#4524: Buku Catatan Amalan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah hari akhirat kita diberi buku catatan amalan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, setiap manusia di akhirat kelak akan mempunyai kitab atau buku catatan amalannya yang akan dibuka di padang Mahsyar kelak. Mereka akan dipertunjukkan segala apa yang dilakukan semasa hidup  di dunia dan kemudian dihisab. Maka dengan itulah Allah SWT memperingatkan bahawa manusia supaya menjaga diri dan keluarganya daripada seksaan Allah SWT di akhirat kelak. Setiap orang tidak akan terlepas daripada melihat segala perlakuan yang dilakukannya ketika hidup di dunia. Tidak ada satu pun terlepas kerana malaikat sentiasa bersedia mencatat setiap perlakuan manusia.

Hal itu dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran sebagimana firman-Nya:

إِذْ يَتَلَقَّى ٱلْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ ٱلْيَمِينِ وَعَنِ ٱلشِّمَالِ قَعِيدٌۭ ١٧ مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌۭ

Maksudnya: “Ketika dua malaikat mencatat segala amalan, perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tiada satu perkataan yang diucapkannya melainkan di sisinya ada malaikat yang sentiasa mengawasi dan hadir bersamanya.

(Surah Qaf: 17-18)

Firman-Nya lagi:

ٱلْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَىٰٓ أَفْوَٰهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَآ أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Pada hari ini, Kami mengunci mulut mereka, lalu tangan-tangan mereka yang memberitahu Kami kesalahan mereka dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

(Surah Yasin: 65)

Rasulullah SAW pernah menjelaskan bahawa umatnya adalah umat pertama dihitung amalannya pada hari akhirat kelak. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نَحْنُ الْآخِرُونَ الْأَوَّلُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَنَحْنُ أَوَّلُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Kita adalah umat yang terakhir di dunia tetapi yang pertama dihisab pada hari kiamat dan kita juga yang pertama memasuki syurga.”

Riwayat Muslim (805)

Tidak ada insan yang benar-benar mengetahui perilaku sebenar ketika di dunia melainkan dirinya sendiri. Pada hari akhirat kelak, segalanya akan ditunjukkan tanpa sebarang keculasan pada catatan berkenaan. Oleh demikian, maka beruntunglah sekiranya buku amalan diterima dengan tangan kanan. Orang Mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT serta sentiasa melakukan kebaikan di dunia akan menerima buku amalannya dari arah depan dan diterima dengan tangan kanannya.

Firman Allah SWT:

فَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ بِيَمِينِهِۦ ٧ فَسَوْفَ يُحَاسَبُ حِسَابًۭا يَسِيرًۭا ٨ وَيَنقَلِبُ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ مَسْرُورًۭا

Maksudnya: “Sesiapa yang diberi kitab amalannya, lalu diambilnya dengan tangan kanannya. Maka dia akan dinilai amalannya dengan hisab penilaian yang mudah. Dia akan kembali ke pangkuan keluarganya dengan gembira.”

(Surah al-Insyiqaq: 7-9)

Sebaliknya golongan yang ingkar terhadap perintah Allah SWT akan menerima buku amalan daripada tangan kiri, sebagaimana firman Allah SWT:

وَأَمَّا مَنْ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُۥ وَرَآءَ ظَهْرِهِۦ ١٠ فَسَوْفَ يَدْعُوا۟ ثُبُورًۭا ١١ وَيَصْلَىٰ سَعِيرًا

Maksudnya: “Adapun sesiapa yang diberi kitab amalannya, lalu diambilnya dari sebelah belakangnya. Maka dia akan meminta agar dirinya dibinasakan. Dia akan merasai bahang neraka yang menyala-nyala.”

(Surah al-Insyiqaq: 10-12)

Tidak ada seorang pun yang mampu lari daripada perhitungan yang adil itu. Bagaimana keadaan orang yang ingkar terhadap keesaan Allah SWT tatkala menerima buku amalan mereka? Allah SWT berfirman:

وَوُضِعَ ٱلْكِتَـٰبُ فَتَرَى ٱلْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَـٰوَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا ٱلْكِتَـٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةًۭ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحْصَىٰهَا ۚ وَوَجَدُوا۟ مَا عَمِلُوا۟ حَاضِرًۭا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًۭا

Maksudnya: “Lalu dibentangkan kitab amalan. Maka kamu akan melihat orang yang melakukan dosa ketakutan menyedari apa yang terkandung di dalam kitab itu. Mereka berkata, ‘Celakalah kami. Kitab apakah ini? Tiada suatu perkara pun yang terlepas sama ada kecil atau besar melainkan ia mencatatnya.’ Mereka mendapati apa yang mereka lakukan semasa di dunia telah tercatat dan Tuhanmu tidak sesekali menzalimi sesiapa pun.”

(Surah al-Kahfi: 49)

Maka ingatlah, perkara itu bukan perkara kecil dan boleh dipandang ringan. Ia penentu kepada masa depan seseorang di akhirat kelak. Maka, bagi orang yang berfikiran waras, bersiap sedialah dengan melakukan banyak amal kebaikan supaya segala yang baik memenuhi buku amalan kelak. Bertaubatlah kepada Allah SWT kerana Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani atas setiap hamba-Nya yang ingin kembali kepada-Nya. Tutuplah keaiban orang lain ketika hidup di dunia kerana kelak Allah SWT akan menutup keaiban kita di akhirat tatkala dibentangkan buku amalan untuk dibuat perhitungan.

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang memudahkan seseorang dalam kesusahan, Allah pasti akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat, dan siapa yang menutup aib seorang muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa membantu seseorang hamba selagi hamba tersebut membantu saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699)

Hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan dalam Tafsir al-Bayan (6/106-108)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”