#4517: Perbezaan Ilmuan Hakiki dan Ilmuan Palsu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat perbezaan antara ilmuan yang sebenar dan yang mendakwa dirinya sebagai orang yang berilmu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjawab persoalan yang diajukan saudara, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَخْشَى ٱللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ ٱلْعُلَمَـٰٓؤُا۟ ۗ

Maksudnya: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.”

(Surah al-Fatir: 28)

Imam Ibn Kathir berkata, sesungguhnya yang takut akan Allah SWT dengan sebenar-benarnya hanyalah ulama’ yang arif serta tahu tentang Tuhan. Ini kerana, bilamana seseorang itu semakin bertambah keilmuannya tentang Allah SWT yang Maha Kuasa, Maha Mengetahui, yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan serta nama-nama yang mulia, nescaya semakin bertambahlah ketakutan mereka terhadap-Nya.

Apakah pula ketakutan yang dimaksudkan itu? Sa‘id bin Jubair R.A berkata, ketakutan itu adalah yang menjadi penghalang antara seseorang dengan perbuatan maksiat terhadap Allah SWT.

Kemudian Imam Ibn Kathir menukilkan pula kalam Abu Hayyan al-Tamimi daripada seorang lelaki, katanya bahawa orang yang berilmu itu terbahagi kepada 3:

  • Orang yang mengenal Allah SWT dan mengetahui perintah-perintahnya. Dia ini orang berilmu yang takutkan Allah SWT dan dia tahu akan hukuman-hukuman serta kewajiban-kewajiban yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
  • Orang yang mengenal Allah SWT, tetapi tidak mempunyai ilmu tentang perintah-perintahnya. Dia ini juga orang berilmu yang takutkan Allah SWT, tetapi tidak tahu akan hukuman-hukuman serta kewajiban-kewajiban yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
  • Orang yang tidak mengenal Allah SWT, tetapi mengetahui perintah-perintahnya. Dia ini tahu akan hukuman-hukuman serta kewajiban-kewajiban yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, tetapi dia tidak takutkan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/482)

Maka jelas berdasarkan ayat ini menunjukkan kepada kita, apakah sebenarnya yang membezakan antara ilmuan yang hakiki dengan ilmuan yang palsu. Ilmuan yang hakiki itu, ilmu yang dimilikinya itu membuatkan dirinya lebih takut kepada Allah SWT dengan melakukan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Adapun ilmuan yang palsu ini, boleh jadi dia seorang yang ada ilmu pengetahuan tentang sesuatu, akan tetapi ilmu yang dimilikinya itu tidak menjadikan dia seorang yang takut akan Allah SWT.

Syeikh Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur membawa sebuah kisah yang dapat kita jadikan gambaran tentang perbincangan kita ini, tentang seorang lelaki yang didakwa mempunyai ilmu pengetahuan, tetapi ia tidak menjadikannya seorang yang takut kepada Allah SWT. Bahkan lebih teruk lagi, ia mendorong lelaki itu menjadi semakin jauh dari kebenaran. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا لُقْمَـٰنَ ٱلْحِكْمَةَ أَنِ ٱشْكُرْ لِلَّهِ ۚ وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌۭ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): ‘Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu).’ Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”

(Surah Luqman: 12)

Syeikh Ibn ‘Asyur mengatakan, ayat ini berkait dengan kisah al-Nadhr bin al-Harith. Dia adalah seorang yang dianggap sebagai tokoh ilmuan dalam kalangan orang Quraisy ketika itu, kerana pengalamannya yang luas dengan mengembara ke luar Jazirah Arab dan mendapat akses kepada perbendaharan ilmu yang terdapat dalam kerajaan Rom dan Parsi. Malangnya, dia berpihak kepada golongan musyrikin Makkah dengan menggunakannya untuk menentang dakwah Nabi Muhammad SAW.

Beliau juga berkata, watak al-Nadhr yang takjub dengan kesesatan diri sendiri, sekalipun dijoloki status orang berilmu, ditandingi dengan watak Luqman al-Hakim yang bijaksana serta sangat komited dengan jalan hidayah daripada Allah SWT. (Lihat Al-Tahrir wa al-Tanwir, 21/148)

Kejinya kata-kata al-Nadhr sehinggakan dia menyamakan kisah-kisah dan pengajaran di dalam al-Quran dengan kisah-kisah dongeng umat terdahulu, dan dia sanggup mengembara jauh sampai ke Hirah (berdekatan Iraq), Syam, Parsi, Rom dan lain-lain tempat untuk mempelajari kesusasteraan mereka, termasuk daripada kaum Yahudi dan Nasrani, untuk menandingi al-Quran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, 2/139)

Bukan sekadar itu, dia juga membawa masuk budaya dan produk kesenian luar yang melibatkan hiburan seperti tarian, alat muzik dan nyanyian ke dalam masyarakat Arab, semata-mata untuk menandingi ajaran al-Quran, sehingga direkodkan dia pernah berkata: “Kamu ambil sahajalah daripadaku apa yang lebih baik daripada apa yang ditawarkan oleh Muhammad daripada solat, puasa dan berjuang untuknya!” (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 11/67)

Segala usaha dan pengetahuan yang dimiliki al-Nadhr ternyata sia-sia sahaja apabila dibunuh oleh Saidina ‘Ali bin Abu Talib R.A dalam peperangan Badar ketika dia berperang menyebelahi puak Musyrikin Makkah yang menganiaya orang Islam. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 3/351)

Sebagai pengajaran, kita selaku orang beriman hendaklah mempelajari ilmu pengetahuan yang Allah SWT kurniakan semasa hidup di dunia dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Jauhkanlah diri kita daripada mencari ilmu bagi tujuan keredhaan manusia, dan mencari harta serta jawatan, kerana semua tujuan keduniaan itu tidak kekal sifatnya dan berisiko menjauhkan kita daripada rahmat Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”

Wallahu a‘lam