#4487: Kelebihan Melakukan Ketaatan Pada Masa Muda

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah waktu muda sepatutnya menjadi keutamaan dalam ibadah dan ketaatan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Beribadah pada masa muda ini, seperti yang disebutkan oleh Syeikh Badr al-Din al-‘Aini, merupakan ibadah yang paling berat dan sukar kerana banyak faktor-faktor tertentu, seperti kuatnya syahwat, dan tingginya kecenderungan untuk mengikuti hawa nafsu itu. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 5/260)

Kehebatan orang-orang muda yang beriman ini juga direkodkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran sebagai meses dakwah bagi menguatkan semangat Rasulullah SAW dalam meneruskan dakwah Baginda. Firman Allah SWT:

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِٱلْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ ءَامَنُوا۟ بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَـٰهُمْ هُدًۭى (١٣) وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا۟ فَقَالُوا۟ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَا۟ مِن دُونِهِۦٓ إِلَـٰهًۭا ۖ لَّقَدْ قُلْنَآ إِذًۭا شَطَطًا (١٤)

Maksudnya: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: ‘Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran’.”

(Surah al-Kahf: 13-14)

Ketaatan Pada Masa Muda

Di dalam hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas R.A, Rasulullah SAW memberikan nasihat kepada para sahabat supaya mereka memanfaatkan 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara:

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ: شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ، وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ، وَغِنَاءَكَ قَبْلَ فَقْرِكَ، وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ، وَحَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

Maksudnya : ”Gunakanlah dengan baik lima perkara sebelum datang lima (yang lain): Masa mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum datang sakitmu, kayamu sebelum datang fakirmu, waktu lapangmu sebelum datang waktu
sibukmu dan hidupmu sebelum datang matimu.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (7/3319) al-Hakim dalam al-Mustadrak, 4/306 (7846). Ibn al-Athir dalam kitabnya Jami’ al-Ushul fi Ahadith al-Rasul (1/392) mengatakan: “Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Hakim dan ia menilainya sebagai Hadith Sahih sesuai dengan syarat Imam Bukhari dan Muslim. Imam al-Zahabi juga menilainya sama dengan Imam Hakim. Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari mengatakan: “Sanad hadith ini hasan”. Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibn
al-Mubarak dalam kitabnya, al-Zuhd.

Hadis ini jelas menunjukkan betapa pentingnya kita mengambil peluang yang ada sebelum datangnya pelbagai bentuk halangan yang mengakibatkan kita tidak lagi mampu untuk melaksanakan ibadat.

Semua itu kata Ibn Rajab al-Hanbali akan merintangi kita dalam beramal dan sebahagian yang lain akan melalaikan kita seperti pada sebahagian orang. Lihat saja ketika seseorang berada dalam keadaan fakir berbanding ketika dia kaya. Lihat pula ketika dia sakit, sudah menginjak usia tua atau bahkan mati yang tidak mungkin lagi beramal.

Imam al-Munawi dalam kitabnya, Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir (2/16) berkata: Maksud hadith ini ialah: Berbuatlah lima perkara sebelum datang lima perkara lainnya, iaitu:

  • “Waktu hidupmu sebelum tiba waktu matimu.” – Iaitu perbanyakkanlah melakukan perbuatan yang manfaatnya akan dirasakan setelah mati nanti, kerana jika kematian itu tiba, terputuslah seluruh amal perbuatan, hilanglah seluruh harapan,dan yang tinggal hanyalah sebenar benar penyesalan.
  • “Waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit.” – Iaitu perbanyakkanlah beramal soleh ketika sihat, kerana kadang-kadang datang keadaan yang menghalanginya, seperti sakit. Lalu setelah itu datang kematian, sehingga yang terjadi kita menghadap Allah tanpa bekal yang memadai.
  • “Waktu lapangmu sebelum tiba waktu sibuk.” – Iaitu gunakanlah waktu lapangmu di dunia ini, sebelum tiba waktu sibukmu dengan seluruh keluh-kesah kelak pada hari Kiamat, di mana tempat pertamanya adalah alam kubur. Gunakanlah kesempatan emas ini sebaik mungkin agar anda selamat dari seksa dan keluh-kesah kelak.
  • “Waktu mudamu sebelum tiba waktu tua.” – Iaitu gunakanlah masa kuatmu untuk beribadah sebelum datang masa lemah, lalu kamu akan menyesal atas apa yang kamu telah sia-siakan pada masa kuatmu itu.
  • “Waktu kayamu sebelum datang waktu miskin.” – Iaitu gunakanlah dengan jalan berzakat, bersedekah, berwakaf dan juga berinfaq daripada hartamu sebelum tiba banyaknya halangan dan gangguan yang akan menjadikan kamu fakir, lalu kamu menjadi orang yang fakir di dunia dan juga fakir di akhirat.

Rasulullah SAW menyeru kepada kita agar memanfaatkan masa muda dengan sebaik-baiknya kerana pada masa inilah tenaga seseorang sedang melimpah ruah dan berada pada tahap kemuncaknya. Potensi mereka ketika ini sangat besar. Bahkan petikan daripada kata-kata Presiden Indonesia Pertama, Ir. Soekarno bahawa: “Berikan aku sepuluh orang pemuda nescaya akan ku goncangkan dunia.” (Lihat Peranan Pemuda dalam Pendidikan Sosial Kemasyarakatan, 3/2)

 

Kesimpulan

Mengakhiri perbincangan ini, kami katakan bahawa seseorang yang bijak memanfaatkan usia mudanya, dia tidak akan kehilangan idea-idea segar sekalipun usia tua menghampirinya. Malah, dia akan tetap berupaya berfikir secara rasional dan kreatif. Selain itu, alangkah baiknya jika masa ini digunakan untuk melakukan aktiviti yang positif serta memperbanyakkan ibadah serta amalan soleh.

Demikianlah juga, seseorang yang melakukan amalan soleh pada waktu usia mudanya akan memperoleh manfaatnya pada waktu tuanya, kerana pahala mereka sedikit pun tidak berkurang sekalipun mereka sudah tidak lagi mampu dan kuat untuk melakukan ibadah sebagaimana dahulu.

Ibn Qutaibah menyebutkan hal ini kerana Allah SWT Maha Mengetahui seandainya mereka masih diberi kekuatan untuk melakukan ibadah dan amalan soleh sebagaimana waktu mudanya, pasti mereka tidak akan berhenti daripada melakukannya. (Lihat Zad al-Masir fi ‘Ilm al-Tafsir, 4/465)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahu a‘lam