Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah tatacara dan cara dalam mendapatkan ilmu berdasarkan kisah Nabi Musa AS dan Khidir AS?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ ۚ فَٱرْتَدَّا عَلَىٰٓ ءَاثَارِهِمَا قَصَصًۭا ٦٤ فَوَجَدَا عَبْدًۭا مِّنْ عِبَادِنَآ ءَاتَيْنَـٰهُ رَحْمَةًۭ مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَـٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًۭا ٦٥ قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰٓ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًۭا ٦٦ قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًۭا ٦٧ وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِۦ خُبْرًۭا ٦٨ قَالَ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ صَابِرًۭا وَلَآ أَعْصِى لَكَ أَمْرًۭا ٦٩ قَالَ فَإِنِ ٱتَّبَعْتَنِى فَلَا تَسْـَٔلْنِى عَن شَىْءٍ حَتَّىٰٓ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًۭا
Maksudnya: “Nabi Musa berkata, “Itulah tempat yang kita cari.” Lalu mereka berpatah balik menjejak kesan laluan mereka. Sampai di sana, mereka menemui seorang daripada hamba-hamba Kami iaitu Khidir yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dan Kami telah mengajarnya ilmu dari sisi Kami. Nabi Musa berkata kepadanya, “Bolehkah aku mengikutmu supaya kamu mengajarku daripada ilmu dan petunjuk yang telah diajarkan kepadamu.” Khidir berkata, “Sesungguhnya kamu tidak akan mampu bersabar bersamaku.” “Bagaimana kamu boleh bersabar terhadap perkara yang kamu tidak mengetahuinya dengan mendalam?”Nabi Musa berkata, “Insya-Allah kamu akan dapati aku seorang yang sabar dan tidak akan membantah sebarang perintahmu.” Khidir berkata, “Jika kamu mengikutiku maka jangan bertanya tentang sesuatu pun sehinggalah aku menjelaskannya kepadamu.””
(Surah al-Kahfi: 64-70)
Dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan Nabi Musa A.S untuk menemui Nabi Khidir A.S bagi mendalami hakikat bahawa terdapat insan yang lebih berilmu daripada Baginda. Perintah ini rentetan daripada peristiwa yang dirakamkan riwayat Ubai bin Ka‘ab R.A di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Nabi Musa A.S pernah ditanya oleh Bani Israel tentang siapakah yang paling berilmu. Baginda telah menjawab bahawa dirinyalah yang paling berilmu. Jawapan ini tidak digemari Allah SWT kerana Nabi Musa A.S kelihatan tidak menyandarkan jawapan kepada Allah SWT. Allah SWT ingin mendidik Nabi Musa A.S tentang hakikat sebenar lalu memerintahkan Nabi Musa A.S menempuh perjalanan menemui hamba-Nya iaitu Nabi Khidir A.S yang memiliki ilmu dan hikmah yang agung daripada-Nya. Lokasi Nabi Khidir A.S adalah di pertemuan dua laut. Bagi menjejak lokasi tersebut, Nabi Musa A.S perlu membawa bekalan makanan untuk perjalanan yang jauh dan tidak diketahui tempohnya.
Bagi menunaikan perintah Allah SWT, Nabi Musa A.S berkata kepada pemudanya atau temannya bahawa baginda akan mencari Nabi Khidir A.S biarpun terpaksa berjalan bertahun-tahun atau menempuh perjalanan yang amat jauh. Nama pemuda tersebut ialah Yusya‘ bin Nun, dan beliau merupakan pembantu Nabi Musa A.S. Meskipun ia adalah pembantu atau khadam, al-Quran tidak menyebut dengan sebutan tersebut. Al-Quran mengajar kesopanan Islam dengan menyebut seseorang yang berbakti dengan sebutan “anak muda” sebagai panggilan terhormat. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/229)
Tatacara Mendapatkan Ilmu
Kisah pertemuan Nabi Musa dan Nabi Khidir A.S menzahirkan beberapa iktibar dalam usaha mencari ilmu. Nabi Musa A.S sanggup menempuh perjalanan yang panjang untuk menemui Nabi Khidir A.S. Setelah bertemu, Nabi Musa A.S menunjukkan adab dengan memberi salam, meminta izin dan bersedia untuk akur dalam perguruannya. Nabi Khidir A.S juga menunjukkan beberapa adab seperti meraikan Nabi Musa A.S, ikhlas, sabar dan mendahulukan perintah Allah SWT. Nabi Musa A.S didapati tidak bersabar dalam beberapa perkara kerana Baginda bertindak berdasarkan fahaman syariat. Setelah ditegur, Nabi Musa A.S kemudiannya akur terhadap bicara Nabi Khidir A.S.
Sesuatu ilmu itu tidak akan dapat dicapai melainkan dengan cara menunaikan tatacara ilmu dengan sempurna. Al-Syafi‘i ada menyebut bahawa ilmu tidak akan dapat dicapai melainkan menerusi enam tatacara:
- Zaka’ (kebijaksanaan)
- Hirs (keterujaan dan keazaman)
- Ijtihad (kegigihan)
- Bulghah (kemampuan)
- Irsyad al-Ustaz ( bimbingan pendidik)
- Tul al-zaman (sepanjang masa)
(Lihat Tafsir al-Bayan, 3/230-231)
Ucapan Imam al-Syafi’i ini disampaikan dalam bentuk syair yang kami nukilkannya dalam buku kami Tinta Nasihat Buat Penuntut Ilmu (hlm. 73-74):
أَخِي لَنْ تَنَالَ الْعِلْمَ إِلَّا بِسِتَّةٍ
سَأُنَبِّيْكَ عَنْ تَفْصِيْلِهَا بِبَيَانِ
ذَكَاءٌ وَحِرْصٌ وَاجْتِهَادٌ وَبُلْغَةٌ
وَإِرْشَادُ أُسْتَاذٍ وَطُوْلُ زَمَانِ
Saudaraku, kamu tidak beroleh ilmu kecuali dengan enam
Aku khabarkan kepadamu secara tafsil dan nyata
Cerdik, loba, bersungguh, berkehendak,
Mendapat bimbingan ustaz dan panjang tempohnya
(Dinukilkan dari kitab Majma’ al-Adab fi Mu’jam al-Alqab oleh Ibn al-Futi al-Syaibani, 2/125; Lihat juga al-Adab al-Syar’iyyah oleh Ibn Muflih, 1/272; dan Wafayat al-A’yan, 7/168)
Kesimpulan
Nabi Musa A.S menunjukkan adab dalam mendapatkan ilmu daripada Nabi Khidir AS. Demikianlah para penuntut ilmu hari ini, hendaklah mempelajari dan mengamalkan adab yang baik dalam usaha untuk ilmu dan keberkatan daripada Allah SWT.
Dalam perjuangan untuk menyampaikan dan menuntut ilmu, hendaklah dihiasi dengan sifat sabar. Tanpa kesabaran, ilmu tidak dapat diperolehi dan hilang keberkatan. Kefahaman dan kejayaan ilmu dibina hasil daripada usaha, pengorbanan dan ketekunan yang berpanjangan.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”