#4510: Kesetiaan Untuk Orang Beriman

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya kenapa islam menganjurkan kesetian untuk orang beriman sahaja? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ عَدُوِّى وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَآءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِٱلْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا۟ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلْحَقِّ يُخْرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمْ ۙ أَن تُؤْمِنُوا۟ بِٱللَّهِ رَبِّكُمْ إِن كُنتُمْ خَرَجْتُمْ جِهَـٰدًۭا فِى سَبِيلِى وَٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِى ۚ تُسِرُّونَ إِلَيْهِم بِٱلْمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعْلَمُ بِمَآ أَخْفَيْتُمْ وَمَآ أَعْلَنتُمْ ۚ وَمَن يَفْعَلْهُ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul.

(Surah al-Mumtahanah: 1)

Dalam menjawab persoalan di atas, haram memberi walak iaitu janji setia dan saling tolong menolong dan berkasih sayang terhadap orang kafir yang memusuhi Islam dalam apa bentuk sekalipun. (Lihat Tafsir al-Munir, 28/123)

Wajib ke atas umat Islam berjihad memerangi orang kafir yang memusuhi Islam dengan apa sahaja cara yang termampu. Yusof al-Qaradawi menyatakan kewajipan jihad terhadap golongan yang memusuhi Islam:

لََا شَكَّ أَنَّ الْمُسْلِم مَأْمُور بِِمُجَاهَدَةِ أَعْدَاء دِينِه وَوَطَنِه، بِكُلَّ مَا يَسْتَطِيعُ مِنْ أَلْوَانِ الْْجِهَاد، الْْجِهَاد بِِالْيَدِ، وَالْْجِهَاد بِِالِّسَانِ، وَالْْجِهَاد بِِالْقَلْبِ، وَالْْجِهَاد بِِالْمُقَاطَعَةِ..كُلُّ مَا يضعف العَدُوّ ويخضد شوكته يََجِبُ عَلَى الْمُسْلِمِ أَنْ يَفْعَله، كُلُّ إِنْسَان بِقَدْرِ اسْتَطَاعَته، وَفِِي حُدُودِ إِمْكَانِياتِه، وَلََا يََجُوزُ لِمُسْلِمِ بِِحَالِ أَنْ يَكُون رِدَءًا أَوْ عَوْنًًا لِعَدُوّ دِينه وَعَدُوّ بِلََاده، سَوَاءً كَانَ هَذَا الْعَدُوّ يَهُودِيًًّّا أَمْ وَثَنِيًّا..

Maksudnya: Tidak syak lagi bahawa seorang Muslim diperintahkan untuk memerangi musuh agamanya dan musuh tanah airnya dengan apa sahaja bentuk jihad yang mampu dilakukannya sama ada dengan tangan, lisan, hati mahupun dengan cara memboikot. Setiap cara yang boleh melemahkan musuh, dan menghapuskan kekuatannya, maka menjadi kewajipan orang Islam untuk melakukannya. Setiap orang hendaklah melakukan dengan kadar kemampuannya. Tidak boleh seorang Muslim dalam apa jua keadaan menjadi pembantu kepada musuh agamanya dan musuh tanah airnya, sama ada musuh tersebut daripada kalangan orang Yahudi ataupun penyembah berhala. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 1/1713)

Oleh yang demikian tidak diharuskan sama sekali menjadikan orang-orang kafir yang memusuhi Islam sama ada secara sembunyi mahupun terang-terangan sebagai teman karib dan penolong. Larangan yang tegas sudah tentunya adalah mengangkat mereka sebagai pemimpin kepada umat Islam.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam