Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana gambaran keluasan ilmu Allah yang tiada bandingannya?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّمَا فِى ٱلْأَرْضِ مِن شَجَرَةٍ أَقْلَـٰمٌۭ وَٱلْبَحْرُ يَمُدُّهُۥ مِنۢ بَعْدِهِۦ سَبْعَةُ أَبْحُرٍۢ مَّا نَفِدَتْ كَلِمَـٰتُ ٱللَّهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌۭ
Maksudnya: “Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah Luqman: 27)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata, seandainya kesemua pokok di muka bumi ini dijadikan pena, dan dijadikan kesemua air 7 lautan sebagai dakwat, kemudian dituliskan kalimah-kalimah Allah SWT yang menunjukkan tentang keagungan-Nya, sifat-sifat kebesaran-Nya, nescaya hancurlah pena-pena itu, dan mengeringlah air laut itu, meskipun didatangkan lagi dengan jumlah semisalnya.
Disebutkan 7 lautan bagi menunjukkan hiperbola, dan bukan untuk mengehadkan, kerana bukan hanya 7 lautan yang meliputi bumi ini. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/311)
Allah SWT mengkhabarkan betapa besar dan luasnya ilmu Allah SWT sehingga diibaratkan bahawa sekiranya lautan dijadikan tinta manakala pohonpohon pula dijadikan pena untuk menulis segala ilmu Allah SWT, nescaya tidak akan mencukupi malah pena tersebut mengering, oleh kerana betapa luasnya ilmu Allah SWT ini. Ianya tidak akan sama sekali dapat ditandingi oleh sekalian makhluk-Nya.
Manusia dianugerahkan akal oleh Allah SWT berbeza dengan makhluk-makhluk Allah SWT yang lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Dengan adanya akal yang diberikan, manusia mampu untuk mencipta pelbagai teknologi yang canggih, jaringan media sosial sehinggalah membina kenderaan yang pantas dan cekap yang tidak wujud suatu ketika dahulu. Namun di sebalik kepintaran manusia, kedudukan mereka sebagai makhluk menggambarkan kelemahan dan keterbatasan ilmu manusia.
Sehubungan dengan itu, Allah SWT banyak memaparkan keluasan ilmu-Nya yang tidak akan mampu digapai apatah lagi ditandingi oleh setiap makhluk-Nya. Di antara beberapa ayat al-Quran yang menerangkan keterbatasan ilmu manusia adalah sepertimana firman Allah SWT:
وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ ۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّى وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًۭا
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakanlah: ‘Roh itu adalah urusan Tuhanku. Kamu tidak diberi ilmu melainkan sedikit’.”
(Surah al- Isra’: 85)
Begitu juga di dalam satu hadith mengenai kisah pertemuan Nabi Musa A.S dan Nabi Khidir A.S. Nabi Khidir A.S berkata:
فَجَاءَ عُصْفُورٌ، فَوَقَعَ عَلَى حَرْفِ السَّفِينَةِ، فَنَقَرَ نَقْرَةً أَوْ نَقْرَتَيْْنِ فِِي البَحْرِ، فَقَالَ الخَضِرُ: يََا مُوسَى مَا نَقَصَ عِلْمِي وَعِلْمُكَ مِنْ عِلْمِ اللَّهَِّ إِلََّّا كَنَقْرَةِ هَذَا العُصْفُورِ فِِي البَحْرِ
Maksudnya: “Setelah itu, datang seekor burung lalu hinggap di tepi perahu. Burung itu mencelupkan paruhnya ke dalam laut sekali atau dua kali. Khidir berkata: ‘Wahai Musa, ilmuku atau ilmumu tidaklah mengurangkan ilmu Allah kecuali sekadar patukan burung itu ke dalam laut’.”
Riwayat al-Bukhari (122)
Melalui kedua-dua dalil ini, dapat kita lihat bahawa ilmu yang dimiliki oleh manusia ternyata jauh sekali sekiranya hendak dibandingkan dengan ilmu Allah SWT yang Maha Luas.
Oleh yang demikian, mengapakah kita bersikap angkuh dengan ilmu yang kita miliki. Ilmu yang manusia miliki hanyalah secebis dari ilmu Allah Yang Maha Luas dan tidak dapat ditandingi sesiapa pun dari hamba-Nya yang kerdil dan betapa luasnya Ilmu Allah Yang Maha besar di atas setiap sesuatu.
Marilah kita sama-sama menadah tangan dan berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam