#4476: Batas Iman dan Kufur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan dengan lebih lanjut batasan antara iman dan kufur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ ۚ فَمَا جَزَاءُ مَن يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Maksudnya: Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

(Surah al-Baqarah: 85)

Iman merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan seorang mukmin. Para ulama telah menjelaskan bahawa Iman dan Islam itu ada pintu masuk dan juga pintu keluarnya. Sesungguhnya ikrar dan membenarkan dua kalimah syahadah itu menjadi pintu dan kuncinya. Seseorang itu dianggap keluar daripada Iman dan Islam apabila lahir daripadanya perkataan, perbuatan atau kepercayaan yang membatalkan ikrar dan keimanan. Oleh itu sesiapa yang bercakap atau melakukan perkara-perkara yang menunjukkan keingkarannya terhadap ikrar syahadah maka syahadahnya terbatal dan keluarlah ia dari Islam.

Iman dapat membentuk sifat dan perwatakan seseorang manusia agar menjadi mulia dan terpuji. Hal ini kerana Allah SWT amat menyayangi seseorang yang mempunyai akhlak yang terpuji dan indah di pandangan mata manusia lain dan beriman pada-Nya dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Beriman kepada Allah adalah hubungan yang amat mulia di sisi Allah SWT iaitu semulia-mulia hubungan antara manusia dengan Allah. Oleh itu, jika seseorang itu mendapat petunjuk daripada-Nya hinggalah ia taat dan patuh pada suruhan-Nya serta meninggalkan larangan-Nya merupakan suatu hidayah terbesar yang diperolehi oleh seseorang itu. Iman bukan sekadar ucapan semata-mata yang dikeluarkan dari mulut dan lidah atau keyakinan dalam hati. Tetapi iman yang sebenar-benarnya adalah akidah dan kepercayaan yang mengisi ruang isi nurani Muslim yang beriman kepada-Nya.

Sebagai seorang Muslim yang telah memahat janji dengan penuh keyakinan dalam ungkapan syahadah, menjadi suatu kewajipan untuk terus beristiqamah dalam memelihara segala tuntutannya. Dengan itu, seseorang akan tetap dianggap sebagai Muslim selagi mana tidak terjebak ke dalam apa jua bentuk kekufuran. Justeru itu, menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk mengetahui batas-batas antara iman dan kufur sebagaimana yang dijelaskan dalam nas-nas syarak.

Pada asasnya, seseorang masih dikira Muslim sekiranya memenuhi ciri-ciri sebagaimana disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas R.A, bahawasanya  Rasulullah SAW bersabda:

 مَنْ صَلَّى صَلَاتَنَا وَاسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا وَأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَذَلِكَ الْمُسْلِمُ الَّذِي لَهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَذِمَّةُ رَسُولِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat seperti solat kita, menghadap ke arah kiblat kita, makan sembelihan kita, maka dia adalah Muslim. Dia mendapat jaminan Allah dan rasul-Nya.”

Riwayat al-Bukhari (391)

Imam al-Nawawi berkata: “Ulama Ahli Sunnah wal Jama‘ah daripada kalangan ahli hadith, fuqaha’ dan mutakallimin telah bersepakat bahawa seorang Mukmin yang dihukum ahli qiblat, dan tidak kekal dalam neraka adalah orang yang benar-benar memiliki keyakinan yang pasti terhadap agama Islam, bersih daripada sebarang keraguan dan telah jelas mengucapkan dua kalimah syahadah.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 1/149)

Al-Tahawi berkata: “Dan kami menamakan ahl al-Qiblah sebagai Muslimin dan Mukminin selama mana mereka mengiktiraf dan membenarkan apa yang dibawa dan dikhabarkan oleh Nabi Muhammad SAW. (Lihat al-Aqidah al-Tahawiyyah, 2/432)

Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi ketika menjelaskan kata-kata al-Tahawi menyebut: “Dalam kata-katanya ini, al-Tahawi memberitahu bahawa Islam dan iman adalah satu dan seorang Muslim tidak keluar dari Islam disebabkan melakukan dosa selagi dia tidak menghalalkannya.” (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyah, 2/78)

Manakala ahl al-Qiblah bermaksud orang yang mengaku sebagai Islam dan menghadap ke Kaabah sekalipun daripada kalangan orang yang suka mengikut hawa nafsu atau daripada kalangan ahli maksiat selagi dia tidak mendustakan sesuatu daripada ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.

Perkara yang memasukkan seseorang dalam keimanan adalah membenarkan dalam hati dengan teguh, akur dengan penuh mendalam dan menyerahkan hati terhadap apa yang diturunkan Allah SWT dan diwahyukan kepada rasul-Nya. Maka ucapan tauhid adalah merupakan bukti terhadap perkara tersebut.  (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/252-255 )

Sementara perkara-perkara yang boleh membawa kepada kekafiran telah dijelaskan oleh Haji Said Haji Ibrahim, bekas mufti negeri Sabah dalam bukunya Aqidah Ahli Sunnah wal Jama‘ah menyebut berkenaan perkara-perkara yang boleh menyebabkan seseorang yang beriman terkeluar daripada agama Islam dan menjadi kafir, antaranya:

  • Ingkar kepada perkara-perkara yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW, seperti mengingkari hari kebangkitan, hisab (perhitungan amal ibadat – buruk atau baik), mizan (timbangan), sirat (titian di atas neraka), syurga, neraka, dan lain-lainnya daripada perkara-perkara yang ghaib.
  • Ingkar akan sesuatu ayat yang ada di dalam al-Quran, kerana semua ayat al-Quran yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW itu merupakan wahyu Allah (kalam Allah SWT), di mana seseorang yang ingkar akan sesuatu ayat daripada ayat-ayat al-Quran itu adalah bermakna mereka telah mendustakan Rasulullah SAW yang menyebabkan seseorang itu menjadi kafir.
  • Ingkar akan sesuatu hukum yang terdapat dalil dan nasnya di dalam al-Quran atau al-Sunnah, seperti ingkar hukum kewajipan solat, atau kewajipan zakat, atau ingkar hukum pengharaman zina dan seumpamanya. Sebaliknya, tidak menjadi kafir jika seseorang itu ingkar akan sesuatu hukum yang tidak masyhur di dalam Syariat Islam, dan tidak diketahui hukumnya, kecuali ulama-ulama sahaja yang mengetahuinya.
  • Ingkar kerasulan para rasul atau kenabian para nabi yang disebutkan di dalam al-Quran bahawa mereka itu adalah rasul-rasul Allah dan nabi-nabi-Nya, ataupun mencerca salah seorang daripada rasul-rasul dan nabi-nabi dengan cercaan yang tidak layak bagi mereka yang dipilih Allah sebagai seorang rasul dan nabi.
  • Ingkar mukjizat al-Quran yang berkekalan hingga ke hari kiamat, kerana mukjizat al-Quran itu telah sabit dengan wahyu Allah SWT dan telah melemahkan kafir-kafir Quraisy untuk meniru bahasa al-Quran yang terserlah keindahan susunan dan jalan bahasanya.
  • Memperolok-olok atau mengejek-ejek sesuatu hukum yang sudah jelas diketahui dalam agama Islam, dan disebutkan nasnya di dalam al-Quran, di mana mereka yang melakukan perbuatan tersebut bermakna mereka memperolok-olok dan mengejek-ejek Allah dan rasul-Nya, dan juga kitab-kitab-Nya atau memperolok-olok dan mengejek-ejek orang-orang yang beriman dengan sebab keimanan mereka itu.
  • Melahirkan kebencian dan kemarahan ketika menyebut dan mengingati Allah dan rasul-Nya, atau ketika dibacakan ayat-ayat al-Quran, atau membincangkan sesuatu hukum agama, atau ketika berdakwah bersabit dengan agama Islam. (Lihat buku Aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah, hlm. 343-347)

Kesimpulan

Daripada penjelasan ringkas di atas, adalah wajar kita memandang berat terhadap persoalan keimanan agar nikmat keimanan dan keyakinan kepada kebenaran yang telah dianugerahkan Allah SWT itu dijaga dengan sebaik mungkin. Tegakkan kalimah syahadah dalam kehidupan kita seharian, keluarga dan seterusnya masyarakat serta negara.

Sebarang penyelewengan akan membawa kerugian yang besar bukan sahaja di dunia, bahkan jua di akhirat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”