#4500: Penentangan yang Melampau dalam Kebenaran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah penentangan yang melampau dalam kebenaran merupakan tabiat orang yang bakhil?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قَالُوا۟ حَرِّقُوهُ وَٱنصُرُوٓا۟ ءَالِهَتَكُمْ إِن كُنتُمْ فَـٰعِلِينَ ٦٨ قُلْنَا يَـٰنَارُ كُونِى بَرْدًۭا وَسَلَـٰمًا عَلَىٰٓ إِبْرَٰهِيمَ ٦٩ وَأَرَادُوا۟ بِهِۦ كَيْدًۭا فَجَعَلْنَـٰهُمُ ٱلْأَخْسَرِينَ

Maksudnya:Kaum Nabi Ibrahim berkata, “Bakarlah dia dan tuntut balas bagi tuhan-tuhan kamu jika kamu betul-betul mahu membela tuhan kamu. Lalu Kami katakan kepada api yang membakar Nabi Ibrahim, “Wahai api, jadilah engkau sejuk dan selamat kepada Ibrahim.” Mereka ingin melakukan sesuatu yang buruk kepada Nabi Ibrahim namun Kami jadikan mereka golongan yang tewas dan amat rugi.

(Surah al-Anbiya’: 68-70)

Ketika mana kaum Nabi Ibrahim A.S sudah tidak dapat berhujah lagi dengan baginda berkenaan berhala mereka yang tidak akan mampu berkata-kata, mendengar dan mempertahankan diri, pilihan yang ada bukanlah untuk terus beriman dengan ajaran Nabi Ibrahim A.S, bahkan mereka mahu menzalimi baginda. Para pemimpin mereka memutuskan agar Nabi Ibrahim A.S dikenakan hukuman bakar hidup-hidup. Mengikut sebahagian riwayat tafsir, pemimpin mereka ialah Namruz bin Kan‘an bin Sanharib bin Namruz bin Kausy bin Ham bin Nuh. Setengah pendapat mufasir menyatakan pemimpin mereka ialah seorang lelaki berbangsa Kurdi Parsi. Pemimpin tersebut mengarahkan kaum Nabi Ibrahim A.S mengumpul kayu api. Kemudian mereka melempar Nabi Ibrahim A.S ke tengah api dengan menggunakan manjaniq.

Bagi mereka ini merupakan suatu pembelaan terhadap “tuhan-tuhan” yang telah dihancurkan. Amatlah buruk perbuatan mereka mahu membunuh seorang rasul yang berusaha menyedarkan mereka. Ketika Nabi Ibrahim A.S mula dihukum, Baginda tidak lupa berserah diri kepada Allah. Tiba-tiba Allah menentukan api yang panas membakar serta merta menjadi sejuk serta selamat sejahtera kepada Nabi Ibrahim A.S. Namruz dan orang ramai kehairanan melihat kejadian ajaib ini. Dalam keadaan serba kalut, Namruz mengarahkan pembakaran perlu dihentikan dan Nabi Ibrahim A.S perlu dibebaskan. Hukuman terhadap Nabi Ibrahim A.S menjadi gagal kerana api tidak pun memamah jasad. Natijah percubaan membunuh seorang rasul mengakibatkan lambakan dosa yang besar. Dosa kejahatan yang terbina bakal ‘memamah’ diri mereka sendiri. Allah menyatakan mereka menjadi golongan yang teramat rugi.

Akhirnya Nabi Ibrahim A.S pun terselamat. Menurut riwayat Shu‘aib al-Nimani, ketika itu Nabi Ibrahim A.S berusia 16 tahun. Dalam riwayat Ibn Juraij, Baginda dikatakan berusia 25 tahun. Kemudiannya Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Lut A.S keluar dari Iraq menuju ke Syam. Bumi Syam adalah antara bumi yang diberkati Allah. Banyak saliran sungai, pohon-pohon merendang subur dan kediaman para nabi zaman-berzaman di sana. Di samping keberkatan bumi Syam, Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Lut A.S juga meraih keberkatan tersendiri daripada Ilahi hasil daripada sifat taat dan rela berjuang di jalan Allah. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/421-422)

Penentangan Melampau adalah Tabiat Golongan yang Batil

Nabi Ibrahim A.S dan para nabi yang lain menghadapi ujian getir ketika berdakwah termasuk menerima ancaman bunuh. Nabi Ibrahim A.S cuba dibunuh Namruz menerusi perancangan untuk membakar Baginda. Zaman-berzaman menyaksikan penentangan melampau terhadap para nabi dan golongan soleh sentiasa berlaku. Amat mendangkalkan dalam keadaan golongan batil mengaku di jalan yang benar, mereka melakukan perkara tidak benar dengan melakukan pelbagai kezaliman. Amat hebat perjuangan para nabi dan golongan soleh, mereka tetap istiqamah dan rela terbunuh demi menegakkan agama Allah di atas muka bumi.

Diriwayatkan daripada Khabbab bin al-Arat R.A bahawa Rasulullah SAW menceritakan perjuangan dan penderitaan yang berlaku:

قَدْ كَانَ مَنْ قَبْلَكُمْ، يُؤْخَذُ الرَّجُلُ فَيُحْفَرُ لَهُ فِي الأَرْضِ، فَيُجْعَلُ فِيهَا، فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُجْعَلُ نِصْفَيْنِ، وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الحَدِيدِ، مَا دُونَ لَحْمِهِ وَعَظْمِهِ، فَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ، وَاللَّهِ لَيَتِمَّنَّ هَذَا الأَمْرُ، حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ، لاَ يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ، وَالذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ، وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ»

Maksudnya: “Sesungguhnya sebelum daripada kamu, akan ditangkap seorang lelaki, digali lubang dan dihumbankan lelaki tersebut ke dalamnya. Kemudian dibawa sebuah gergaji dan diletakkan di kepalanya. Seterusnya digergajikan kepala lelaki tersebut sehingga terbelah dua. Terdapat juga seseorang yang dicakar dengan pencakar besi sehingga terpisah daging dan tulangnya. Semua ini tidak membuat mereka berpaling daripada agamanya (Islam). Demi Allah, perkara ini (Islam) akan menjadi sempurna sehingga seorang pengembara mampu berjalan dari San‘a hingga ke Hadharamaut, dia tidak takut melainkan kepada Allah dan dia juga tidak risau serigala yang akan menerkam kambingnya. Tetapi kamu terlalu tergesa-gesa (inginkan kemenangan atau hasil).”

Riwayat al-Bukhari (6943)

Demikian tabiat sebahagian golongan yang kufur, mereka memilih untuk menentang dengan cara yang melampau. Tiada menghormati sesama insan dan senang menumpahkan darah manusia yang tidak sefahaman.

Dalam isu bumi Palestin, Yahudi Zionis sentiasa melanggar norma kemanusiaan termasuk sempadan undang-undang yang dipersetujui dunia di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (United Nations). Antara kezaliman Yahudi Zionis yang terus diingati umat Islam dan rakyat Palestin ialah pembunuhan Syeikh Ahmad Yasin, pengasas Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (HAMAS).

Syeikh Ahmad Yasin telah dibunuh ketika beliau sedang bergerak dengan kerusi roda untuk menunai Solat Subuh pada 22 Mac 2004. Yahudi Zionis membunuh beliau dengan menggunakan helikopter Apache. Jasad Syeikh Ahmad Yasin hancur berkecai lantaran serangan roket di hadapannya. Insiden berdarah ini menyerlahkan sifat pengecut Yahudi Zionis. Mereka bertarung bukan pada medan dan menggerakkan senjata besar hanya untuk menghadapi seorang tokoh umat Islam Palestin yang cacat anggota. Peristiwa ini tidak dilupakan orang yang beriman. Allah pasti menentukan kemenangan Islam di bumi Palestin. Syeikh Ahmad Yasin adalah contoh pejuang yang menyelusuri para nabi dan syuhada terdahulu. Mereka bebas daripada hitungan Mahsyar lantaran menerima anugerah syahid. Sesungguhnya tersedia bagi para pejuang ini balasan syurga yang indah yang mengatasi segala kelebihan dunia. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/424-425 )

Kesimpulan

Sudah menjadi lumrah, perjuangan Islam dan perbuatan yang baik akan berdepan dengan onak duri rintangan. Kekuatan akan diperolehi apabila tidak lupakan Allah. Niatkanlah kerana Allah agar semua amalan diterima di dunia dan akhirat. Allah akan menentukan perhitungan-Nya terhadap sesiapa yang cuba menghalang.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)