#4481: Dalil Kewajipan Dakwah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan dalil kewajipan dakwah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Surah Ali-Imran (104)

Ibn Kathir berkata: “Maksud ayat ini adalah hendaklah ada segolongan daripada umat ini yang sedia memegang tanggungjawab ini (amar makruf nahi munkar). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 11/91)

Ibn al-‘Arabi berkata: “Ayat ini dan ayat berikutnya merupakan dalil bahawa amr ma’ruf dan nahi munkar itu adalah fardhu kifayah.” (Lihat Ahkam al-Quran, 1/292)

Perkataan dakwah merupakan satu istilah yang berasal dari sudut bahasa sebagai kata kerja iaitu (دَعَوَ) “da‘awa” menurut timbangan kata kerja(فَعَلَ)  “fa‘ala” yang bermaksud membuatkan cenderung kepada sesuatu dengan menggunakan suara dan percakapan. Manakala dari segi istilah pula, dakwah kepada Allah SWT ialah menyeru manusia agar beriman dengan Allah SWT dan apa-apa yang telah dibawa oleh para rasul-Nya, membenarkan apa yang telah diberitakan oleh mereka dan taat kepada perintah mereka.

Al-Quran banyak mengutarakan ayat-ayat yang mewajibkan kerja-kerja dakwah ke jalan Allah SWT. Ada yang ditujukan secara langsung kepada Rasulullah SAW dan secara tidak langsung kepada umat Baginda. Manakala sebahagian lagi ditujukan secara langsung kepada umat Islam. Antara ayat-ayat yang ditujukan kepada Rasulullah SAW ialah, firman Allah SWT:

 وَٱدْعُ إِلَىٰ رَبِّكَ ۖ إِنَّكَ لَعَلَىٰ هُدًۭى مُّسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Dan teruskan berdakwah kepada agama Tuhanmu. Sesungguhnya engkau berada di jalan yang lurus.”

(Surah al-Hajj: 67)

Allah SWT berfirman:

وَٱدْعُ إِلَىٰ رَبِّكَ ۖ وَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

Maksudnya:Dan berdakwahlah kepada agama Tuhan-Mu dan jangan sekali-kali kamu termasuk dalam golongan musyrik.”

(Surah al-Qasas: 87)

Seluruh umat Islam termasuk di dalam perintah ayat-ayat ini. Ini kerana asasnya, perintah Allah SWT kepada rasul-Nya adalah juga perintah Allah SWT kepada umatnya kecuali sedikit pengecualian. Tetapi, di sini tiada sebarang pengecualian daripada perintah Allah SWT supaya mengerjakan tugas dakwah. Ini bermakna, Allah SWT memuliakan umat Islam dengan meletakkan mereka bersama para rasul-rasul dalam menjalankan tugas dakwah. (Lihat Usul al-Da’wah. Hlm. 269; Tafsir al-Bayan, 3/329-330)

Kesimpulan

Hikmah dan objektif perutusan para nabi dan rasul kepada umat manusia adalah untuk mengeluarkan manusia daripada kekufuran dan kesesatan kepada cahaya keimanan dan pengabdian kepada Allah Yang Maha Esa.  Justeru, menjadi tugas umat Islam yang menggalas tugas para rasul terdahulu untuk berdakwah kepada sekalian manusia ke arah cahaya keimanan.

Kewajipan berdakwah mentauhidkan Allah SWT bukan hanya dipikul oleh para nabi dan rasul, bahkan wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim terhadap umat manusia dengan mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah dakwah para nabi dan rasul A.S.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”