#4499: Mati itu Benar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah ingin menguatkan hujjah bahawa kematian itu pasti berlaku?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Mengingati kematian merupakan suatu perkara yang sangat dituntut di dalam Islam. Mengingati kematian menyebabkan manusia sentiasa bersedia untuk menghadapinya dengan memperbanyakkan amalan soleh dan menjauhi sebarang tingkah laku yang melalaikan, maksiat dan juga perbuatan dosa. Allah SWT telah menetapkan kematian dan kehidupan untuk melihat sejauh manakah amalan yang dilakukan manusia. Firman Allah SWT:

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ

Maksudnya: “Tuhan yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk Dia menguji siapakah yang paling baik amalannya, dan Dialah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

(Surah al-Mulk: 2)

Tiada sesiapa yang kekal kerana yang kekal hanyalah Allah. Detik kematian akan menjelma bagi setiap manusia. Tiada sesiapa di kalangan manusia yang mengetahui detik rahsia kematian. Kematian akan berlaku di mana sahaja walaupun manusia berikhtiar untuk hidup selamanya. Firman Allah SWT:

أَيْنَمَا تَكُونُوا۟ يُدْرِككُّمُ ٱلْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِى بُرُوجٍۢ مُّشَيَّدَةٍ ۗ

Maksudnya: “Di mana saja kamu berada kematian akan mendapatkan kamu sekalipun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.”

(Surah al-Nisa’: 78)

قُلْ إِنَّ ٱلْمَوْتَ ٱلَّذِى تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُۥ مُلَـٰقِيكُمْ ۖ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَىٰ عَـٰلِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: Katakan juga, “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya pasti akan menemui kamu. Kemudiannya kamu akan dibawa pulang kepada Tuhan yang mengetahui perkara yang tersembunyi dan yang zahir. Justeru, Dia akan memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan.

(Surah al-Jumu‘ah: 8)

Pelbagai bentuk kematian telah berlaku di dalam dunia ini. Allah mengizinkan pelbagai bentuk kematian sebagai laluan ke akhirat dan sebagai iktibar kepada manusia yang masih hidup. Antara peristiwa kematian yang mengemparkan ialah:

  • Sekitar 200 juta manusia mati akibat wabak Maut Hitam atau Black Death di Eropah sekitar tahun 1346-1353. Wabak ini berpunca daripada sejenis bakteria dikenali Yersinia Pestis yang berpunca daripada kutu.[1]
  • Lebih 40 juta manusia mati akibat wabak Spanish Flu pada tahun 1918. Meskipun diberi nama Spanish Flu, asal-usul penyakit ini bukan berasal dari negara Spain. Ketika wabak ini muncul, media Spain terlalu teruja dengan pandemik yang berlaku. Kesannya, penyakit itu disalah anggap berpunca dari Spain dan dikaitkan sebagai nama wabak tersebut.[2]
  • Sekitar 227,898 manusia di 18 buah negeri mati akibat tsunami yang berlaku 26 Disember 2004. Tsunami berlaku rentetan fenomena gempa bumi di dasar laut berskala lebih 9.0 skala richter. Tsunami ini memberi impak yang lebih dahsyat pada pantai barat Sumatera, Indonesia terutama Bandar Acheh. Tragedi ini menjadi bencana alam paling dahsyat dalam sejarah yang direkodkan. Indonesia adalah negara paling terjejas diikuti Sri Lanka, India, dan Thailand.[3]

Demikianlah urusan kematian di bawah keizinan dan kekuasaan Allah. Paling mustahak, manusia yang beriman perlu memanfaat kehidupan dengan mengumpul sebanyak mungkin pahala dan menjauhi segala perkara yang dilarang dalam agama. Kelak saat kematian dapat menjadi medan yang amat mengembirakan. Ini kerana manusia yang beriman akan meraih balasan kebaikan di sisi Allah setelah meninggalkan dunia ini. Kegembiraan ini tidak akan dikecapi golongan yang derhaka. Mereka akan menerima balasan yang pedih di alam barzakh dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/413-414)

Kesimpulan

Mati adalah penamatan hidup di dunia. Apabila tiba pengakhiran hidup dengan kematian, ianya tetap akan berlaku dan tidak akan dapat ditangguhkan atau dipercepatkan walaupun sesaat pun. Hikmah kematian bukan sahaja pada diri si mati, bahkan juga pada yang masih hidup supaya menjadi peringatan kepada kematian dan menjadikannya hamba yang sentiasa beramal soleh untuk bekal kepada hari akhirat. Pengakhir riwayat hidup individu mengandungi kebaikan dan bagi yang mati ia sebagai satu pengiktibaran, menimbulkan keinsafan, mempertingkatkan amalan, muhasabah diri, membuat persediaan untuk menemui Allah dan sebagainya bagi yang masih hidup.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat  http://www.astroawani.com/berita-dunia/trivia-ini-5-wabak-paling-dahsyat-dalam-sejarah-manusia-238709

[2] Ibid

[3] Tsunami dan Impaknya ke atas Negara Persisiran Lautan Pasifik”. Jurnal Pendidikan Sains Sosial dan Kemanusiaan, Vol.7(2) November, hlm. 213-222.