Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan ajaran menyembah iblis?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ ٱسْجُدُوا۟ لِـَٔادَمَ فَسَجَدُوٓا۟ إِلَّآ إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ ٱلْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِۦٓ ۗ أَفَتَتَّخِذُونَهُۥ وَذُرِّيَّتَهُۥٓ أَوْلِيَآءَ مِن دُونِى وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّۢ ۚ بِئْسَ لِلظَّـٰلِمِينَ بَدَلًۭا
Maksudnya: “Ingatlah Kami pernah berkata kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam.” Lalu mereka semua sujud kecuali Iblis. Dia ialah sebahagian daripada jin yang derhaka kepada perintah Tuhannya. Adakah kamu mahu mengambilnya dan zuriat keturunannya sebagai pelindung kamu selain daripada-Ku sedangkan mereka ialah musuh kamu? Dialah seburuk-buruk pengganti bagi Allah yang diambil oleh orang-orang yang zalim.”
(Surah al-Kahfi: 50)
Allah SWT memerintahkan para malaikat untuk bersujud kepada Nabi Adam A.S. sebagai tanda menghormati dan mengiktiraf keutamaan Nabi Adam AS. Para malaikat taat untuk sujud melainkan iblis yang enggan taat. Iblis mendakwa ia lebih mulia kerana diciptakan daripada api. Ia berasa angkuh dan enggan sujud menghormati Nabi Adam A.S yang diciptakan daripada tanah. Iblis adalah daripada golongan jin yang diciptakan daripada api. Golongan jin sering ingkar terhadap perintah Allah SWT kerana merasakan darjat dan kedudukan mereka lebih tinggi berbanding manusia. Hakikatnya, Allah SWT telah memberi kedudukan yang lebih tinggi kepada manusia selaku khalifah. Penciptaan manusia adalah lebih sempurna lantaran memiliki akal, kudrat dan kemampuan untuk beriman. Setelah Iblis ingkar untuk sujud, maka iblis dikira menentang ketetapan Allah SWT. Sejarah ini perlu dikenang manusia agar berwaspada terhadap sifat tercela Iblis. Tidak patut manusia menjadikan tunjuk ajar Iblis dan syaitan yang menjadi keturunannya sebagai ikutan secara langsung atau tidak langsung. Ada dalam kalangan manusia yang menjadikan makhluk tercela ini sebagai sembahan, pemujaan dan pembantu dalam aktiviti sihir. Manusia juga sanggup mengiyakan bisikan iblis dan syaitan dengan cara melakukan perkara keji dan mungkar. Jenayah menumpahkan darah, rogol dan menipu manusia adalah bentuk jenayah yang menggembirakan iblis dan syaitan.
Ajaran Menyembah Iblis dan Syaitan
Walaupun iblis dan syaitan ialah makhluk terlaknat tetapi sebahagian manusia masih mengiktiraf entiti kejahatan ini. Perkara ini berlaku dalam hal serius seperti pemujaan, amalan sihir, hiburan yang haram atau tindakan biasa yang meraikan nama iblis dan syaitan. Mereka gemar melakarkan gambaran iblis pada dinding dan juga pakaian. Terdapat juga mereka yang menamakan kumpulan mereka dengan nama Iblis kononnya untuk mencipta kelainan.
Sebagai contoh, Victor Damian Rovo mencetuskan kontroversi di Montenegro, Colombo dengan mewujudkan Gereja Penyembahan iblis pada tahun 2016. Masyarakat Colombo termasuk penganut Kristian tidak bersetuju dengan pembukaan gereja ini yang menjalankan ritual yang janggal. Gereja ini telah menempatkan replika iblis di ruang hadapan untuk tujuan ritual penyembahan Iblis[1].
Di samping mempersekutukan Allah SWT dengan iblis atau mana-mana sembahan, manusia juga dinilai hilang kewarasan apabila berminat untuk mengagungkan ajaran iblis dan syaitan. Ini dapat dilihat menerusi penubuhan The Black Metal. Kumpulan ini mengadakan upacara memijak al-Quran, memuja syaitan dan mengamalkan seks bebas. Menurut Fatwa Wilayah Persekutuan yang diwartakan pada 25 Januari 2007, amalan The Black Metal adalah sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam. Umat Islam perlu menjauhi kumpulan tersebut kerana perbuatan dan amalan mereka boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam.[2] (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/225)
Allah SWT memberi ingatan kepada manusia dengan firman-Nya:
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا۟ ٱلشَّيْطَـٰنَ ۖ إِنَّهُۥ لَكُمْ عَدُوٌّۭ مُّبِينٌۭ ٦٠ وَأَنِ ٱعْبُدُونِى ۚ هَـٰذَا صِرَٰطٌۭ مُّسْتَقِيمٌۭ ٦١ وَلَقَدْ أَضَلَّ مِنكُمْ جِبِلًّۭا كَثِيرًا ۖ أَفَلَمْ تَكُونُوا۟ تَعْقِلُونَ
Maksudnya: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya dia musuh yang nyata terhadap kamu! Dan (Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembah-Ku, inilah jalan yang lurus. Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?”
(Surah Yasin : 60-62)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”
Nota kaki:
[1] Gereja Penyembah Iblis Pertama di Dunia, https://iluminasi.com/bm/gereja-pemuja-syaitan-lucifer.html.
[2] Lihat http://efatwa.muftiwp.gov.my/fatwa/58f12a7f42a9ee0593b5f81b1bb017c9