#4494: Bertanya Jangan Berlebih-lebihan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Mengapakah Islam tidak membenarkan untuk bertanya secara berlebih-lebihan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَسْـَٔلُوا۟ عَنْ أَشْيَآءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِن تَسْـَٔلُوا۟ عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ ٱلْقُرْءَانُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا ٱللَّهُ عَنْهَا ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌۭ ١٠١ قَدْ سَأَلَهَا قَوْمٌۭ مِّن قَبْلِكُمْ ثُمَّ أَصْبَحُوا۟ بِهَا كَـٰفِرِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar (101). Sesungguhnya perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya).

(Surah al-Ma’idah: 101-102)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa kedatangan al-Quran bukan sahaja untuk menjelaskan akidah dan menggariskan perundangan serta peraturan hidup, tetapi juga untuk mendidik masyarakat. Dengan terbina masyarakat yang kehidupannya dipandu oleh al-Quran, maka akan dapat membentuk individu-individu Muslim dan mendidik mereka dengan akhlak yang dianjurkan oleh al-Quran. Kitab suci ini juga mengajar umat manusia tentang etika berinteraksi sesama manusia, khususnya apabila ingin mengemukakan persoalan. Allah SWT menurunkan syariat serta perkhabaran tentang perkara-perkara yang ghaib, maka adalah lebih selayaknya segala urusan diserahkan kepada kebijaksanaan Allah SWT. Umat Islam tidak perlu untuk menyukarkan diri dengan mengulas atau menimbulkan persoalan terhadap ayat al-Quran yang telah diturunkan. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 7/993).

Allah SWT melarang orang yang beriman daripada mengemukakan pertanyaan-pertanyaan mengenai perkara-perkara yang akan menyulitkan diri mereka sendiri apabila diberi jawapan. Allah SWT juga telah memberi amaran kepada mereka bahawa pertanyaan-pertanyaan mereka akan dijawab jika pernyataan itu dikemukakan di zaman turunnya wahyu semasa hidup Rasulullah SAW. Keadaan ini akan mengakibatkan mereka dibebankan dengan kewajipan yang telah dimaafkan oleh Allah SWT, iaitu tanggungjawab yang telah ditinggal dan tidak dituntut oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/822-823).

Daripada  Abu  Hurairah,  Abd al-Rahman  bin  Sakhr  R.A,  beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ واخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ

Maksudnya: “Apa yang aku larang hendaklah kamu jauhinya dan apa yang  aku  perintahkan  maka  hendaklah  kamu  laksanakan  sedaya  upaya  kamu. Sesungguhnya kehancuran orang-orang sebelum  kamu adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka (yang tidak berfaedah) dan penentangan mereka terhadap Nabi-nabi mereka.”

Riwayat al-Bukhari (6777) dan Muslim (1337)

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kehancuran umat sebelum kamu adalah kerana banyak bertanya…” Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Maksudnya ialah kamu jangan banyak bertanya sehingga menimbulkan jawapan yang bermacam-macam, menyerupai peristiwa yang terjadi kepada bani Israil. Tatkala mereka diperintahkan menyembelih seekor lembu yang seandainya mereka mengikuti perintah itu dan segera menyembelih lembu seadanya, nescaya mereka dikatakan telah mentaatinya. Akan tetapi kerana mereka banyak bertanya dan menyusahkan diri mereka sendiri maka akhirnya mereka disusahkan dan dicela. Rasulullah SAW khuatir perkara sebegini terjadi kepada umatnya.”

Hadis ini menjelaskan bahawa kehancuran umat disebabkan dua perkara:

  • Banyak bertanya dan mengada-adakan dalam pertanyaan.
  • Berselisih dalam soal agama dan menyalahi risalah yang dibawa oleh Nabi SAW.

Secara umumnya Rasulullah melarang para sahabatnya untuk tidak banyak bertanya kerana tiga alasan, antaranya:

  • Dikhuatiri pertanyaan itu menyebabkan kewajipan menjadi berat.
  • Menutup jalan supaya mereka tidak mengada-ngadakan
    dalam pertanyaan.
  • Mencegah mereka supaya tidak memberatkan diri mereka
    sendiri dan sibuk dengan sesuatu yang tidak ada manfaat.

Larangan daripada banyak bertanya dan berbantah yang membawa khilaf telah diberi peringatan oleh ramai tokoh dan salafussoleh. Di antaranya:

  • Ibn Umar berkata: “Jangan kamu bertanya apa yang belum berlaku kerana aku mendengar Umar pernah melaknat orang yang bertanya apa yang belum berlaku.”
  • Zaid Bin Thabit bila ditanya sesuatu akan bertanya kembali: “Adakah ia sudah berlaku?” Jika dijawab tidak, maka jawabnya: “Tinggalkanlah hal tersebut sehingga berlaku.”
  • Al-Hasan berkata: “Sejahat-jahat hamba Allah ialah yang cuba mencari masalah yang sukar dan membentangkannya kepada orang ramai.”
  • Malik pernah berkata: “Aku pernah mendapati di negeri ini, mereka amat benci bertanya pelbagai masalah seperti yang berlaku pada masa ini.”

 (Lihat al-Kafi, hlm. 115-116)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”