#4515: Cinta Rasul

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah cara melahirkan kecintaan kepada Rasul? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, beriman kepada rasul adalah suatu tuntutan syarak dan menjadi salah satu daripada rukun-rukun iman yang enam. Beriman dengan para nabi dan rasul membawa maksud beriman dengan rasul yang Allah SWT sebutkan nama mereka dalam al-Quran. Hikmah perutusan rasul ini adalah untuk menyempurnakan panduan yang diperlukan oleh manusia bagi menyusun sistem hidup mereka dan menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. (Lihat al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Mazahibuha,hlm.  444-448).

Dalam konteks keimanan dan melahirkan kecintaan terhadap nabi kita Muhammad SAW, manhaj wasatiyyah dengan mengambil pendekatan mengutamakan penegakan risalah dan Sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sewajarnya diberi penekanan berbanding sekadar mengagung-agungkan jasad dan keturunan Baginda SAW. Adalah tidak salah untuk memuji dan mengenang Rasulullah SAW dengan membaca pelbagai qasidah dan syair berkenaan jasad dan keturunan Baginda SAW, namun apa yang lebih penting adalah melaksanakan risalah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمْ عَنْهُ فَٱنتَهُوا۟ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Maksudnya: “Apa yang dibawa oleh rasul kepada kamu semua, maka ambillah dan apa yang dilarang oleh rasul maka tinggalkanlah. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat dahsyat hukuman-Nya.

(Surah al-Hasyr: 7)

Selain itu, kecintaan kepada Rasulullah SAW juga perlu diseimbangkan antara cinta kepada jasad Baginda dengan cinta kepada Sunnah Baginda. Ini kerana dikhuatiri ia akan membawa kepada ketidakseimbangan dalam penghayatan syariah. Contohnya, terdapat sesetengah orang yang bersemangat dalam menghadiri majlis-majlis maulid Nabi SAW dengan membaca qasidah atau syair atau nasyid dan sebagainya, tetapi apabila dilihat pada gaya hidupnya, masih tidak menghayati syariat yang diwariskan oleh Rasulullah SAW seperti mengabaikan solat berjemaah, mendedahkan aurat, pecah amanah, mengamalkan rasuah, makan riba’, melakukan syirik, percaya kepada perkara khurafat dan pelbagai lagi. Semua ini akan mencacatkan kecintaan kita kepada Nabi SAW kerana ia bukan berlandaskan kepada kefahaman tetapi lebih kepada emosi semata-mata.

Hal ini juga sebagaimana nasihat oleh Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi yang menegaskan bahawa apa yang penting dalam menyambut maulid Nabi SAW adalah kita melaksanakan apa yang disukai oleh empunya maulid dan Pencipta empunya maulid serta berpegang teguh kepada manhaj yang dibawa oleh Nabi SAW. (Lihat Fatawa al-Sya‘rawi, hlm. 601).

Justeru, cinta kepada Rasulullah SAW hendaklah disemai dan dibajai dengan cinta kepada Sunnah atau risalah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW, bukan sekadar cinta kepada jasad dan keturunan Baginda. (Lihat juga Tafsir al-Bayan, 1/888-889).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”