#4526: Pengabaian Solat Membawa Kehancuran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan bagaimana pengabaian solat boleh membawa kepada kehancuran dan apakah puncanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ ٱلْمُؤْمِنُونَ ١ ٱلَّذِينَ هُمْ فِى صَلَاتِهِمْ خَـٰشِعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;

(Surah al-Mukminun: 1-2)

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan, tidak dapat dinafikan lagi bahawa solat adalah di antara medium penghubung antara kita sebagai seorang hamba dengan Tuhan yakni Allah SWT yang telah menciptakan kita. Allah SWT menjemput kita secara eksklusif untuk mengadap-Nya sebanyak lima kali sehari semalam, tidak salah dikatakan bahawa ramai daripada kita bukan sahaja tidak menyahut, malah terdapat juga yang mengabaikannya terus. Sombong dan bongkak, seolah-olah segala nikmat yang diperoleh selagi bernafas di atas muka bumi ini adalah hak milik kekal. Mereka malas menunaikan solat, sedangkan ia adalah tiang agama, dan asas dalam kehidupan umat Islam.

Banyak hadith Rasulullah SAW menyentuh mengenai solat, antaranya Baginda menyifatkan solat adalah batas pemisah di antara seseorang dengan kekafiran. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang memisahkan antara seseorang lelaki dengan syirik dan kufur adalah meninggalkan solat.”

Riwayat Muslim (134)

 Begitu juga hadith daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ

Maksudnya: “Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada hari akhirat daripada semua amalannya ialah solat. Jika solatnya benar sempurna dan baik maka dia akan berjaya dan selamat, dan jika solatnya rosak maka dia akan rugi dan menyesal.”

Riwayat al-Tirmizi (413) dan beliau menyatakan hadith ini adalah hasan gharib.

Melihat kepada senario semasa, didapati terdapat pengabaian solat yang serius dalam kalangan remaja yang mana mereka tidak konsisten menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Pernyataan ini disandarkan kepada dapatan kajian Sharifah Nur[1] dan Shukri Ahmad[2] yang mendapati penghayatan solat masih rendah, pelaksanaan solat tidak dianggap penting di samping solat dianggap bukan keutamaan oleh golongan remaja. Selain itu tidak ramai pelajar yang mahu menunaikan solat secara berjemaah dan ada juga pelajar yang tidak menunaikan solat Jumaat.

Punca ketidaksempurnaan pelaksanaan solat ini dikatakan berpunca daripada kurangnya ilmu pengetahuan atau kefahaman berkaitan ibadah solat, kesedaran dan motivasi terhadap pelaksanaan solat dan terhakisnya rasa tanggungjawab untuk menunaikan kewajipan solat. Lebih mendukacitakan lagi menurut Husna Bidin, terdapat pelajar yang mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang solat tetapi tidak melaksanakan solat dengan konsisten. Seterusnya apabila remaja ini mengabaikan solat, ia akan mendedahkan mereka kepada keruntuhan akhlak yang membawa kepada penglibatan mereka dalam gejala sosial. Justeru, perhatian serius perlu diberikan kepada isu meninggalkan solat kerana masalah keruntuhan akhlak, gejala sosial, isu dadah, pembuangan bayi dan sebagainya adalah sebenarnya berpunca daripada sikap gemar meninggalkan solat tanpa rasa bersalah. Keadaan ini mengundang kebimbangan dan keresahan banyak pihak khususnya para ibu bapa dan pendidik.[3]

Lebih mengejutkan, beberapa tahun lalu, pakar motivasi, Fadzilah Kamsah mendedahkan hasil kajiannya yang mendapati 80 peratus umat Islam di negara ini tidak menyempurnakan solat lima waktu. Statistik ini tidak boleh dipandang mudah kerana solat adalah tiang agama, sekiranya tiang sesuatu struktur itu tidak kuat maka bangunannya boleh runtuh pada bila-bila masa.[4] Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masa kini. Menurut beliau, antara golongan yang kerap meninggalkan ibadah solat ini ialah golongan para pelajar sekolah, golongan belia, pekerja kilang, anggota pasukan seragam dan juga para peniaga.

Perlu diingati, tujuan utama Allah SWT menciptakan manusia dan jin adalah untuk beribadah serta menjadi hamba cemerlang di dunia dan mampu melepasi proses pengauditan di akhirat kelak. Jika kepada Allah SWT pun manusia itu gagal melaksanakan tanggungjawabnya, bagaimana pula kepada organisasi yang diwakilinya? Ini amat berkait rapat dengan konsep ihsan dalam Islam yang secara ringkasnya bermaksud melaksanakan sesuatu ibadah dengan perasaan penuh yakin seolah-olah ia dilihat terus oleh Allah SWT.

Sesungguhnya amalan atau perbuatan meninggalkan solat ini merupakan masalah yang serius atau cukup berat, kerana baik buruknya perlakuan seseorang itu sangat dipengaruhi oleh solatnya. Jika ibadah solatnya baik, dilakukan dengan penuh kesempurnaan yang merangkumi aspek rukun, syarat dan penuh khusyuk ia akan dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.  Aspek ini menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul dalam organisasi atau pun yang melakukan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan syarak.

Hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan dalam Tafsir al-Bayan (6/142-144).

Kami akhiri dengan peringatan daripada Allah SWT:

مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ ٤٢ قَالُوا۟ لَمْ نَكُ مِنَ ٱلْمُصَلِّينَ

Maksudnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;

(Surah al-Muddatthir: 42-43)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Nota kaki:

[1]  Sharifah Nur Abu. Pengamalan Solat Fardhu Dalam Kalangan pelajar Politeknik Kuching Sarawak. International Seminar on Research in Islamic Studies ll (ISRIS ll) on the 15th – 16th Febuary, 2012 at Kuala Lumpur.

[2]    Shukri Ahmad, Yahya Don, Wan Abdul Rahman Khudri Wan Abdullah, Madiha Mohammed Ibrahim & Shahril Fazli Mat Hussain. Penghayatan Solat dan Pengimarahan Masjid: Kajian Dalam Kalangan Pelajar Universiti Utara Malaysia. Proceeding of the Social Sciences Research ICSSR 2014, hlm. 786-797.

[3]   Suhaila Nadzri et al., Isu-iIsu Pengabaian Solat Dalam Kalangan Warga Remaja di Negeri Selangor, dalam “E-Book of Masjid, Zakat and Waqf Management 2018, hlm. 85.

[4] Lihat  https://www.yadim.com.my/v2/solat-bukan-part-time/. Diakses pada 30 Oktober 2020.