarkan-Nya melalui lidah rasul-rasul-Nya adalah kebenaran yang pasti, yang tidak ada keraguan padanya. Dan apa yang tidak diwahyukan-Nya kepada rasul-rasul-Nya, maka tidak ada yang mengetahuinya dari makhluk-Nya. (Lihat Tasiir al-Karim al-Rahman, hlm. 474)

Pengenalan Ilmu Matematik Secara Tidak Langsung Menerusi Ayat 25 serta Kemukjizatan Angka (al-I‘jaz al-‘Adadi)

Berdasarkan ayat 25 Surah al-Kahfi, dapat diperhatikan terdapatnya elemen matematik yang perlu dipelajari oleh umat Islam. Pada ayat tersebut, Allah SWT tidak menyatakan 309 tahun secara terus, akan tetapi ayat tersebut menyatakan 300 tahun terlebih dahulu, ditambah 9 tahun  menjadi 309 tahun. Ayat ini secara prinsipnya menjadi isyarat mengenai saranan mempelajari ilmu matematik. Dalam Tafsir Jalalain pula, dinyatakan 300 tahun tersebut merujuk kepada kalendar matahari (Masihi), bersamaan 309 tahun yang merujuk kepada kalendar bulan (Hijri). Pernyataan ini sememangnya benar kerana pada setiap 100 tahun Masihi berlalu, akan berlakunya pertambahan 3 tahun bagi tahun Hijri menjadikan 103 tahun (103 tahun x 3 = 309 tahun Hijri). Penemuan ini sekali gus menyerlahkan kemukjizatan al-Quran dengan penyataan 300 tahun ditambah 9 tahun menerusi ayat ke-25 ini.

Dalam pada itu, hasil penemuan mendapati bahawa, kalimah “لبثوا” (tinggal) yang bermula pada ayat 12 sehingga kalimah “لبثوا” ayat 25 memiliki rahsianya yang tersendiri. Didapati apabila dikira jumlah perkataan bermula daripada kalimah tersebut pada ayat 12 sehingga pada kalimah yang sama ayat 25, terdapat 309 jumlah perkataan (dengan mengambil kira huruf “و” yang juga sebagai perkataan). Hal ini bertepatan dengan tempoh Ashabul Kahfi tinggal (لبثوا) dalam gua tersebut iaitu selama 309 tahun. Begitu juga, sekiranya dikira perkataan “لبثوا” (tinggal) yang bermula pada ayat 12 sehingga kalimah “مائة” pada ayat 25, sememangnya jumlah bilangan perkataan ialah 300 kalimah, dan hal ini bertepatan dengan tempat berhentinya perkiraan kalimah tersebut pada ayat 25 iaitu (ثلاث مائة) tiga ratus. Penemuan ini sekaligus menzahirkan kemukjizatan al-Quran dari aspek penyusunan kalimahnya yang memiliki rahsianya yang tersendiri. Kemukjizatan ini dirungkai pada angka-angka yang disebutkan dalam al-Quran dan ia dilihat begitu signifikan dengan bilangan kalimah dalam al-Quran. Maha Suci Allah SWT yang menurunkan al-Quran dengan penuh kemukjizatan. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/199-200)

Kesimpulan

Kisah Ashabul Kahfi menjadi refleksi kepada seluruh manusia bahawa kehidupan selepas kematian adalah sesuatu yang pasti berlaku dan Allah SWT Maha Berkuasa menghidupkan manusia setelah mati sebagaimana Dia Maha Berkuasa menghidupkan kembali para pemuda Kahfi yang ditidurkan di gua melebihi 300 tahun.

Rahsia dan kemukjizatan al-Quran pastinya dapat dibongkar apabila umat Islam berusaha mentadabbur dan menghayati kandungannya. Menerusi subtema ini, terdapat penemuan yang berkait rapat dengan kemukjizatan angka, sekaligus dapat menambah penghayatan kandungan al-Quran serta menambahkan keimanan kepada Allah SWT. Penemuan ilmiah dalam al-Quran tersebut juga boleh menjadi hujah yang bernas terhadap golongan bukan Islam agar dapat memikat mereka kepada keindahan Islam menerusi kemukjizatan al-Quran.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”