Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hikmah Nabi Adam A.S diturunkan ke bumi?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
قَالَ ٱهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًۢا ۖ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّۭ ۖ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّى هُدًۭى فَمَنِ ٱتَّبَعَ هُدَاىَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ
Maksudnya: “Allah berfirman, “Turunlah kamu berdua bersama dari syurga, dalam keadaan kamu akan menjadi musuh antara satu sama lain. Jika datang kepada kamu hidayah daripada-Ku, maka sesiapa yang mengikutinya, dia tidak akan sesat dan tidak akan mendapat kesengsaraan.”
(Surah Taha: 123)
Ketika mana Nabi Adam A.S tergoda dengan tipu daya tersebut dan memakan buah tersebut, maka terlucutlah pakaian mereka serta ternampaklah aurat mereka. Maka mereka segera menutupnya dengan daun-daun syurga. Nabi Adam A.S telah melanggar perintah Tuhannya iaitu memakan buah pokok yang ditegah oleh Allah SWT daripada memakannya. Allah SWT telah memilih Nabi Adam A.S untuk menjadi hamba-Nya yang dekat dengan-Nya dan taubatnya diterima. Maka direzekikan kepada mereka berdua kembali kepada apa yang diredhai Allah SWT dan beramal soleh. Itu adalah kesan daripada taubat Baginda yang telah dilakukannya. Selepas taubatnya diterima, maka Allah SWT membuat satu pengisytiharan penting untuk Nabi Adam A.S dan Hawa. Turunlah kamu berdua ke dunia dan ingatlah bahawa sebahagian kamu adalah musuh kepada sebahagian yang lain. Yakni Nabi Adam A.S dan Iblis. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/375-376)
Hikmah Nabi Adam A.S Diturunkan ke Bumi
Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana tentang hikmah Nabi Adam A.S bersama isterinya dikeluarkan dari syurga ke bumi walaupun mereka sudah bertaubat. Sesungguhnya Nabi Adam A.S dan isterinya diturunkan ke bumi adalah nikmat yang amat besar kepada mereka dan zuriatnya. Penempatan mereka di bumi ini mempunyai hikmah yang amat besar dan tidak akan tercapai jika Nabi Adam A.S terus kekal di syurga kerana Allah SWT telah melantik Nabi Adam A.S dan zuriatnya memakmurkan bumi ini.
Akal manusia lemah untuk mengetahui hikmah turunnya Nabi Adam A.S ke bumi ini. Allah SWT mahukan Nabi Adam A.S dan zuriatnya merasakan sedikit kesusahan, runsing, murung dan mengetahui kadar kesusahan hidup di dunia ini. Selain itu, Allah SWT juga mahukan mereka diuji dengan ujian dan mahukan juga mereka mengikuti arahan atau taklif. Ini kerana syurga bukan tempat untuk ditaklifkan dengan arahan. Di samping itu, Allah SWT telah menentukan utusan para rasul dan para nabi. Ditentukan juga akan ada orang yang meninggal dunia secara syahid. Juga dijadikan musuh kepada orang beriman dengan ujian lantas mereka berjihad dengan harta dan diri mereka sendiri untuk mencapai redha Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/376 )
Kesimpulan
Kesimpulannya, menempatkan Nabi Adam A.S dan zuriatnya di bumi adalah ujian yang amat besar. Sesungguhnya Allah SWT telah menentukan rahmatnya kepada sesiapa yang meneruskan hidup dengan mengikuti arahan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
Sesungguhnya sifat lupa dan leka adalah kelemahan manusia yang sering kali membuka peluang Iblis dan tenteranya yang sentiasa berusaha untuk menguasai manusia serta mendorongnya melakukan perkara yang ditegah oleh agama. Oleh itu, marilah kita saling menasihati untuk mengingatkan manusia supaya menjauhi larangan Allah SWT.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”