Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah hukum tawassul sebenar; antara yang disyariatkan dan yang tidak disyariatkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱبْتَغُوٓا۟ إِلَيْهِ ٱلْوَسِيلَةَ وَجَـٰهِدُوا۟ فِى سَبِيلِهِۦ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepada-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.”
(Surah al-Ma’idah: 35)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, dalam ayat ke-35 daripada Surah al-Ma’idah (sebagaimana disebutkan di atas), Allah SWT menceritakan berkenaan dengan anjuran untuk bertawassul kepada-Nya. Tawassul yang dimaksudkan di sini membawa makna mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mentaati-Nya dan melaksanakan perbuatan yang diredhai-Nya. Ini adalah makna yang dikehendaki dalam ayat: (وَٱبْتَغُوٓا۟ إِلَيْهِ ٱلْوَسِيلَةَ). Perkara ini merupakan asas dan kewajipan dalam beragama.
Tawassul dengan makhluk dan meminta pertolongan dengannya (الاستغاثة) dengan makna meminta doa daripadanya. Perkara ini harus sekiranya orang yang diminta itu masih hidup. Keharusan ini berdasarkan kepada pesanan Nabi SAW kepada Umar R.A supaya meminta Uwais al-Qarni mendoakan keampunan dan rahmat untuknya.
Adapun bertawassul dengan orang yang telah mati, hukumnya adalah tidak dibolehkan. Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan pernyataan al-Alusi yang menghukumkannya sebagai bidaah dan amalan tersebut tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dalam kalangan ulama salaf. Demikian juga tidak didapati seorang pun dalam kalangan sahabat-sahabat nabi yang melakukan perkara seperti ini. Manakala bersumpah dengan Allah SWT melalui perantaraan mana-mana makhluk-Nya, sebagai contohnya dengan mengatakan seperti berikut:
اللَّهُمَّ إِنِّي أُقْسَمُ عَلَيْكَ، أَوْ أَسْأَلُكَ بِفُلَانٍ إِلَّا مَا قَضَيْتَ لِي حَاجَتِي
Maksudnya: “Ya Allah SWT, aku bersumpah ke atas-Mu, atau aku memohon kepada-Mu dengan (keberkatan) si fulan supaya Engkau tunaikan permintaanku buatku.”
Dr. Wahbah al-Zuhaili dan ‘Izzuddin ‘Abd al-Salam mengharuskan tawassul seumpama ini hanya jika manusia yang dijadikan perantaraan itu adalah Rasulullah SAW. Ini kerana Baginda merupakan penghulu bagi keseluruhan anak Adam A.S. Tidak dibolehkan berbuat demikian dengan menyebut nama para nabi yang lain, para malaikat atau para wali. Ini kerana darjat dan kedudukan mereka tidak menyamai ketinggian Nabi Muhammad SAW. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/175; lihat juga Tafsir al-Bayan, 1/759).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”