#4483: Sihir dan Hakikatnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah sihir mempunyai hakikat tersendiri atau tidak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قَالُوا۟ يَـٰمُوسَىٰٓ إِمَّآ أَن تُلْقِىَ وَإِمَّآ أَن نَّكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَلْقَىٰ ٦٥ قَالَ بَلْ أَلْقُوا۟ ۖ فَإِذَا حِبَالُهُمْ وَعِصِيُّهُمْ يُخَيَّلُ إِلَيْهِ مِن سِحْرِهِمْ أَنَّهَا تَسْعَىٰ ٦٦ فَأَوْجَسَ فِى نَفْسِهِۦ خِيفَةًۭ مُّوسَىٰ ٦٧ قُلْنَا لَا تَخَفْ إِنَّكَ أَنتَ ٱلْأَعْلَىٰ ٦٨ وَأَلْقِ مَا فِى يَمِينِكَ تَلْقَفْ مَا صَنَعُوٓا۟ ۖ إِنَّمَا صَنَعُوا۟ كَيْدُ سَـٰحِرٍۢ ۖ وَلَا يُفْلِحُ ٱلسَّاحِرُ حَيْثُ أَتَىٰ ٦٩ فَأُلْقِىَ ٱلسَّحَرَةُ سُجَّدًۭا قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا بِرَبِّ هَـٰرُونَ وَمُوسَىٰ

Maksudnya:Mereka berkata, “Wahai Musa! Pilihlah sama ada engkau yang mula mencampak tongkat dahulu atau kami yang mula mencampaknya.” Nabi Musa berkata, “Kamulah yang mula dahulu.” Maka tiba-tiba tali dan tongkat yang mereka campak terbayang kepada Musa seolah-olah ular yang berkeliaran. Maka terlintas perasaan takut dalam hati Nabi Musa. Kami berfirman, “Janganlah kamu takut wahai Musa! Sesungguhnya kamulah yang akan menang.” “Campakkanlah tongkat di tangan kananmu itu nescaya ia akan menelan segala sihir yang mereka lakukan. Sesungguhnya apa yang mereka lakukan hanyalah tipu daya ahli sihir, sedangkan ahli sihir tidak sama sekali akan menang di mana sahaja ia berada.” Apabila tongkat Nabi Musa menelan segala sihir mereka, lantas mereka sujud dan berkata, “Kami telah beriman dengan Tuhan Harun dan Musa.

(Surah Taha: 65-70)

Allah SWT berfirman dengan menceritakan kisah perlawanan antara Nabi Musa A.S dan ahli sihir Firaun yang tidak pernah diketahui orang sebelum ini kepada Nabi Muhammad SAW. Inilah dimensi mukjizat al-Quran, iaitu aspek ketepatan sejarah. Lalu, diceritakan kisah Firaun berangkat menuju ke tempat yang telah disepakati untuk memperlihatkan kehebatan tukang sihirnya yang akan mencabar mukjizat Nabi Musa A.S. Semua ahli sihir dari seluruh pelosok negeri Mesir datang menyertai perlawanan ini. Sebagaimana yang diketahui umum, zaman Firaun adalah zaman di mana sihir sangat berpengaruh dan banyak diamalkan serta digemari oleh masyarakat Mesir. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/345)

Adakah Sihir Mempunyai Hakikatnya yang Tersendiri atau Tidak?

Syeikh Wahbah al-Zuhaili telah menjelaskan secara terperinci tentang hakikat sihir ini. Menurut beliau, amalan sihir adalah satu proses penyamaran menerusi tipu helah dan khayalan. Biasanya tukang sihir melakukan sesuatu yang boleh mengkhayalkan orang yang terkena sihir. Ia menyebabkan seseorang itu menggambarkan sesuatu yang berlainan daripada hakikatnya yang sebenar. Ia berlaku sama ada dalam bentuk tipu helah melalui pergerakan yang pantas, jampi serapah, atau dalam bentuk profesion dan ilmu rahsia yang hanya diketahui orang pengamal sihir. Sihir banyak disebut dalam al-Quran khususnya berkaitan kisah Nabi Musa A.S dan ahli sihir Firaun. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/247-249)

Persoalannya, adakah sihir mempunyai hakikatnya yang tersendiri atau tidak? Ulama berselisih pendapat dalam hal ini. Walau bagaimanapun, jumhur ulama berpendapat bahawa sihir memang mempunyai hakikatnya yang tersendiri. Allah SWT menjadikan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Kuasa batin manusia boleh terkesan dengan unsur alam sama ada tanpa perantara atau melalui perantara. Malah jumhur ulama berpendapat bahawa kuasa batin tukang sihir berada pada tiga peringkat:

  • Kuasa batin yang boleh memberi kesan dengan hasrat dan meditasi semata-mata tanpa peralatan atau pembantu yang lain.
  • Kuasa batin yang dibantu oleh ilmu nujum (astrologi), unsur-unsur air, udara, tanah dan api, rumusan angka tertentu dan pengiraan dengan abjad yang mengandungi perkiraan angka tertentu.
  • Kuasa batin yang boleh mempengaruhi daya imaginasi seseorang. Orang yang mempunyai kuasa magik ini menggunakan kekuatan khayalannya kepada pelbagai imej dan perkara. Penonton yang menyaksikannya berasakan seolah-olah ia wujud dalam realiti, walhal hakikatnya ia tidak wujud.

Ketiga-tiga tahap ini dapat dicapai dengan latihan tertentu, di samping pemujaan terhadap bintang, planet, alam lain, syaitan dan sebagainya. Perbuatan seumpama ini sudah tentu mengandungi pemujaan, tunduk dan sujud akur kemahuan sesuatu kepada selain Allah SWT. Dalam masyarakat Arab Jahiliah, dukun Arab menggunakan jampi serapah, mentera untuk memanggil jin dan syaitan bagi menilik rahsia orang. Perbuatan ini sebenarnya boleh mengundang perbalahan sesama manusia.

Ini berbeza sama sekali dengan mukjizat yang dikurniakan kepada para nabi dan rasul. Mukjizat adalah suatu yang benar daripada Allah SWT. Apa yang nyata dan zahir adalah sama dengan batinnya. Malah setiap kali diamatinya semakin menambahkan keyakinan akan kebenarannya. Tiada satu makhluk pun yang dapat meniru dan melakukan seumpama mukjizat Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/347-348)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa sihir ini mempunyai hakikatnya yang tersendiri sebagaimana pendapat yang disebut oleh kebanyakan para ulama’.

Sesungguhnya sihir tidak membawa sebarang manfaat pun kecuali kemurkaan Allah SWT di dunia dan akhirat. Justeru, setiap Muslim mestilah menghindari amalan sihir yang boleh mengundang bala Allah SWT. Sentiasalah mengamalkan doa pelindung diri yang telah diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai usaha dan ikhtiar agar terhindar daripada terkena sihir dengan izin Allah SWT.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”