#4512: Haiwan Dan Tumbuhan Bertasbih

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bagaimanakah haiwan dan tumbuhan bertasbih kepada Allah SWT? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

سَبَّحَ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Surah Saf:1)

Ayat ini menyatakan bahawa semua makhluk di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah SWT. Tasbih daripada makhluk hidup yang berakal seperti malaikat, jin dan manusia dapat difahami dengan jelas. Namun, bagaimanakah haiwan, tumbuh-tumbuhandan segala yang wujud di alam ini bertasbih?

Menjawab bagi persoalan di atas Al-Qurtubi menerangkan pengertian tasbih makhluk-makhluk Allah SWT ketika mentafsirkan ayat 44 daripada Surah al-Isra’:

 تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَٰكِن لَّا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ ۗ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا

Maksudnya: Tujuh lapis langit dan bumi serta sekalian penghuninya sentiasa bertasbih kepada Allah. Dan tiada sesuatu makhluk pun melainkan kesemuanya bertasbih memuji Allah, tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka.

(Surah al-Isra’: 44)

Al-Qurtubi mendatangkan dua pandangan berkaitan cara bertasbih makhluk selain manusia, malaikat dan jin iaitu:

  • Tasbih yang berlaku pada makhluk tersebut adalah tasbih al-dilalah, iaitu setiap makhluk ciptaan Allah SWT, terzahir pada dirinya kebesaran Allah SWT sebagai pencipta yang berkuasa. Maka golongan ini bermaksudkan bahawa tasbih yang dilakukan oleh makhluk-makhluk ini adalah berlaku secara kiasan.
  • Terdapat golongan yang menyatakan bahawa tasbih yang dilakukan oleh makhluk-makhluk adalah berlaku secara hakikat. Pandangan ini adalah berdasarkan hadis daripada Jabir bin Samurah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنِِّّي لََأَعْرِفُ حَجَرًا بِِمَكَّةَ كَانَ يُسَلِّمُ عَلَيَّ قَبْلَ أَنْ أُبْعَثَ إِنِِّّي لََأَعْرِفُهُ الْْآنَ.

Maksudnya: Sesungguhnya aku mengetahui sebuah batu di Makkah yang mengucapkan salam kepadaku sebelum aku diutuskan menjadi rasul. Sesungguhnya sekarang aku benar-benar mengenali batu tersebut.

(Riwayat Muslim:2277)

Dalam petunjuk yang lain, Abdullah bin Mas’ud R.A berkata:

وَلَقَدْ كُنَّا نَسْمَعُ تَسْبِيحَ الطَّعَامِ وَهُوَ يُؤْكَلُ

Maksudnya: Sesungguhnya kami mendengar makanan bertasbih ketika ia dimakan.

Riwayat Bukhari (3579)

Justeru, berdasarkan riwayat-riwayat yang dinyatakan, al-Qurtubi cenderung menyatakan bahawa makhluk-makhluk selain malaikat, jin dan manusia bertasbih secara hakiki, tetapi tidak didengari dan difahami oleh manusia. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 13/89-92)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنِّا عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah bantulah kami untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan elok dalam beribadah kepada-Mu.”

Wallahua’lam