#4493: Nabi Isa Anak Tuhan?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan kebatilan dakwaan Nabi Isa A.S sebagai anak tuhan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

مَّا ٱلْمَسِيحُ ٱبْنُ مَرْيَمَ إِلَّا رَسُولٌۭ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ ٱلرُّسُلُ وَأُمُّهُۥ صِدِّيقَةٌۭ ۖ كَانَا يَأْكُلَانِ ٱلطَّعَامَ ۗ ٱنظُرْ كَيْفَ نُبَيِّنُ لَهُمُ ٱلْـَٔايَـٰتِ ثُمَّ ٱنظُرْ أَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ ٧٥ قُلْ أَتَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّۭا وَلَا نَفْعًۭا ۚ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ

Maksudnya: “Tiadalah al-Masih Ibn Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu) (75). Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.’

(Surah  al-Ma’idah: 75-76)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa menganggap Nabi Isa A.S sebagai anak Tuhan, atau makhluk yang mengandungi elemen ketuhanan adalah kepercayaan yang rosak lagi batil yang terhasil dari penyelewengan yang dilakukan oleh Bani Israel.

Nabi Isa A.S hakikatnya merupakan makhluk Allah SWT yang sama seperti para nabi yang lain. Bukti sifat makhluk beliau telah banyak dibahaskan oleh sarjana Muslim dalam wacana rentas agama yang dilakukan bersama agama lain. Namun, kerosakan yang dibawa oleh Bani Israel ini memberikan kesan yang sangat besar sehingga memberikan gambaran yang salah tentang konsep ketuhanan.

Kenyataan ini hakikatnya kenyataan yang buruk lagi dusta serta berat dosanya. Ini seperti yang disebutkan oleh Allah SWT:

وَيُنذِرَ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ ٱتَّخَذَ ٱللَّهُ وَلَدًۭا ٤ مَّا لَهُم بِهِۦ مِنْ عِلْمٍۢ وَلَا لِـَٔابَآئِهِمْ ۚ كَبُرَتْ كَلِمَةًۭ تَخْرُجُ مِنْ أَفْوَٰهِهِمْ ۚ إِن يَقُولُونَ إِلَّا كَذِبًۭا

Maksudnya: “Dan untuk memberi amaran kepada golongan yang berkata: ‘Allah SWT mengambil seorang anak.’ Mereka sama sekali tidak mempunyai pengetahuan tentang hal itu, begitu juga nenek moyang mereka (tidak mempunyai pengetahuan tentangnya). Alangkah buruknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka; mereka tidak mengatakan melainkan suatu kenyataan yang dusta.

(Surah al-Kahfi: 4-5)

Maka jelas dakwaan yang menyebut bahawa Allah SWT mempunyai anak baik dari kalangan manusia atau malaikat, baik lelaki mahupun perempuan, merupakan suatu pendustaan yang besar dan sangat berat dosanya. Maha suci Allah SWT dari memiliki anak, yang boleh menyebabkan berlakunya persamaan antara Allah SWT dengan makhluk-Nya. Bahkan jelas-jelas Allah SWT menafikan kesemuanya ini, menerusi firman-Nya:

قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ١ ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ٢ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ٣ وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌۢ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa Dialah Allah SWT Yang Maha Esa. Allah SWT merupakan Tuhan yang mana kepada-Nya segala sesuatu itu bergantung. Dia tidak beranak dan tidak pula Dia diperanakkan. Serta tidak ada sesuatu pun yang standing bagi-Nya.

(Surah al-Ikhlas: 1-4]

Justeru, mengatakan bahawa Allah SWT memiliki anak merupakan suatu celaan dan tohmahan kepada Allah SWT. Al-Maraghi berkata: Kenyataan “لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ” merupakan satu bantahan kepada golongan arab musyrikin yang mendakwa bahawa para malaikat itu merupakan anak perempuan Allah SWT, serta penolakan terhadap kenyataan golongan Nasrani yang mendakwa bahawa Isa al-Masih itu merupakan anak lelaki Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 30/265).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”