#4498: Indahnya Kejadian Alam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana kejadian alam yang indah ini menurut perspektif sains?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَوَلَمْ يَرَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَنَّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًۭا فَفَتَقْنَـٰهُمَا ۖ وَجَعَلْنَا مِنَ ٱلْمَآءِ كُلَّ شَىْءٍ حَىٍّ ۖ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ ٣٠ وَجَعَلْنَا فِى ٱلْأَرْضِ رَوَٰسِىَ أَن تَمِيدَ بِهِمْ وَجَعَلْنَا فِيهَا فِجَاجًۭا سُبُلًۭا لَّعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ ٣١ وَجَعَلْنَا ٱلسَّمَآءَ سَقْفًۭا مَّحْفُوظًۭا ۖ وَهُمْ عَنْ ءَايَـٰتِهَا مُعْرِضُونَ ٣٢ وَهُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ ۖ كُلٌّۭ فِى فَلَكٍۢ يَسْبَحُونَ

Maksudnya: “Tidakkah orang kafir tahu bahawa langit dan bumi dahulunya bercantum, lalu Kami pisahkan keduanya, dan Kami jadikan semua benda hidup daripada air. Maka mengapakah mereka tidak mahu beriman dengan Yang Maha Pencipta. Kami jadikan gunung-ganang di bumi sebagai pasak agar bumi tidak bergegar menggoncangkan manusia. Kami juga jadikan laluan dan jalan-jalan yang luas di bumi agar mereka dapat berjalan ke tempat tujuan mereka. Kami jadikan juga langit sebagai bumbung yang terpelihara agar ia tidak jatuh menimpa bumi. Namun mereka tetap berpaling tidak mahu melihat tanda-tanda kekuasaan Kami. Dialah yang telah menciptakan malam dan siang serta matahari dan bulan dan setiap satu itu bergerak terapung-apung dalam paksi yang ditetapkan.”

(Surah al-Anbiya’: 30-33)

Allah SWT mengingatkan kepada sekalian manusia akan kekuasaan-Nya yang Maha Sempurna lagi Maha Besar dalam menciptakan segala sesuatu dan semua makhluk tunduk kepada Kekuasaan-Nya. Orang yang mengingkari ketuhanan-Nya dan menyembah yang lain bersama Dia, tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Yang Maha Esa dalam menciptakan makhluk-Nya, lagi Maha Berkuasa dalam mengatur makhluk-Nya. Maka apakah patut Dia disembah bersama dengan yang selain-Nya atau mempersekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain? Tidakkah mereka mengetahui bahawa langit dan bumi itu pada asalnya menyatu. Dengan kata lain, satu sama lainnya menyatu dan bercantum pada mulanya, lalu keduanya dipisahkan daripada yang lain, maka langit dijadikan oleh-Nya sebanyak tujuh lapis, bumi dijadikan pula tujuh lapis. Dia memisahkan antara langit yang terdekat dan bumi dengan udara sehingga langit dapat menurunkan hujannya dan dapat membuat bumi menjadi subur kerananya. Daripada air, Allah jadikan segala sesuatu hidup dengan izin Allah. Maka mengapakah mereka masih juga tidak beriman? Padahal mereka menyaksikan semua makhluk tumbuh sedikit demi sedikit dengan jelas dan terang. Semuanya itu menunjukkan adanya Pencipta yang menciptakan semuanya, Berkehendak memilih, dan Maha Berkuasa atas segala sesuatu. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/406)

Kejadian Alam yang Tersusun (Perspektif Sains dan Teori Big Bang)

Ayat 30 daripada Surah al-Anbiya’ ini telah digunakan oleh beberapa sarjana Muslim untuk menggambarkan tentang keunikan kejadian alam ini secara saintifik. Ini menunjukkan kehebatan al-Quran yang sudah pun menceritakan pembentukan alam lebih 1400 lalu. Zaghlul al-Najjar sebagai contoh, menggunakan ayat ini bagi menjelaskan mengenai teori Big Bang yang pada pandangan beliau boleh ditadabbur melalui ayat ini. Perkara ini dijelaskan dengan lebih terperinci oleh Danial Zainal Abidin di dalam bukunya yang mengungkapkan bahawa berdasarkan teori Big Bang, bumi ini adalah pada hakikatnya bercantum pada 13.7 bilion tahun yang lalu. Setelah berlakunya proses pengembangan dan pengecutan maka lahirlah bintang-bintang dan sebagainya. Teori ini pada asasnya berteraskan The General Theory of Relativity yang dibentuk oleh Albert Einstein pada tahun 1915. Kemudian ia dikembangkan oleh Alexender Friedmann (pakar fizik dari Rusia) pada tahun 1922 dengan pandangan yang mengukuhkan lagi konsep ini. Teori ini semakin kukuh dengan penemuan oleh Edwin Hubble pada tahun 1929 yang menemui bukti-bukti yang menyokong teori ini yang menyaksikan bahawa alam semesta ini sedang mengembang. Penemuan ini mengesahkan ayat al-Quran yang menjelaskan bahawa bumi ini pada asalnya bercantum dan kemudian ia mengembang dan menghasilkan sesuatu yang terpisah secara tersusun.

Kewujudan gas helium dan sinar radiasi mengukuhkan lagi teori Big Bang. Pakar astrofizik dari Amerika, Arno Penzias dan Robert Wilson yang menjalankan kajian mengenai tahap radiasi di alam raya mengukuhkan lagi teori Big Bang yang sukar digugat. Melalui tadabbur terhadap ayat 30 daripada Surah al-Anbiya’ ini, kita dapat menghayati teori yang diungkapkan oleh sarjana sains ini. Malah  Alfed Kroner seorang pakar geologi dari Universiti Gutenberg berasa kagum dengan penjelasan al-Quran mengenai keadaan bumi dan langit yang asalnya bercantum. Pada beliau, mustahil seorang nabi yang diutuskan 1400 tahun yang lalu adalah seorang yang mempunyai pengetahuan mengenai astrofizik dan berupaya menerangkan mengenai kejadian asal langit dan bumi.[1] (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/407)

Kesimpulan

Kesimpulan, Allah SWT memerintahkan kepada kita agar sentiasa mematuhi arahan Allah dan rasul-Nya. Dengan itu kita hendaklah sentiasa menuruti perintah Allah dan menjauhi segala larangan yang termaktub di dalam al-Quran dan hadis. Allah telah menjadikan langit dan bumi sebagai bukti kekuasaan-Nya buat manusia. Dengan itu kita seharusnya merenungi kejadian alam yang luar biasa ini dan menggambarkan betapa kerdilnya manusia di sisi Allah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Nota kaki:

[1] Lihat Quran Saintifik, hlm. 42-44.