#4479: Rahmat dan Taqwa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kita boleh meraih rahmat Allah dengan taqwa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

تِلْكَ ٱلْجَنَّةُ ٱلَّتِى نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَن كَانَ تَقِيًّۭا

Maksudnya: “Itulah gambaran syurga yang Kami anugerahkan kepada hamba Kami yang bertakwa.

(Surah Maryam: 63)

Takwa adalah melakukan ketaatan kepada Allah SWT berdasarkan nur (cahaya) dari pada Allah SWT. Orang yang bertakwa hanyalah mengharapkan rahmat dan meninggalkan maksiat kerana takut azab Allah SWT. Rasulullah SAW mengajarkan kepala umatnya beberapa cara agar rahmat Allah SWT itu dapat diraih dan ini disebut dalam al-Quran iaitu:

  • Mentaati Allah SWT dan rasul-Nya.
  • Berbuat ihsan dalam beribadah kepada Allah SWT dengan menyempurnakan ibadah kepada-Nya dan meyakini Allah SWT Maha Melihat semua amalan.
  • Bertakwa kepada-Nya dan mentaati-Nya dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya.
  • Berkasih sayang kepada makhluk-Nya sama ada terhadap manusia, binatang dan tumbuhan.
  • Beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah SWT.
  • Mendirikan solat, menunaikan zakat dan mentaati Rasulullah SAW.
  • Berdoalah kepada Allah SWT untuk mendapatkannya dengan bertawassul dengan nama-nama-Nya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
  • Membaca, memahami, mentadabbur, menghayati dan mengamalkan isi kandungan al-Quran.
  • Mendengar dan memperhatikan dengan tenang ketika dibacakan al-Quran.
  • Memperbanyakkan istighfar memohon keampunan daripada Allah SWT.

Begitulah yang al-Quran dan Nabi SAW ajarkan agar memperoleh rahmat daripada Dia Yang Maha Esa. Semakin besar rahmat Allah SWT yang turun, maka solusi berbagai masalah dalam kehidupan akan semakin terbuka. Justeru, raihlah rahmat Allah SWT dengan bertakwa kepada-Nya. Terdapat banyak sekali ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan betapa luasnya rahmat Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/298-299)

Jika dihitung, maka akan kita dapati kalimah al-Rahman diulang sebanyak 57 kali dan kata al-Rahim diulang sebanyak 105 kali. Salah satu bacaan doa yang disebut dalam al-Quran untuk meraih rahmat Allah SWT yang boleh diamalkan adalah sebagaimana firman Allah SWT:

رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَىْءٍۢ رَّحْمَةًۭ وَعِلْمًۭا فَٱغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا۟ وَٱتَّبَعُوا۟ سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ ٱلْجَحِيمِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Rahmat dan ilmu-Mu meliputi segala sesuatu. Oleh itu, kurniakanlah keampunan kepada orang yang bertaubat dan mengikuti agama-Mu serta lindungilah mereka daripada azab neraka.”

(Surah Ghafir: 7)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, benarlah antara cara untuk mendapat rahmat Allah SWT adalah dengan bertaqwa kepada-Nya. Dalam kehidupan ini, manusia memang memerlukan rahmat Allah SWT. Solat sahaja tidak menjamin manusia untuk masuk syurga. Hanya rahmat-Nya sahaja yang menjamin untuk sampai ke syurga. Maka untuk mendapatkan rahmat-Nya carilah dengan berusaha melakukan kebaikan dan bertakwa pada-Nya. Kehidupan di dunia ini hanyalah sementara seumpama suatu tempat persinggahan dan kehidupan akhirat itu kekal selamanya.

Hendaklah seorang hamba itu melakukan ketaatan kepada Allah SWT sesuai dengan cahaya petunjuk-Nya untuk mengharapkan rahmat-Nya dan meninggalkan kemaksiatan kepada Allah SWT kerana takut akan seksa-Nya. Keyakinan dalam hati orang yang beriman akan mendorongnya untuk melakukan kebaikan sekalipun tidak mendapat pembalasan di dunia. Dan keyakinan itulah juga yang menyebabkan dia takut untuk melakukan kejahatan walaupun terlindung daripada pengawasan manusia dan mendapat keuntungan berlipat kali ganda. Mereka sangat takut dengan pengawasan Allah SWT. Justeru, tekadlah di dalam hati bahawa Allah SWT Maha Melihat segala amalan baik yang zahir mahupun batin.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”