Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah gerhana bulan dan juga matahari menjadi tanda dan bukti kekuasaan Allah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kewujudan alam semesta ini merupakan salah satu tanda kekuasaan Allah SWT yang dapat dilihat dengan menggunakan pancaindera. Kekuasaan-Nya ini jelas dilihat dengan keberadaan matahari dan bulan yang menentukan siang dan malam, fenomena air pasang surut dan lain-lain lagi. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
إِنَّ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱخْتِلَـٰفِ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلْفُلْكِ ٱلَّتِى تَجْرِى فِى ٱلْبَحْرِ بِمَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن مَّآءٍۢ فَأَحْيَا بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٍۢ وَتَصْرِيفِ ٱلرِّيَـٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلْمُسَخَّرِ بَيْنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَعْقِلُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, dan pada kapal-kapal yang berlayar di laut dengan membawa benda benda yang bermanfaat kepada manusia, demikian juga pada air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Dia suburkan dengannya bumi yang kontang, serta Dia biakkan pada bumi itu daripada pelbagai jenis binatang, begitu juga pada peredaran angin dan awan yang tunduk kepada kuasa Allah terapung-apung di antara langit dengan bumi, sesungguhnya kesemua itu merupakan bukti kekuasaan dan keesaan Allah buat kaum yang berakal.”
(Surah al-Baqarah: 164)
Gerhana bulan merupakan suatu kejadian di mana bumi berada di tengah-tengah antara matahari dan bulan. Gerhana bulan ini berlaku ketika bulan purnama. Cahaya matahari yang dipantulkan oleh bulan akan berubah menjadi kemerahan secara perlahan-lahan sehingga bulan melepasi bumi. Antara contoh fenomena gerhana bulan adalah gerhana bulan penuh, gerhana bulan separa dan gerhana bulan penumbra.
Proses ini berlaku pada suatu masa tertentu sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
وَٱلْقَمَرَ قَدَّرْنَـٰهُ مَنَازِلَ حَتَّىٰ عَادَ كَٱلْعُرْجُونِ ٱلْقَدِيمِ
Maksudnya: “Bulan pula, Kami aturkan ia beredar melalui beberapa peringkat sehingga di akhir peredarannya, ia kembali semula ke peringkat awalnya yang berbentuk melengkung seperti tandan yang kering.”
(Surah Yasin: 39)
Peristiwa gerhana adalah antara peristiwa-peristiwa yang berlaku bukan secara kebetulan tetapi ia merupakan suatu “Sunnatullah” yang telah diaturkan oleh Allah Taala. Firman Allah Taala di dalam surah Al-Fath:
سُنَّةَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلُ ۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ ٱللَّهِ تَبْدِيلًۭا
Maksudnya: “Sebagai suatu Sunnatullah yang berlaku dahulu kamu sekali-kali tiada akan menemukan perubahan bagi sunnatullah itu.”
(Surah al-Fath: 23)
Kekuasaan Allah SWT tidak dapat diukur dengan kemampuan berfikir manusia. Peristiwa-peristiwa alam yang begitu banyak dan mengagumkan, tiada yang lain hanya merupakan sebagian dari bukti-bukti kekuasaan Allah yang diperlihatkan kepada makhluk-makhluknya. Oleh hal yang demikian salah satu tanda kekuasaan Allah SWT dalam peredaran bulan, matahari dan bumi adalah kejadian gerhana bulan.
Ini juga telah thabit dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW telah bersabda:
إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللهِ لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهَا فَافْزَعُوا لِلصَّلَاةِ وَقَالَ أَيْضًا فَصَلُّوا حَتَّى يُفَرِّجَ اللهُ عَنْكُمْ
Maksudnya: “Bahawasanya matahari dan bulan itu dua tanda daripada segala tanda-tanda yang menunjukkan keesaan dan kekuasaan Allah, tidaklah keduanya (bulan dan matahari) berlaku gerhana kerana matinya seseorang atau hidupnya, maka apabila kamu melihat gerhana, maka hendaklah kamu sembahyang,’ dan Baginda bersabda: ‘Maka sembahyanglah kamu hingga disingkap kembali oleh Allah kepada kamu semua (bulan dan matahari)’.”
Riwayat al-Bukhari (1058) dan Muslim (901)
Berdasarkan perbincangan ini, kami katakan benar, kedua-dua gerhana matahari dan gerhana bulan itu merupakan salah satu tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah SWT. Sesungguhnya, Allah SWT berkuasa ke atas segala sesuatu.
Semoga dengan melihat keajaiban alam semesta ciptaan Allah SWT ini dapat menjadi asbab meningkatnya keimanan kita kepada-Nya. Kami akhiri dengan zikir:
أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ ﷺ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”
Wallahu a‘lam
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”