#4491: Poligami dan Keadilan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimana bentuk keadilan dalam poligami? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa poligami diharuskan dengan syarat suami mampu memberi nafkah dan berlaku adil terhadap isteri-isteri. Adil dalam aspek nafkah zahir dan batin, kasih sayang, agihan masa, perhatian serta perkara lain yang sepatutnya menjadi hak bahagian setiap isteri dan anak. (Lihat Makanatu al-Mar’ah fi al-Quran al-Karim wa al-Sunnah al-Sahihah, hlm. 174).

Keadilan yang dimaksudkan sebagai syarat berpoligami itu, adalah setakat yang termampu yang dilakukan oleh seorang suami. Antaranya bersikap adil dalam memberi nafkah dan sara hidup, tidak termasuk soal hati perasaan dan sebagainya. Ini kerana perasaan hati yang dimaksudkan oleh Surah al-Nisa’ dalam ayat 129 ini, mustahil akan dapat dilaksanakan oleh sesiapapun walau sekeras mana dia mencuba. (Lihat Manhaj al-Sunnah fi al-Zawaj, hlm. 220). Namun begitu, pada ayat ini juga Allah SWT memperingatkan bahawa suami jangan terlampau cenderung terhadap seseorang isteri sehingga menjadikan yang lain berasa tidak adil dan tidak berpuas hati. Firman Allah SWT:

وَلَن تَسْتَطِيعُوٓا۟ أَن تَعْدِلُوا۟ بَيْنَ ٱلنِّسَآءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا۟ كُلَّ ٱلْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَٱلْمُعَلَّقَةِ ۚ

Maksudnya: “Dan kamu tidak akan mampu berlaku adil antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh hendak melakukannya. Oleh itu, janganlah kamu cenderung kepada isteri kesayanganmu sehingga kamu membiarkan isteri-isteri yang lain terkontang-kanting.

(Surah al-Nisa’: 129)

Menurut al-Jassas, maksud ‘adil’ dalam ayat di atas menyentuh soal memberi giliran antara isteri-isteri. Menurut beliau, dalam ayat ini, maksud ‘kecenderungan’ adalah kecenderungan hati. Sehubungan dengan itu, keadilan yang mampu dilakukan ialah tidak melahirkan kecenderungan dalam perbuatan zahir. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/82).

Menurut al-Syaukani, tidak harus melebihkan mana-mana isteri dalam hal yang mampu dikawal oleh suami seperti giliran, makan minum dan pakaian. Namun suami tidak wajib berlaku saksama dalam hal-hal yang dia sendiri tidak mampu mengawalnya seperti kasih sayang dan seumpamanya. (Lihat Nail al-Autar, 5/371). Ini juga adalah sebagaimana yang terdapat dalam hadith daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

كَانَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِسْعُ نِسْوَةٍ، فَكَانَ إِذَا قَسَمَ بَيْنَهُنَّ، لَا يَنْتَهِي إِلَى الْمَرْأَةِ الْأُولَى إِلَّا فِي تِسْعٍ، فَكُنَّ يَجْتَمِعْنَ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي بَيْتِ الَّتِي يَأْتِيهَا

Maksudnya: “Nabi SAW mempunyai sembilan isteri. Apabila Baginda membahagi giliran antara mereka, Baginda tidak tinggal bersama seorang isteri sahaja, melainkan kesemua sembilan isteri Baginda mendapat gilirannya. Mereka akan berkumpul pada setiap malam di rumah di mana Baginda bermalam.”

Riwayat Muslim (1462)

Demikian juga hadith daripada Aisyah R.Anha mengenai cara Rasulullah SAW melaksanakan keadilan dalam kalangan para isteri Baginda. Beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَفْضُلُ بَعْضَنَا عَلَى بَعْضٍ فِي مُكْثِهِ عِنْدَنَا، وَكَانَ قَلَّ يَوْمٌ إِلَّا وَهُوَ يَطُوفُ عَلَيْنَا، فَيَدْنُو مِنْ كُلِّ امْرَأَةٍ مِنْ غَيْرِ مَسِيسٍ، حَتَّى يَبْلُغَ إِلَى مَنْ هُوَ يَوْمُهَا فَيَبِيتَ عِنْدَهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak melebihkan sesiapa pun antara kami dalam giliran bersama kami. Baginda akan mengunjungi kami semua satu demi satu dan menghampiri kami semua tanpa melakukan persetubuhan. Sehinggalah kepada sesiapa yang gilirannya jatuh pada hari itu, Baginda akan bermalam bersamanya.”

Riwayat al-Hakim (2760); al-Zahabi menilainya sebagai sahih.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”