Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kenapakah dilarang mempersendakan agama? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:
وَإِذَا رَأَيْتَ ٱلَّذِينَ يَخُوضُونَ فِىٓ ءَايَـٰتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا۟ فِى حَدِيثٍ غَيْرِهِۦ ۚ وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ ٱلشَّيْطَـٰنُ فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ ٱلذِّكْرَىٰ مَعَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٦٨ وَمَا عَلَى ٱلَّذِينَ يَتَّقُونَ مِنْ حِسَابِهِم مِّن شَىْءٍۢ وَلَـٰكِن ذِكْرَىٰ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ ٦٩ وَذَرِ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ دِينَهُمْ لَعِبًۭا وَلَهْوًۭا وَغَرَّتْهُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِۦٓ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌۢ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلِىٌّۭ وَلَا شَفِيعٌۭ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍۢ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَآ ۗ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ أُبْسِلُوا۟ بِمَا كَسَبُوا۟ ۖ لَهُمْ شَرَابٌۭ مِّنْ حَمِيمٍۢ وَعَذَابٌ أَلِيمٌۢ بِمَا كَانُوا۟ يَكْفُرُونَ
Maksudnya: “Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu) (68). Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa (69). Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).”
(Surah al-An‘am: 68-70)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa Allah SWT melarang keras mereka yang mempersendakan hukum Islam dan ia adalah suatu dosa besar dan akan mendapat balasan serta azab yang dahsyat daripada Allah SWT. Hal ini kerana di antara perkara yang dianggap mempersendakan agama ialah mempermainkan dan mempersendakan ajaran Islam sama ada melalui lisan atau perbuatan, memperkecilkan tuntutan agama, terang-terangan memperlihatkan dosa, menyokong perbuatan maksiat, tidak bersolat dan sebagainya.
Mutakhir ini, di media sosial sentiasa terpapar berita dan cerita tentang mereka yang memperlekeh, mempersenda dan mempermainkan agama. Sikap umat Islam yang mengabaikan perintah Allah SWT sebenarnya merupakan fitnah terbesar yang menyerang dan merosakkan imej dan kesucian umat Islam. Sifat-sifat seperti ini juga berada di dalam hati orang munafik dan mereka tidak menyatakannya di hadapan orang beriman. Maka tidak ada orang Islam yang mengetahuinya sehinggalah Allah SWT Yang Maha Mengetahui memberitahu tentang hakikat orang munafik.
Muhammad Abduh menyentuh realiti manusia zaman moden kini dan cuba menyamakan mereka dengan keadaan orang munafik pada zaman Rasulullah SAW. Beliau menyatakan bahawa ini juga menjadi hujah bagi kebanyakan orang yang mengaku Islam daripada golongan ini. Mereka tahu tentang kesempurnaan golongan salaf tetapi mereka tidak meneladani golongan itu. Mereka hanya ingin memperoleh kesenangan dunia dan akhirat dengan mengaku bahawa mereka adalah pengikut golongan salaf yang agung, tetapi mereka tidak tahu bahawa golongan salaf itu mulia kerana mereka adalah umat wasata yang mempunyai akidah, akhlak dan amalan yang baik, dan mereka sentiasa berusaha melakukan reformasi terhadap manusia dengan amar makruf dan nahi mungkar. (Lihat Tafsir al-Manar, 1/160-161).
Dalam konteks ini, apa yang diperkatakan oleh Muhammad Abduh memang berlaku dalam masyarakat Islam pada hari ini. Ramai orang Islam yang mengaku Islam namun hakikatnya mereka menyerupai kaum Yahudi dan Nasrani. Mereka lebih senang menyerupai orang Yahudi dan Nasrani dalam segala perkara. Termasuk cara berpakaian, makan, bercakap, berakhlak dan amalan perilaku. Mereka terpedaya dengan impian dan harapan bahawa Allah SWT lebih mengutamakan amalan hati dan bukan melihat kepada amalan dan bentuk amalan yang zahir. Sedangkan mereka sebenarnya tidak memahami bahawa hati yang dilihat oleh Allah SWT ialah hati yang baik dan dipenuhi hidayah. Mereka tidak faham bahawa hati yang baik itu akan menzahirkan perlakuan yang soleh dan sentiasa istiqamah di atas petunjuk dan hidayah Allah SWT.
Manakala hati yang kosong tanpa keimanan, perlakuan lahirnya adalah penuh dengan kefasikan, penyimpangan dan kemaksiatan. Memang sangat ramai manusia pada zaman ini yang mengaku beriman, padahal imannya itu jauh daripada diri mereka. Maha benar firman Allah SWT:
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَقَلِيلٌۭ مَّا هُمْ ۗ
Maksudnya: “Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh; namun mereka itu amatlah sedikit.”
(Surah Sad: 24)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”